Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naik harga topeng muka, farmasi di Beijing didenda AS$590,000
Diterbitkan:  Jan 29, 2020 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

GLOBAL | Sebuah farmasi di Beijing, China dilaporkan akan didenda sebanyak tiga juta yuan (AS$590,000) kerana menaikkan harga topeng muka sebanyak enam kali ganda berbanding harga atas talian.

Menurut Reuters hari ini, pihak berkuasa pasaran Beijing telah mengeluarkan notis penalti pentadbiran kepada Farmasi Jimin Kangtai kerana menaikkan harga topeng muka N95 di kedainya.

Farmasi itu menaikkan harga topeng N95 jenama 3M kepada 850 yuan bagi setiap kotak, menurut stesen televisyen tempatan yang dipetik Reuters.

Sebagai perbandingan, topeng sama dijual di atas talian pada harga 143 yuan sekotak.

Di Shanghai pula, pihak berkuasa pasaran kota itu telah mengarahkan sebuah farmasi ditutup kerana menjual topeng yang tidak mencapai piawaian.

Farmasi itu juga diarahkan untuk memulangkan semula wang kepada mereka yang telah membelinya, selain melupuskan topeng yang belum dijual, kata pihak berkuasa itu.

Setakat ini, wabak novel koronavirus, atau 2019-nCoV, yang mula dikesan di Wuhan akhir tahun lalu, telah mengorbankan 132 nyawa dan menjangkiti 6,000 orang di China.

Di Malaysia pula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang menaikkan harga topeng muka secara tidak munasabah.

Topeng muka adalah barang harga terkawal dan harga maksimum telah ditetapkan untuk lima jenis topeng muka di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Lihat Komen
ADS