Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lynas umum tempat lupus sisa RM400j di Bukit Ketam
Diterbitkan:  Jan 30, 2020 7:14 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Lynas Corporation hari ini mengumumkan kerajaan Pahang bersetuju menyediakan tapak untuk kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk sisa penulenan air larut lesap (WLP) daripada kilang nadir bumi itu.

Ia menggambarkan kawasan yang diluluskan itu berada di kawasan terpencil di sekitar Bukit Ketam di Pahang. 

Bukit Ketam terletak beberapa kilometer dari Felda Bukit Kuantan, berhampiran dengan sempadan negeri Terengganu, lebih 30 km ke utara dari arah ibu negeri Pahang.

"Berdasarkan kajian awal yang dilakukan oleh Lynas dan perundingnya, Lynas menjangkakan tapak ini sesuai dijadikan sebagai lokasi PDF," kata setiausaha syarikat Lynas, Andrew Arnold dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Lynas Malaysia telah melantik Gading Senggara Sdn Bhd sebagai kontraktor bagi menguruskan kesemua projek PDF termasuk rekaan, pembinaan dan operasi.

"Jumlah anggaran yang akan dibayar kepada GSSB untuk menguruskan keseluruhan projek PDF adalah AS$ 98 juta (RM400.72 juta)," kata Arnold.

Ini termasuk bayaran awal dan bayaran balik sebanyak AS$ 10 juta dalam kos yang dikeluarkan pada 30 Jun, 2020 dan bayaran kemajuan projek sebanyak AS$ 34 juta untuk kerja-kerja pembinaan sehingga 30 Jun, 2022.

Sebanyak AS$ 54 juta lagi akan dibayar dalam pembayaran berkala untuk operasi kemudahan dan "kawalan institusi selepas kemudahan itu ditutup."

Tempoh yang diunjurkan untuk tempoh masa pembayaran ini adalah antara 30 Jun, 2023 dan 30 Jun, 2026.

GSSB ialah ahli Kumpulan Syarikat Gading yang mana perniagaannya termasuk aeroangkasa, pertahanan, maritim, pembangunan, pembinaan, komoditi tenaga, dagangan, minyak dan gas.

GSSB juga merupakan pemegang konsesi yang dilantik oleh kerajaan dengan lesen untuk pelupusan sisa industri bagi kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Pengumuman lokasi PDF hari ini susulan keputusan kabinet kontroversi tahun lepas seperti yang diumumkan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin untuk membenarkan Lynas Malaysia meneroka membina kemudahan pelupusan tetap dan bukan memindahkan operasi kilangnya keluar dari negara ini.

Ketika itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak dapat memaksa Lynas Corp meninggalkan Malaysia hanya kerana sesetengah orang tidak mahu menerima pendapat pakar mengenai aspek keselamatan operasi syarikat itu dan juga selepas menjemputnya untuk melabur di negara ini.

Perdana menteri berkata syarikat itu telah melabur lebih daripada RM1 bilion di Malaysia tetapi pengkritik berkata pemprosesan mineral nadir bumi menghasilkan sisa radioaktif.

Dr Mahathir berkata kajian pakar menunjukkan bahawa sisa radioaktif ini berada pada "tahap yang sangat rendah" dan tidak berbahaya kepada kesihatan serta beliau percaya terdapat cara untuk mengurangkan lagi tahap radioaktif tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS