Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan Bersatu: Radzi Jidin dicabar timbalan jawatan ketua bahagian

Ketua Bersatu Bahagian Ketereh Dr Radzi Jidin, yang juga timbalan menteri hal ehwal ekonomi, akan dicabar timbalannya dalam pemilihan parti itu akan datang.

Ia selepas timbalan ketua Bersatu bahagian itu, Mohd Uzair Yusof, yang menyerahkan borang pencalonannya semalam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Uzair berkata beliau berhasrat merebut jawatan itu atas permintaan anggota akar umbi yang mahu melihat perubahan dalam petadbiran dan jentera parti di peringkat bahagian.

"Kita dengar dan lihat rungutan jentera di peringkat akar umbi yang mahu perubahan digerakkan segera, lebih-lebih Bersatu ialah salah satu parti yang mentadbir negara.

"Walaupun penyandang ketua bahagian seorang timbalan menteri, kita lihat beliau tidak mampu untuk menjaga dan menyelia pentadbiran parti dengan wibawa. Ia menyebabkan parti tidak berkembang dengan baik," katanya.

Cawangan Bersatu di seluruh negara akan mengadakan persidangan dan pemilihan bermula 25 Januari hingga 1 Mac, diikuti dengan peringkat bahagian pada 4 April.

Perhimpunan agung tahan dan pemilihan kepimpinan tertinggi pula dijadual berlangsung 20 Jun depan.

Untuk rekod, Radzi merupakan calon PH untuk kerusi Parlimen Ketereh pada PRU ke-14 tetapi tewas di tangan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Sementara itu, abang kepada Radzi, Nazri Jidin, membuat pengisytiharan terbuka untuk tidak berpihak kepada adiknya.

"Saya Nazri Jidin, abang kepada Dr Radzi secara terbuka memberi sokongan kepada Uzair sebagai calon ketua Bersatu Ketereh pada pemilihan kali ini," katanya dalam satu rakaman video yang dihantar kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi Radzi, yang juga ketua penerangan Bersatu, untuk mengulas perkara ini.

Lihat Komen
ADS