Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan Sabah batal pelaksanaan PSS
Diterbitkan:  Jan 22, 2020 4:47 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk membatalkan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS).

Shafie berkata keputusan itu dibuat selepas Warisan tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang memberi isyarat rakyat menolak pelaksanaan pas berkenaan.

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan supaya PSS dibatalkan setelah melihat dan mendengar suara rakyat.

"Kerajaan negeri akan memaklumkan keputusan ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya dalam satu sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Pada 6 Sep tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.

Keputusan kerajaan untuk melaksanakan PSS dibuat berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.

Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an. Selebihnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

BN dalam PRK Kimanis menggunakan PSS sebagai modal ketika mereka berkempen sehingga berjaya mempengaruhi pengundi menolak calon Warisan, Karim Bujang.

Sementara itu Shafie berkata, keputusan untuk membatalkan PSS membuktikan kerajaan pimpinannya mendengar suara rakyat.

"Kita mendengar suara rakyat negeri Sabah, (makan) kabinet negeri Sabah memutuskan supaya kita memaklumkan kepada KDN selaku kementerian bertanggungjawab membatalkan rancangan untuk meneruskan pelaksanaan PSS ini.

"Mendegar apa yang rakyat suarakan bukan hanya setakat Kimanis, malah daripada pihak tertentu," katanya lagi.

Ditanya mengenai kaedah lain yang akan digunakan bagi menggantikan PSS, Shafie menyerahkan kepada KDN untuk menentukannya.

Katanya, kerajaan negeri pimpinannya akan meneruskan usaha untuk menangani kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) di negeri itu.

Dalam pada itu, Shafie berkata keputusan mutlak untuk membatalkan pelaksanaan PSS hanya akan ditentukan oleh KDN.

Jelasnya lagi beliau dijangka akan mengadakan pertemuan dengan pihak KDN minggu depan.

Shafie bagaimanapun menolak tanggapan bahawa pelaksanaan PSS akan membawa kepada "projek IC" di negeri itu.

Lihat Komen
ADS