Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Terowong tinggalan pelombong Perancis tarikan baru di Jeli

Sebanyak empat terowong tinggalan pelombong emas dari Perancis lebih 90 tahun lalu di Kampung Kalai, Jeli, boleh dijadikan tarikan baru pelancongan di kawasan itu sekali gus menaikkan ekonomi masyarakat setempat.

Ketua Jajahan Jeli, Nik Raisnan Daud, berkata terowong yang dibina pada 1931 itu akan dibuka kepada pelancong dalam masa terdekat.

Katanya ia akan menjadi produk pelancongan berasaskan sejarah dan alam semula jadi selepas proses pemuliharaan serta penambahbaikan kemudahan dan infrastruktur kawasan itu dilakukan.

"Sekarang ini kami hanya menemui empat terowong sepanjang 95 meter dan mungkin masih terdapat lagi terowong lain yang dibina oleh syarikat perlombongan dari Perancis sebelum Perang Dunia Kedua bermula untuk kerja-kerja melombong emas di kawasan ini.

"Terowong yang dibina dengan 100 peratus tenaga manusia itu mempunyai struktur yang masih kukuh, selain masih terdapat sisa mineral yang boleh menjadi tarikan utama pelancongan di jajahan ini dan Kelantan," katanya kepada pemberita semasa meninjau terowong tersebut di Jeli semalam.

Tinjauan pemberita mendapati terowong yang digali berhampiran sempadan Malaysia-Thailand itu dibina tanpa struktur sokongan seperti kayu, batu mahupun simen namun masih kukuh dan tidak terusik.

Sementara itu, Penghulu Kampung Kalai, Shah Fakrimee Sallah, berkata terowong itu ditemui penduduk kampung sekitar 1990-an ketika mereka melakukan kerja-kerja perlombongan di kawasan berkenaan.

"Sekarang penduduk dengan nasihat dan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan membuka kembali terowong itu dalam usaha untuk menjadikannya sebagai produk pelancongan baru bagi meningkatkan ekonomi setempat.

"Mana-mana pelancong yang mahu mengunjungi terowong berkenaan perlu menghubungi penduduk setempat bagi memudahkan pergerakan dan keselamatan mereka,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS