Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Najib yang juga ahli parlimen Pekan dibicarakan untuk hari ke-72 atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) sebanyak RM42 juta.

Bekas perdana menteri itu diwakili sekumpulan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Seorang daripada anggota kumpulan itu ialah Harvinderjit Singh.

Pihak pendakwaan pula diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan turut dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Perbicaraan pagi ini bermula dengan keputusan hakim mengenai permohonan dibuat pihak pembelaan semalam untuk mendapatkan pandangan pakar tulisan tangan dari Australia bagi meneliti tandatangan pada dokumen SRC yang dikemukakan di mahkamah.

LANGSUNG

4.50 petang - Perbicaraan ditangguhkan dan akan disambung semula 9 pagi esok.


4.20 petang - Mahkamah mendengar bahawa Najib Razak menulis dua surat kepada almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud, yang ketika itu merupakan Raja Arab Saudi, pada tahun 2012 dan 2013.

Menurut pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa terhadap Najib, surat-surat kepada Raja Abdullah itu ditulis selepas Najib didakwa menerima sumbangan wang tunai daripada Raja Abdullah sebanyak tiga kali antara Feb 2011 dan Mac 2013.

Bagaimanapun, walaupun didakwa menerima sumbangan sebanyak AS$100 juta, AS$375 juta dan AS$800 juta, kedua-dua surat yang ditulis oleh Najib kepada Raja Abdullah tidak menyebut beliau mengucapkan terima kasih atas dana berkenaan.

Menjawab satu siri soalan dari Sithambaram, tertuduh mendakwa bahawa dia tidak menyebut mengenai derma dalam suratnya kerana ia dihantar melalui saluran diplomatik rasmi.

Sebaliknya, Najib menambah, beliau berterima kasih kepada Raja Abdullah ketika mereka berjumpa.

Sithambaram: Sekali lagi (dalam surat kedua), anda gagal menyebutkan (tentang dana itu), malah tiada ucapan terima kasih kepada Raja Saudi atas sumbangan yang anda terima

Najib: Ya. Kerana ia (surat-surat itu) melalui saluran normal.

Sithambaram: Apa pun salurannya, anda tidak berterima kasih kepadanya.

Najib: Tidak dalam surat ini.

Sithambaram: Adakah anda mempunyai surat lain yang berterima kasih kepadanya?

Najib: Tidak, tetapi apabila saya bertemu dengan Raja Saudi, saya ada berterima kasih kepadanya


4.02 petang: Prosiding bersambung.


3.36 petang: Mahkamah berehat sebentar.


3.20 petang: Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah menyemak penyata bank yang dihantar ke rumahnya di Jalan Langgak Duta bagi melihat jika ada "derma" bernilai RM2.6 bilion benar-benar masuk ke akaunnya.

Kata Najib beliau tahu mengenai derma tersebut datang melalui cara lain seperti surat-surat yang mengesahkan kemasukannya.

Menurut ahli parlimen Pekan itu, beliau tidak dapat mengingati sama ada pernah melihat penyata akaun yang dihantar ke rumahnya dari 2011 hingga 2013.

Sithambaram: Kamu mendakwa mengetahui dana RM2.6 bilion masuk ke akaun kamu tanpa melihat penyata bank adalah tidak boleh dipercayai. Ini lebih bagus dari loteri.

Najib: Saya katakan ada surat-surat datang (mengesahkan wang tersebut dihantar). Saya tahu.

Sithambaram: Kecuali kamu melihat penyata akaun, kamu tidak boleh pasti.

Najib: Saya tak ingat (menyemak sebarang penyata akaun mengenai kemasukan RM2.6 bilion banked in). Wang itu benar-benar derma (daripada keluarga bangsawan Saudi).



3.10 petang: Mahkamah diberitahu Najib boleh mengenal pasti tandatangannya pada surat pelantikan bagi memberi kuasa mengendalikan akaunya - bernombor akhir 694 - di Ambank walaupun dokumen tersebut hanya salinan fotokopi.

Kata Najib, ia ditunjukkan oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sithambaram: P60(5) (surat eksibit mengenai pelantikan berkenaan) adalah fotokopi dan kamu mengecamnya melalui kandungan dan tandatangan?

Najib: Ya.

Sithambaram: Kamu berpuas hati? Kamu mengenal pasti berdasarkan salinan fotokopi?

Najib: Ya.

Ia kemudian membawa kepada ketegangan suasana di antara tertuduh dan timbalan pendakwa raya kerana ia boleh dilakukan tetapi sebaliknya tidak dapat disahkan pada dokumen lain.

"Sebab ia berkaitan sesuatu yang mudah," kata Najib.


3.05 petang: Pada 2014, kata Najib, beliau dimaklumkan ada isu integriti membabitkan ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, semasa menguruskan syarikat tersebut.

Najib juga bersetuju beliau dimaklumkan hal itu oleh pengerusi Lembaga Pengarah SRC ketika itu, Ismee Ismail, melalui ketua setiausaha sulit bekas perdana menteri terbabit, Azlin Alias.

"Ya, sebab itu saya tukarkan dia (daripada menjadi CEO SRC)," katanya semasa disoal balas Sithambaram.

