Paling Popular
Terkini

Defendan yang disaman atas kematian remaja berdarah campuran Perancis-Ireland, Nora Anne Quoirin mendakwa ibu bapa si mati menanggung tanggungjawab sepenuhnya terhadap tragedi itu.

Helen Marion Todd, 66, berkata ini kerana Dusun Resort, tempat si mati berusia 15 tahun dan ibu bapanya Sebastien Marie Philippe Quoirin dan Meabh Josephine Quoirin tinggal pada Ogos lepas, tidak pernah mengalami sebarang insiden keselamatan sepanjang 35 tahun yang lalu.

Dalam saman terhadap Todd, yang didakwa ibu bapa Nora menjadi pengendali dan pemilik resort itu, mereka resort tersebut cuai kerana tiada kakitangan keselamatan dan tiada kamera televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis berkenaan.

Dalam Pernyataan Pembelaannya, Todd berkata resort Dusun itu direka sebagai tempat pemukiman hutan dengan menggabungkan konsep terbuka, justeru tiada anggota keselamatan yang diletakkan di situ.

"Selanjutnya, sifat resort tersebut adalah direka bentuk sedemikian untuk memberikan satu 'jungle retreat'.

"Ia menggabungkan (incorporate) konsep terbuka (open concept) kepada pelanggan-pelanggannya. Sifat resort ini dimaklumkan dalam laman webnya dan juga terma-terma dan syarat-syarat resort tersebut.

"Akibatnya, selaras dengan sifat dan saiz resort tersebut, tiada kakitangan keselamatan dan langkah-langkah keselamatan yang lain ditempatkan.

"Amat ketara sekali, tiada terdapat sebarang isu-isu dan/ atau kebimbangan-kebimbangan keselamatan di resort tersebut untuk 35 tahun yang lalu," kata Pernyataan Pembelaan terhadap kes saman kematian Nora Quoirin.

Todd menjelaskan pada masa kejadian, dia tidak menyedari umur, keadaan fizikal dan mental serta kesulitan yang berkaitan dengan si mati.

Defendan menegaskan bahawa siasatan polis menyimpulkan tiada unsur-unsur perbuatan khianat atau unsur jenayah yang berkaitan dengan kehilangan dan kematian remaja itu, dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kes tersebut tidak memerlukan tindakan lanjut (NFA ).

"Tambahan juga, keputusan bedah siasat menunjukkan bahwa punca kematian si mati adalah pendarahan gastrointestinal yang disebabkan oleh ('attributable') kebuluran.

"Selanjutnya, defendan mengatakan bahawa plaintif-plaintif sebagai ibu bapa adalah bertanggungjawab untuk menjaga dan memastikan keselamatan si mati pada setiap mata yang material.

"Akibat itu, plaintif-plaintif harus dipertanggungjawabkan secara keseluruhan dan/ atau apa acara sebaliknya, untuk kerugian dan ganti rugi kononnya,” kata Pernyataan Pembelaan itu lagi.

Todd juga mendakwa ketika kejadian itu berlaku, dia bukan pengendali atau pemilik resort The Dusun, atau bukan pemilik tunggal perniagaan itu, dan dia menafikan menjalankan perniagaan resort percutian tanpa lesen perniagaan.

Pada 4 Januari, peguam keluarga Sankara Nair (gambar, bawah) mengesahkan saman sivil itu difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen Seremban.

Semakan di senarai kausa dalam talian di laman kehakiman menunjukkan perkara itu disenaraikan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Seremban pada 14 Feb.

Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di resort The Dusun Pantai Hill, Pantai, dekat Seremban pada 3 Ogos, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya.

Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dibuat dan mayatnya yang tidak berpakaian ditemui 10 hari kemudian, pada 13 Ogos 2019, 2.5km dari resort berkenaan.

Kejadian itu mendapat perhatian media antarabangsa.

Pada masa itu, polis berkata Nora telah mati akibat pendarahan gastrousus, mungkin disebabkan oleh tekanan dan kelaparan.

Polis juga tidak menemui sebarang tanda penculikan atau rogol dan menolak unsur khianat.

Bagaimanapun, ibu bapa Nora, Meabh dan Sebastian Quoirin percaya banyak soalan masih belum dijawab mengenai kes berkenaan.

"Untuk fikir bahawa Nora bangun pada tengah malam, tidak memakai baju, tidak berselipar, keluar dari banglo ke hutan, dengan kawasan itu sangat curam dan berbahaya, dalam keadaan kegelapan, langsung tidak masuk akal.

"Kami fikir ia tidak masuk akal untuk memikirkan kemungkinan itu," kata Sebastian kepada media Ireland RTE.

Lihat Komen
ADS