Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes bakar tahfiz: Tertuduh diarah bela diri, seorang lagi bebas

Seorang remaja lelaki mengalirkan air mata apabila diarahkan membela diri terhadap dakwaan membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur, pada 2017.

Seorang lagi tertuduh, juga remaja lelaki, pula dibebaskan. Dia juga dilihat menitiskan air mata sebaik diberitahu tentang perkara itu.

Kedua-duanya berada di kandang tertuduh ketika Hakim Azman Abdullah menyampaikan keputusan itu di akhir peringkat pendakwaan, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Azman berkata pihak pendakwaan berjaya menunjukkan kes prima facie terhadap salah seorang tertuduh itu.

Mereka berdua didakwa membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu, yang terletak di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pada 14 September 2017.

Azman memutuskan pendakwaan hanya berjaya membuktikan kes prina facie kepada seorang tertuduh, menyebabkan mahakamh perlu membebaskan seorang lagi.

"Ini keputusan di akhir peringkat pendakwaan, dan selepas meneliti kes pendakwaan dan penghujahan semua pihak berkenaan 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama. Tertuduh kedua dibebaskan dan tidak diarahkan membela diri," katanya.

Sebaik hakim selesai membacakan penghakimannya, tertuduh pertama dilihat terus menangis di kandang tertuduh, manakala tertuduh kedua, yang dibebaskan, tampak sedikit tenang.

Mahkamah memutuskan 2 dan 3 Mac untuk peringkat pembelaan, di mana tertuduh berpeluang membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes prima facie pendakwaan.

Tertuduh kedua kemudian dilihat dibawa keluar dari mahkamah oleh polis, untuk dibebaskan tengah hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, bapanya yang tampak lesu menyuarakan kegembirannya dan penghargaan kepada keputusan mahkamah.

"Harap (anak saya) teruskan (pembelajarannya). Saya sangat bersyukur (dengan keputusan mahkamah). Saya tidak mahu berkata banyak, (pembebasan) ini harapan ibu bapa.

"Kami terima dan bersyukur kepada Allah dengan keputusan ini," kata lelaki berusia 58 tahun itu.

Kejadian berlaku di awal pagi 14 September 2017 apabila kebakaran di bangunan tahfiz itu meraguk nyawa 23 penghuninya.

Pada 28 September 2017, dua tertuduh, ketika itu berusia 16 tahun, didakwa atas pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Peringkat pendakwaan bermula pada 30 Mei 2018 di mana keseluruhan 71 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Pihak pendakwaan diwakili DPP Julia Ibrahim, manakala peguam Haijan Omar mewakili dua tertuduh,

Menurut undang-undang, tertuduh bawah umur yang didakwa atas kesalahan yang boleh membawa hukuman mati, seperti kes bunuh, tidak akan didedahkan namanya di media.

Berdasarkan Akta Kanak-kanak 2001 pula, tertuduh bawah umur yang didakwa atas kesalahan yang membawa hukuma mati juga tidak boleh dijatuhkan hukuman itu, tetapi diletakkan dalam tahanan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Lihat Komen
ADS