Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM siasat dakwaan eksekutif AirAsia terima rasuah Airbus
Diterbitkan:  Feb 1, 2020 6:17 PM
Dikemaskini: 10:40 AM

Siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan syarikat pembuat kapal terbang Airbus dan dua eksekutif AirAsia telah dimulakan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata antara tindakan yang telah diambil ialah menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom (UK) berkenaan perkara itu.

"Mengikut Akta SPRM, kami mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah yang dilakukan mana-mana warga negara atau penduduk tetap Malaysia di mana-mana tempat di luar negara.

"Dalam kes Airbus-AirAsia ini, saya dengan ini mengesahkan bahawa SPRM telah menghubungi pihak berkuasa UK dan telah pun memulakan siasatan dalam perkara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan akhbar UK, The Telegraph yang mendakwa AirAsia dan airAsiaX sebagai antara yang didakwa menerima rasuah daripada Airbus.

Menurut laporan itu yang disiarkan semalam, dokumen mahkamah didakwa menyebut Airbus memberi rasuah kepada dua "eksekutif yang tidak dinamakan" AirAsia dan airAsiaX untuk mendapatkan kontrak.

Menurut laporan itu lagi, AirAsia kemudian menempah 180 pesawat daripada Airbus dan dua eksekutif tersebut mendapat "habuan berkaitan tempahan pesawat", yang disifatkan dokumen mahkamah itu sebagai "(kontrak) diperolehi melalui bayaran yang tidak betul (improper)".

Laporan itu turut menyatakan Airbus membayar AS$50 juta dan menawarkan AS$55 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua eksekutif itu, yang disifatkan sebagai "pembuat keputusan utama" di AirAsia dan airAsiaX.

Salah seorang eksekutif itu dikatakan menghantar emel untuk menyatakan dia "...bosan (fed up). Anda sudah hutang saya empat juta dan secara keseluruhan 16 juta belum dibayar kepada saya."

"Ini patut dibayar lama dulu ketika saya beli 60 pesawat pertama. Saya nak wang saya," menurut emel itu seperti dipetik.

Satu lagi bentuk rasuah lain dari Airbus melibatkan Sri Lankan Airlines, TNA Airlines (Taiwan) serta satu penjualan pesawat tentera di Ghana.

Rasuah tersebut didakwa berlaku antara 2011 hingga 2015.

AirAsia memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berkenaan dakwaan ini.

Airbus akan membayar penyelesaian berjumlah €3.6 bilion di UK, Perancis dan Amerika Syarikat selepas mengakui rasuah tahap "endemik" dalam perniagaannya.

Ia merupakan penyelesaian tertinggi yang dicatat, mengatasi penyelesaian yang dibayar syarikat kejuruteraan Brazil, Odebrecht pada 2017 untuk menamatkan siasatan oleh pihak berkuasa negara itu serta Switzerland dan Amerika Syarikat.

Lihat Komen
ADS