Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Angka korban koronavirus meningkat kepada 41 orang
Diterbitkan:  Jan 25, 2020 10:11 AM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:34 AM

GLOBAL | Angka korban wabak koronavirus di China setakat ini dilaporkan mencecah 41 orang, meningkat daripada 26 pada Jumaat, dengan 1,300 orang dijangkiti virus itu di seluruh dunia.

Menurut Reuters yang memetik Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, sejumlah 1,287 kes koronavirus telah disahkan di China setakat semalam.

Semua kes maut yang baru berlaku di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei yang dipercayai menjadi tempat virus itu mula tersebar, kata laporan itu lagi.

Pihak berkuasa Hubei dipetik berkata, setakat ini 658 warga yang dijangkiti virus itu sedang menerima rawatan, dengan 57 orang di tahap kritikal.

"Pastinya mengelirukan dan membangkitkan kemarahan apabila di saat kerajaan memberi jaminan kepada warga bahawa virus ini tidak tersebar antara manusia dan di bawah kawalan, tetapi empat hari kemudian sekatan keluar dikenakan terhadap Wuhan dan bandar lain," kata Mary Gallagher dari Universiti Michigan.

Selain Wuhan yang memiliki populasi 11 juta penduduk, China mengenakan sekatan keluar kepada 10 bandar berhampiran.

Hampir semua penerbangan ke bandar-bandar tersebut dibatalkan dan sekatan di jalan keluar utama diwujudkan.

Kes kematian setakat ini hanya berlaku di China, tetapi virus itu dilaporkan turut dikesan di Thailand, Vietnam, Singapora, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis dan Amerika Syarikat.

Di Malaysia, sejumlah lapan pelancong China yang tiba di Johor Bahru dari Singapura semalam dikuarantin di hotel tetapi hasil saringan Jabatan Kesihatan Johor (JKMJ) mendapati mereka tiada tanda atau gejala jangkitan koronavirus.

Soronavirus boleh menyebabkan pneumonia yang pada keadaan tertentu mengakibatkan kematian. Simptom virus tersebut termasuk demam, batuk dan kesukaran pernafasan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS