Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MB: Pembangunan Hutan Simpan Kledang Saiyong akan patuh EIA

Kerajaan negeri akan mencari kaedah terbaik dalam memastikan projek pembangunan di Hutan Simpan Kledang Saiyong di Chepor dekat Ipoh mengikut spesifikasi Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu perlu diambil kira kerana kerajaan negeri tidak mahu projek pembangunan itu memberi impak negatif terhadap penduduk sekitar.

"Projek pembangunan telah diluluskan jauh lebih awal sebelum pentadbiran saya. Kita akan perhatikan perkara ini supaya kalau pun berlaku apa-apa pembangunan mestilah mengikut peraturan EIA dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian hak milik Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Notis 5A RPT Bemban di Arena Square Batu Gajah di Batu Gajah, hari ini.

Pada 5 Jan lepas, sebahagian penduduk Taman Chepor Sentosa membantah kerja-kerja pembersihan tanah bagi tujuan pembangunan di Hutan Kledang Saiyong kerana bimbang ia akan memberi kesan kepada kawasan kediaman mereka.

Menjelas lanjut, Ahmad Faizal berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk di kawasan itu dan mereka memohon supaya kerajaan negeri meneliti kembali projek pembangunan yang dijalankan.

Mengenai program hari ini, Ahmad Faizal berkata 124 keluarga dari Kampung Chekkadi dan Kampung Muhibbah boleh menarik nafas lega apabila menerima Notis 5A bagi penempatan semula RPT Bemban.

"Ia sememangnya memberikan kegembiraan kepada mereka kerana sepanjang tempoh 30 tahun itu kebanyakan mereka terpaksa menumpang di rumah saudara-mara selain berhijrah ke tempat lain. Mereka ini yang datang dari satu kawasan setinggan di Buntong, ada yang menanti sehingga hampir 35 tahun," katanya.

Ahmad Faizal menjelaskan, kerajaan negeri telah mewartakan kira-kira 10.714 hektar tanah di Mukim Sungai Terap bagi RPT Bemban dan baki kawasan seluas kira-kira 55.368 hektar diluluskan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP) sebagai Skim Pembangunan Rumah Mampu Milik.

Seorang penerima, V Santhi, 66, dari Kampung Chekkadi di Buntong berkata keluarganya menghadapi pelbagai cabaran bagi menuntut hak pemilikan tanah itu selama 30 tahun.

"Semasa kita berkempen untuk isu ini, ibu saya pernah diheret ke balai polis. Tetapi hari ini, ia sudah pasti memberi sinar baharu kepada keluarga kami," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS