mk-logo
Berita
Bapa mangsa kematian dalam tahanan Syed Azlan meninggal
Diterbitkan:  Jan 17, 2020 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Syed Mohamed Nur, bapa kepada Syed Mohd Azlan mangsa kematian dalam tahanan, meninggal dunia dunia hari ini pada usia 73 tahun.

Anaknya, Syed Mohd Azlan meninggal dunia pada 3 November 2014 selepas mendapat 62 kecederaan ketika ditahan di sebuah balai polis.

NGO Bersama Hapus Deraan dan Kematian Dalam Tahanan (Edict) mengeluarkan kenyataan mengesahkan berita sedih ini.

Pemergiaan Syed Mohamed Nor kurang sebulan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru See Mee Chun mendapati pihak polis bertanggungjawab atas kematian Azlan dan menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM448,000 dan kos RM60,000 kedua-duanya dibayar berserta bunga dari November 2014.

See menyimpulkan keterangan menunjukkan Syed Azlan ialah mangsa "tindakan sewenang-wenang dan melanggar perlembagaan" oleh polis dan anugerah yang diberikan mahkamah seharusnya menjadi peringatan kepada pasukan itu."

"Bapa mangsa berusia 73 tahun itu berada dalam keadaan tidak sihat semasa pendengaran kes, tetapi dia cukup cekal dan menyaksikan keputusan dalam saman sivil itu.

"Saya berharap keputusan itu selanjutnya akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa polis, "kata Edict.

Pada 2014, polis menahan Azlan di kediamannya di Pengerang, Johor dalam serbuan melibatkan 13 anggota atas dakwaan memiliki senjata api.

Dia ditemui mati beberapa jam kemudian selepas ditahan di lokap polis di Sungai Rengit, Johor.

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kemudian mendapati Azlan "dibunuh" oleh pegawai polis yang menyerangnya semasa dia ditahan.

Azlan, 25, ditemui dengan 62 luka di badannya.

Laporan EAIC berkata anggota polis terbabit telah membersihkan tempat kejadian dan membuang bukti tertentu sebelum pegawai perubatan tiba.

Seterusnya, tiga anggota polis Weddrin Mojingkin, Joshua Perait dan Muhammad Bunyamin telah dikenakan pertuduhan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Johor Bahru kemudian telah membebaskan ketiga-tiga tertuduh.

"Cukup mengejutkan, sementara roda keadilan berputar, ketua pasukan yang menyebabkan kematian Syed Azlan telah dinaikkan pangkat," kata Edict hari ini.

Edict juga berkata selepas keputusan itu, pihaknya dan peguam keluarga telah menulis secara berasingan kepada Pejabat Peguam Negara untuk meminta jaminan bahawa keputusan mahkamah menganugerahkan ganti rugi itu tidak akan dirayu.

Walau bagaimanapun, mereka masih belum menerima maklum balas dari Pejabat AG.

"Syed Mohd Nur meninggal dunia dengan berharap kerajaan tidak akan memfailkan rayuan. Isterisnya, Sharifah Kahlilah Sayed Sulaiman, 62, juga menaruh harapan sama," kata Edict lagi.

Lihat Komen
ADS