mk-logo
Berita
Mangsa keempat jangkitan baru koronavirus di M'sia dari Wuhan
Diterbitkan:  Jan 25, 2020 11:49 PM
Dikemaskini: Jan 27, 2020 10:45 AM

Mangsa keempat kes jangkitan paling baru koronavirus di Johor Bahru melibatkan seorang lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China, kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pengesanan satu (1) lagi kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV). Kes ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tiga (3) kes positif yang telah dilaporkan pada awal hari ini.

"Kes terbaru ini merupakan seorang lelaki berumur 40 tahun yang berasal dari Wuhan, China.

"Kes tiba di Johor Bahru pada 22 Januari 2020 dengan menaiki bas dari Singapura," kata beliau dalam suatu kenyataan malam ini.

Menurut Dr Noor Hisham (gambar, bawah) lagi lelaki tersebut datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang kesemuanya, isteri dan seorang anaknya.

Lelaki itu mula mengalami gejala demam pada 23 Januari 2020 dan keesokan harinya beliau telah pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran, katanya lagi.

Selanjutnya, kata Noor Hisham hospital swasta tersebut telah merujuk lelaki itu untuk mendapatkan rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

"Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Pada petang 25 Januari 2020, pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV," katanya.

Menurut Noor Hisham, keadaan lelaki itu stabil dan "pada ketika ini kes masih demam dan batuk."

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor pula telah bertindak segera dengan mengesan "kesemua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan yang sama yang disertai oleh kes dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka."

"Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan.

"Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

"Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS