Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang, dengan rendah hati ingin mengemukakan beberapa persoalan asas berkenaan pengumuman Dr Mahathir Mohamad mengenai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengumuman mengenainya dibuat perdana menteri pada semalam, 31 Jan 2020.

Pertama: Wajarkah seorang pemangku menteri pendidikan mengumumkan suatu dasar sepenting PPSMI tanpa terlebih dahulu dibincang di dalam kabinet?

Kedua: Manifesto PH menggariskan satu dasar iaitu perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain selain jawatan perdana menteri itu sendiri.

Suka saya ingatkan Mahathir menarik diri daripada jawatannya sebagai menteri pendidikan pada awal-awal pembentukan kabinet lagi, iaitu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Selaku perdana menteri ketujuh, Mahathir pada ketika itu faham bahawa memegang dua jawatan serentak bercanggah dengan janji Manifesto PH.

Ketiga: Rakyat tidak bising-bising sangat apabila Mahathir mengambil alih memangku jawatan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik selepas ahli parlimen Simpang Renggam itu meletak jawatan.

Saya sendiri bersangka baik bahawa Mahathir akan memangku jawatan sepenting itu sekadar sementara waktu sahaja.

Namun saya tidak sangka dalam keadaan bersifat sementara itu maka seorang pemangku menteri pendidikan boleh dengan mudah secara bersendirian mengumumkan dasar PPSMI dihidupkan semula selepas ia dimansuhkan pada 2010.

Bukan sahaja Mahathir selaku perdana menteri tidak berbincang mengenainya dalam kabinet, malah mengapa beliau juga tidak berbincang isu tersebut dalam Majlis Presiden PH?

Keempat: Sebagai seorang ahli parlimen PKR, suka saya mengingatkan sekali lagi bahawa pendirian parti selama ini ialah menentang dasar PPSMI.

Rakyat bangun dan turun ke jalan raya untuk menentang dasar PPSMI. Rakyat juga dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya menteri pendidikan kerajaan BN ketika itu - Muhyiddin Yassin - mengumumkan bahawa dasar PPSMI ditamatkan.

Kelima: Akhirnya saya ingin bertanya: Wajarkah seorang perdana menteri - yang bersetuju untuk turun dari jawatannya dalam tempoh terdekat ini sesuai dengan janji menjelang PRU ke-14 lalu dan kini hanya memangku jawatan menteri pendidikan - mengumumkan dasar yang telah ditolak oleh majoriti rakyat?

Tidakkah pengumuman Mahathir berkenaan PPSMI bukan sahaja akan menyusahkan PH menghadapi rakyat dalam PRU ke-15 nanti?

Lebih daripada itu, saya melihat tindakan Mahathir bersifat membelakangkan dasar tanggungjawab bersama para menteri dan juga kepemimpinan PH.

Ramai menteri penting dalam kerajaan PH ketika ini - termasuk yang menjaga keselamatan negara - adalah mereka yang berada bersama-sama rakyat di jalan raya sejak sebelum PRU pada 2008 bagi membantah perlaksanaan PPSMI.

Sepuluh tahun kemudian - iaitu pada 2020 - Mahathir ingin menghidupkan semula PPSMI?


HASSAN KARIM ialah ahli parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS