Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PH utuh, tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu’
Diterbitkan:  Jan 21, 2020 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan berasaskan prinsip kepercayaan dan hormat menghormati.

Justeru, katanya, sebarang usaha memasukkan parti lain, seperti PAS ke dalam PH mesti berasaskan konsensus.

“PH utuh dan tidak perlukan PAS sebagai rakan sekutu. Kalau pun ada idea dan percubaan memasukkan PAS, ia mesti berasaskan prinsip konsensus, bukannya majoriti.

“Jadi saya tengok buat masa sekarang, cubaan memasukkan PAS itu kekal sebagai satu khabar politik biasa dan saya tidak nampak sebab serta alasan untuk PH sekarang ini menerima keanggotaan baharu,” katanya seperti yang dipetik portal Berita Harian Online, hari ini.

Saifuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan hal ehwal pengguna mengulas spekulasi bahawa penyokong Dr Mahathir Mohamad cuba membawa masuk PAS dalam kerajaan persekutuan.

Portal berita FMT sebelum ini mendakwa PAS mungkin akan diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Semalam, perdana menteri dilaporkan berkata dalam politik tiada pakatan atau musuh yang tetap selain menjelaskan beliau telah bekerja dengan ramai individu selama beberapa dekad.

Semalam, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub turut menolak sebarang gerakan atau cadangan membawa masuk PAS menyertai kerajaan semata-mata mahu menarik sokongan rakyat kepada PH.

Katanya, tiada keperluan ketika ini untuk ‘menyerap’ PAS ke dalam Putrajaya atau negeri dikuasai PH atas alasan pengaruh parti itu mampu memberi kelebihan kepada kerajaan.

Beliau yang juga ahli majlis presiden PH menyifatkan rombakan atau pembaharuan secara drastik dalam kerajaan persekutuan tidak perlu dilakukan memandangkan PH masih mendapat sokongan rakyat.

Lihat Komen
ADS