Bagaimanapun, Najib bersetuju dengan saranan Sithambaram bahawa dalam keadaan begitu pun beliau tidak menggantikan Nik Faisal sebagai pemegang amanah akaunnya di Ambank.

Kata Najib, beliau terus membenarkan Nik Faisal menguruskan akaunnya kerana isu integriti yang dibangkitkan hanya melibatkan peranan individu berkenaan di SRC.

Nik Faisal

Disebabkan bank berkenaan tidak memaklumkan ada sebarang isu berkaitan akaunnya, kata Najib, beliau tidak menggantikan Nik Faisal sebagai pengurus akaun dengan orang lain.

Sithambaram: Adakah kamu memberitahu mahkamah bahawa jika seseorang yang tidak berintegriti dalam SRC akan menjadi integriti semasa menguruskan akaun kamu? Adakah kamu memisahkan dia?

Najib: Tidak. Saja menjangkakan jika ada sesuatu yang tidak diingini (berlaku pada akaun), bank akan memberitahu saya.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada tuan, bahawa Nik Faisal adalah orang kepercayaan kamu yang kamu letakkan di SRC untuk menyedut dana dari SRC ke akaun kamu.

Najib: Saya tak setuju sama sekali.


2.49 petang: Najib memberitahu beliau membeli hadiah untuk isteri perdana menteri Qatar (ketika itu) menggunakan kad kredit sendiri sebagai cara mengelak daripada menggunakan wang awam.

Keterangan itu diberi Najib semasa ditanya mengenai pembayaran RM3.2 juta untuk pembelian hadiah di premis De Grisogono, Itali pada 2014.

Hadiah itu dibeli untuk diberikan kepada isteri Sheikh Ahmed Jassim al-Thani.

Sithambaram juga bertanya mengenai tujuan tertuduh membuka akaun bagi kad kredit itu di Ambank sebelum itu.

Sithambaram: Hadiah untuk ketua-ketua negara diambil dari dana kerajaan. Perdana menteri tak sepatutnya menggunakan gaji sendiri.

Najib: Ada akaun (kad kredit) dan saya tak mahu menggunakan wang awam untuk membeli hadiah kepada (isteri) perdana menteri Qatar. Beliau adalah kawan baik saya.

Najib juga menegaskan hadiah tersebut mahal justeru tidak mahu dana awam digunakan untuk membelinya.


2.28 petang: Perbicaraan sesi petang bermula.


12.45 tengah hari: Perbicaraan berehat dan akan disambung jam 2.30 petang ini.


12.39 tengah hari: Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah, sepatutnya menyediakan kertas kabinet sebelum pergi ke Switzerland untuk cuba mendapatkan semula wang SRC bernilai RM3.6 bilion di sana, kata Najib Razak.

Kata bekas perdana menteri itu, beliau tidak membenarkan Ahmad Husni ke Switzerland sebelum ini kerana tiada rancangan yang rapi dibuat dan ia memerlukan kertas cadangan agar dikemukakan kepada kabinet.

Najib: Saya mahu dia (Ahmad Husni) beritahu secara terperinci bagaimana dia nak melakukannya.

Sithambaram: Jadi perlu pelan yang besar?

Najib: Kemukakan pelan yang sepatutnya dan berikan kepada kabinet. Tetapi dia tak ada pelan yang lengkap.

Sithambaram: Ini melibatkan para pesara (kerana berkaitan Kumpulan Wang Persaraan - KWAP). Ini kedengaran seperti sebuah filem James Bond. Ini macam G to G (kerajaan dengan kerajaan).

Najib: Kamu perlu sediakan kertas kabinet sebelum pergi.

Semasa perbicaraan awal tahun lalu, Ahmad Husni memberi keterangan, Najib menghalangnya pergi ke Switzerland untuk cuba mendapatkan semula wang SRC yang dibekukan di negara berkenaan.

Ia adalah sebahagian daripada dana RM4 bilion yang dipinjamkan KWAP kepada SRC pada akhir 2011 dan awal 2012.


12.15 tengah hari: Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak terkejut apabila mendapat tahu bekas ketua pegawai eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, dan ketua setiausaha sulitnya, Azlin Alias, merahsiakan kemasukan wang RM32 juta ke akaun beliau pada 2014.

Menjawab soalan Sithambaram, bekas perdana menteri itu memberitahu beliau tidak mengetahui mengenai transaksi wang ke akaun bank terbabit kerana tidak menerima penyata mengenainya.

Najib berkata demikian semasa ditanya mengenai dana yang dibawa dari akaun SRC ke akaun Najib di Ambank pada Dis 2014 sebelum ia dikeluarkan kemudiannya.

Sithambaram: RM32 juta dikeluarkan dari akaun-akaun kamu, mereka tidak memaklumkannya, kamu tak mendapati ia mengejutkan?

Najib: Tidak.

Sithambaram: Jadi pemegang kuasa dan Azlin merahsiakannya daripada kamu... sejumlah besar dana masuk dan keluar dari akaun kamu dan kamu tidak terkejut, betul tuan?

