Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pendakwa bantah Najib, 2 yang lain periksa barang rampasan

KES 1MDB NAJIB | Pihak pendakwaan membantah permohonan Najib Razak dan dua yang lain untuk memeriksa barangan yang dirampas dalam siasatan 1MDB, dengan memetik isu keselamatan sebagai alasan dan mengelakkan satu precedent (kes pendahulu) bagi tertuduh pengubahan wang haram melakukan perkara sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof berhujah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini dengan membangkitkan isu keselamatan dalam membawa keluar barangan rampasan yang disimpan di bilik kebal Bank Negara untuk diperiksa oleh Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak perempuan mereka Nooryana Najwa.

"Terdapat isu keselamatan di mana masalah timbul apabila barang-barang yang disimpan di dalam bilik kebal di Bank Negara. Untuk menjalankan pemeriksaan di Bank Negara adalah mustahil kerana keperluan untuk menjaga keselamatan di bilik kebal.

"Isu peti besi ini adalah satu perkara, tetapi membawa keluar barang-barang juga menimbulkan kebimbangan keselamatan, dengan risiko kerosakan kepada nilai barangan semasa pelbagai proses yang terlibat (dalam membawa keluar barang-barang untuk diperiksa oleh Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa, dan kemudian dikembalikan semula ke bilik kebal),"Fatnin berhujah.

Beliau seterusnya berkata isu-isu keselamatan dan logistik akan timbul untuk memastikan keselamatan kawasan di mana Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa berada ketika memeriksa barang-barang berkenaan.

Ketiga-tiga mereka memohon untuk memeriksa barangan yang dirampas bagi membantu pasukan peguam menyediakan pembelaan terhadap saman pelucuthakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fatnin juga memberitahu mahkamah hari ini bahawa tidak ada peruntukan khusus di bawah undang-undang untuk membolehkan tertuduh dalam kes pengubahan wang haram dibenarkan memeriksa barangan yang dirampas.

"Responden kami membantah permohonan (pemeriksaan) ini (oleh Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa) kerana tidak ada peruntukan khusus (untuk permohonan berkenaan).

"Kami tidak mahu membuka pintu untuk kes AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram) lain (untuk memeriksa barang yang disita semasa siasatan pengubahan wang haram).

"Mahkamah perlu berhati-hati dalam membuat keputusan mengenai perkara ini kerana ini adalah kes ujian. Kita tidak mahu menetapkan satu precedent (kes pendahulu) untuk kes Amla lain.

"Sebelum ini, tiada lagi kes (mahkamah) membenarkan pemeriksaan fizikal barang yang dirampas," kata Fatnin.

Beliau turut memaklumkan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, bahawa sama seperti kes-kes pengubahan wang haram sebelum ini, pihak berkuasa boleh memberikan tertuduh senarai dan gambar barang yang disita untuk membantu mereka menyediakan pembelaan terhadap kes-kes pengubahan wang haram dan saman pelucuthakan yang berkaitan.

Zaini kemudian bertanya pihak pendakwaan mengenai fakta bahawa banyak barangan dirampas daripada tiga lokasi, seperti 50 jam tangan dan bahawa pemohon perlu diberi hak untuk menyediakan pembelaan terbaik mereka untuk memeriksa barang-barang tersebut.

Hakim berkata beberapa barangan adalah hadiah yang diberikan kepada mereka dan dengan itu mahkamah mungkin perlu memberi mereka peluang melakukan pemeriksaan.

"Tentang keselamatan, keselamatan ada dalam kawalan (pendakwaan) anda. Anda boleh menyatakan bila pemeriksaan itu akan dilakukan pada hari tertentu dan bilik tertentu, di mana hanya pemohon (Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa) berada di dalam bilik itu, (sebagai contoh) empat jam, anda (pendakwaan) boleh arahkan setiap kakitangan untuk memastikan keselamatan.

"Ia ada dalam kawalan anda, ia tidak benarkan mereka (Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa) untuk membawa (barang yang dirampas) ke rumah (selepas pemeriksaan). 

"Ia hanya untuk membolehkan mereka memeriksanya. Pada akhirnya, terpulang kepada saya sama ada untuk mempercayai (pembelaan Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa) atau tidak," kata Zaini.

Membalas hujah Fatnin, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata keselamatan masih boleh dikawal oleh pihak polis dan Bank Negara ketika pemeriksaan dilakukan. 

Beliau turut berkata terdapat sebuah dewan khas di bank pusat berkenaan yang dinamakan Sasana Kijang, di mana pemeriksaan boleh dilakukan dengan selamat.

Shafee berhujah individu luar dibenarkan untuk memeriksa dan menilai barang yang disita pada tahun 2018 tetapi tidak timbul masalah.

Beliau berhujah bahawa Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan, yang menggariskan bidang kuasa dan kuasa mahkamah di Malaysia, memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membenarkan pemeriksaan bagi memastikan perbicaraan yang adil dengan memberi peluang kepada pihak pembelaan menyediakan pembelaan terbaik.

Shafee juga memaklumkan mahkamah bahawa beliau sebelum ini mengendalikan kes pengubahan wang haram di Ipoh, di mana tertuduh dibenarkan memeriksa barangan yang dirampas.

Shafee berkata, pemeriksaan berkenaan dibenarkan di Bank Negara, di mana barang-barang emas yang disita dibawa keluar untuk diperiksa tertuduh, dan tiada isu keselamatan ditimbulkan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Zaini menetapkan Isnin minggu depan (3 Feb) untuk menyampaikan keputusannya sama ada membenarkan Najib, Rosmah dan Nooryana Najwa memeriksa barangan yang dirampas.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim mewakili Rosmah dan Nooryana Najwa hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS