Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong membidas bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan yang mengatakan rakyat akan turun ke jalan raya sekali lagi sekiranya kerajaan tidak melaksanakan beberapa pembaharuan utama pada Jun ini.
"Ingat, Ambiga dan Bersih hilang neutral sebelum pilihan raya kerana mereka menyokong Pakatan Harapan secara terbuka.
"Tetapi kini dia mengancam untuk ke jalan raya kerana gagal melaksanakan pembaharuan? Dia sepatutnya minta maaf kepada rakyat kerana mengajak mereka menyokong Pakatan Harapan," kata Oh dalam satu kenyataan hari ini.
Ambiga adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) - yang diletakkan di bawah Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) - yang ditubuhkan untuk meneliti pembaharuan institusi penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), pasukan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Semalam, Ambiga meluahkan rasa kecewa kerana laporan itu tidak didedahkan kepada umum dan pembaharuan utama tidak dilaksanakan.
Ambiga, yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam, juga berkata beliau tidak lagi "mengenali" beberapa pemimpin dalam PH yang sebelum ini disifatkan begitu berani sebelum menjadi kerajaan.
Oh mendakwa sebagai sebahagian anggota IRC, Ambiga juga bertanggungjawab terhadap kegagalan melaksanakan pembaharuan.
"Sekiranya kerajaan tidak berubah, Ambiga juga mesti bertanggungjawab, bukan berpura-pura menjadi hero," kata Oh.