Najib: Ya.


11.55 pagi: Perbicaraan bersambung semula.


11.17 pagi: Perbicaraan berhenti rehat untuk seketika.


11.07 pagi: Untuk kesekian kalinya Najib menegaskan beliau tidak tahu wang bernilai RM42 juta yang masuk ke akaun persendiriannya antara akhir 2014 dan akhir 2015 adalah milik SRC.

Wang tersebut dimasukkan secara berperingkat, masing-masing bernilai RM27 juta, RM10 juta dan RM5 juta.

Najib: Saya tak tahu itu adalah wang SRC (meninggikan suara). Saya hanya tahu kemudian.

Sithambaram: Adakah kamu membelanjakan setiap sen duit (bernilai RM27 juta) itu?

Najib: Ya.

Sithambaram: Kamu membelanjakan setiap sen duit RM5 juta itu?

Najib: Ya, ketika itu saya tak tahu.

Sithambaram: RM27 juta masuk dan kamu membelanjakan RM27 juta?

Najib: Saya tak tahu itu duit SRC.

Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram (kiri)


10.48 pagi: Percanggahan kenyataan di antara Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, dibangkitkan Sithambaram pagi ini.

Timbalan pendakwa raya itu mencadangkan, politik di negara ini dibayangi amalan feudalisme.

Najib: Tidak, tidak, saya tak bersetuju kerana ada ketikanya, mereka (KWAP) tidak sependapat dengan saya.

Sithambaram: Agak feudal (sebab) mereka (sentiasa) mendengar apa yang dikatakan oleh bos (pihak atasan).

Najib: Ya, tetapi mereka boleh memberikan pandangan. Apabila saya memberikan arahan mereka boleh tidak bersetuju dengan saya.

Sithambaram: Kita semua tahu (apa yang berlaku ke atas) sesiapa yang tidak bersetuju dengan kamu.

Keterangan itu diberikan Najib semasa Sithambaram menyoal balas tertuduh berhubung pengeluaran pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh KWAP untuk syarikat SRC.

Berdasarkan keterangan sebelum ini, dana tersebut dikeluarkan KWAP kepada SRC sebelum permohonan untuk mendapatkan jaimnan kerajaan bagi pinjaman kedua berkenaan diluluskan kabinet.


10.01 pagi: Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah memberikan arahan secara langsung kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk mengeluarkan pinjaman kali kedua - bernilai RM2 bilion - untuk SRC.

Sebelum itu Sithambaram bertanya sama ada bekas perdana menteri itu ada memberikan tekanan secara tersirat ke atas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, untuk membenarkan KWAP memberikan pinjaman kedua.

Untuk rekod sebelum itu - atau pada akhir 2012 - KWAP sudah mengeluarkan RM2 bilion untuk SRC sebelum permohonan kali kedua - pada awal 2012 - dibuat. Najib ketika itu adalah penasihat emeritus SRC.

Najib: Apabila saya merujuk kepada KWAP, mereka mesti melalui proses sepatutnya.

Sithambaram: Tapi ini adalah apabila perdana menteri (Najib sendiri) menghubungi pengerusi lembaga mengenai keperluan membuat pinjaman?

Najib: Saya tak pernah memberi arahan secara langsung. Terserah kepada mereka (KWAP) untuk menelitinya.

Sithambaram: Beliau (Wan Abdul Aziz) terikat untuk cenderung mempertimbangkan is (permohonan tersebut).

Najib: Tidak. Pada waktu itu mereka perlu membuat keputusan berdasarkan merit kes. Jadi saya tak setuju (dengan cadangan pendakwaan).


9.40 pagi: Mohd Nazlan menerima permohonan pasukan pembelaan untuk mendapatkan pandangan pakar tulisan tangan dari Australia bagi meneliti tandatangan didakwa diturunkan Najib pada dokumen yang menjadi barang bukti.

Semasa menyampaikan keputusan itu, hakim berkata, beliau membenarkan permohonan terbabit kerana tertuduh berhak mendapat sebarang keterangan relevan yang dipilihnya untuk membela diri.

Bagaimanapun, kata Mohd Nazlan, keterangan yang diberikan oleh saksi itu nanti akan ditentukan oleh mahkamah pada akhir perbicaraan.

Katanya, mahkamah juga berhak memberi pertimbangan jika kredibiliti pembelaan Najib akan terkesan oleh sebarang pertimbangan semula.

Beliau juga memutuskan, pihak pendakawaan dibenarkan untuk memanggil saksi bagi menafikan keterangan berkenaan seperti diperuntukkan Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah - jika mereka mahu berbuat demikian.

Hakim kemudian mengarahkan pasukan pembelaan untuk mengaturkan kedatangan pakar terbabit tanpa mengganggu perjalanan perbicaraan.

Kata hakim ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua hari sebelum 3 Feb ini.


9.35 pagi: Perbicaraan bersedia untuk dimulakan apabila Najib memasuki kandang tertuduh. 


9.06 pagi: Najib memasuki mahkamah.

Pasukan pendakwaan dan pembelaan juga sudah berada di tempat masing-masing.

Lihat Komen
ADS