Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-75: Pembelaan akan panggil Irwan Serigar beri keterangan esok

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke- 75 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


4.23 petang: Mahkamah diberitahu bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohr Irwan Serigar Abdullah akan memberi keterangan bagi pihak pembelaan esok.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tentang perkara ini di penghujung prosiding hari ini.

Harvinderjit berkata, seluruh prosiding esok mungkin akan dihabiskan untuk keterangan Irwan.

Terdahulu, saksi pembelaan kedua Krystle Yap, yang dahulu menjadi pegawai perhubungan AmBank, selesai memberi keterangan.

Nazlan kemudian menangguhkan prosiding kepada pukul sembilan pagi esok.


4.10 petang: Bekas pegawai perhubungan AmBank Krystle Yap berkata dia tiada pengetahuan peribadi bahawa tiada amaran dikeluarkan terhadap dana yang akan masuk ke akaun Najib Razak.

Saksi pembelaan kedua itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Sithambaram bertanya tentang jawapan Krystle dalam pernyataan saksinya, di mana dia berkata tiada amaran bahawa dana itu meragukan, kerana ia memiliki dokumen sokongan.

Sithambaram: Anda memang tahu (personal knowledge) tentang ini?

Yap: Tidak.


3.45 petang: Prosiding disambung semula selepas berhenti rehat seketika dengan DPP V Sithambaram menyoal balas saksi pembelaan kedua iaitu bekas pengurus hubungan AmBank, Krystle Yap.


Prosiding berhenti rehat selama 15 minit.

3.23 petang: Mahkamah Tinggi membenarkan prosiding dihentikan seketika untuk membolehkan pihak pendakwaan menyediakan pemeriksaan balas terhadap bekas pengurus perhubungan AmBank, Krystle Yap.

Yap adalah saksi keuda pembelaan yang baru sahaja memberi keterangan dalam pemeriksaan utama yang dijalankan oleh peguam Najib, Farhan Read dan Harvinderjit Singh.


Saya tiada urusan peribadi dengan Najib, kata bekas pengurus hubungan AmBank.

3.015 petang: Bekas pengurus hubungan AmBank Krystle Yap dalam keterangannya berkata beliau tidak mempunyai urusan peribadi dengan Najib Razak berhubung akaun bank bekas perdana menteri itu.

Ketika pemeriksaan utama dijalankan oleh peguam bela Farhan Read, saksi pembelaan kedua itu mengatakan bahawa beliau hanya mengikut arahan Joanna Yu, yang mengetuai pasukan yang menguruskan akaun Najib dengan nombor terakhir 880, 906 dan 898.

Yap, yang merupakan ahli paling junior dalam pasukan itu, mengatakan bahawa beliau juga tidak mempunyai urusan peribadi dengan Nik Faisal Ariff Kamil, individu yang diberi kuasa oleh Najib untuk mengendalikan akaun berkenaan.

"Namun saya menghantar e-mel kepada Nik Faisal apabila diarahkan berbuat demikian oleh Joanna Yu," kata Yap, 33.


Bekas Pegawai AmBank sahkan dirinya sebahagian anggota pasukan pengurusan akaun Najib

2.50 petang: Bekas pengurus hubungan AmBank, Krystle Yap memberi keterangan bahawa beliau adalah sebahagian daripada pasukan di AmBank yang menguruskan akaun bank bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Ketika memberi keterangan bagi pihak pembelaan, saksi kedua itu berkata beliau adalah seorang junior dalam pasukan AmBank, yang termasuk anggota-anggota kanan, Joanna Yu dan'Daniel Lee.

Sambil membaca kenyataan saksi, Yap berkata antara akaun Najib yang diuruskan pasukan itu ialah akaun dengan nombor terakhir 694, 880, 906 dan 898.

Akaun dengan nombor terakhir 880, 906 dan 898 adalah akaun yang terlibat dalam tujuh pertuduhan terhadap Najib melibatkan tuduhan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, membabitkan sebanyak RM42 juta dana dari SRC International.


Prosiding disambung semula

2.40 petang: Prosiding disambung semula selepas waktu rehat tengah hari.

Bekas pengurus hubungan AmBank, Krystle Yap dijangka dipanggil oleh pasukan peguam Najib Razak untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua.


Najib selesai beri keterangan

12.26 tengah hari: Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan tertuduh dikeluarkan dari kandang saksi.

Tertuduh telah memberi keterangan sejak 3 Disember tahun lalu apabila perbicaraan di peringkat pembelaan terhadap dakwaan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International bermula.

Peguam bela Harvinderjit Singh memaklumkan Nazlan bahawa saksi pembelaan seterusnya, Krystle Yap, akan memberi keterangan petang ini.

Harvinderjit Singh berkata Yap akan mula membaca 14 halaman keterangan saksi beliau.

Nazlan kemudian menangguhkan prosiding untuk waktu makan tengah hari. Perbicaraan akan disambung semula sekitar jam 2:30 petang ini.


Jho Low umpan saya dengan RM42 juta untuk tutup penipuannya - Najib

12.15 tengah hari: Bekas Perdana Menteri Najib Razak berkata ahli perniagaan yang kini diburu, Jho Low memastikan sumbangan dimasukkan ke akaun bank beliau untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinannya.

"Jho Low membuat banyak wang dan saya tidak terkejut bahawa dia terlibat dalam penipuan lain.

"Tetapi setelah membuat sejumlah besar wang di tempat lain, saya fikir dia mesti fikir bahawa jika dia tidak terus pastikan sumbangan masuk ke akaun saya, ini akan menjejaskan hubungannya dengan saya dan akan membawa saya untuk mendedahkan penipuan.

"Dia perlu terus memastikan saya mempunyai keyakinan dan percaya kepadanya, jadi RM42 juta adalah kecil berbanding apa yang dia buat.

"Dia melihatnya sebagai pelaburan, sebagai bayaran, supaya dia boleh terus mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti lain yang dia lakukan." 


Wallahi, wabillahi, watallahi saya tidak tahu - Najib

12.10 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak bersumpah ketika memberi keterangan untuk menunjukkan beliau tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

"Sebagai seorang Islam, wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak pernah meminta suapan dan saya tidak tahu bahawa RM42 juta disalurkan ke akaun saya pada masa itu," katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Najib menegaskan terdapat keterangan lisan dan bertulis di mahkamah bahawa tidak terdapat tawaran dan tidak disebut mengenai pertemuan berkaitan hal suapan itu.

Beliau berkata, sebarang cubaan untuk melakukan kesalahan tersebut adalah tidak masuk akal dan sesuatu yang bodoh.

"Ia tidak pernah berlaku, dan untuk mencadangkan bahawa sebagai Perdana Menteri saya terlibat dalam sesuatu seperti itu adalah tidak munasabah.

"Dan saya katakan, saya tidak begitu bodoh untuk meminta suapan seperti itu dan yang boleh dikesan" 


Jho Low dilihat mewakili Arab berbanding Malaysia - Najib

12.02 tengah hari: Najib Razak berkata ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low dilihat mewakili Arab Saudi dalam urusan antara kerajaan Timur Tengah dan Malaysia.

Semasa pemeriksaan semula oleh  peguam utama Muhammad Shafee Abdullah, bekas perdana menteri itu mengatakan Jho Low dilihat lebih dekat dengan Arab Saudi dan bukannya Malaysia semasa urusan yang membawa kepada berbilion-bilion ringgit derma Arab yang masuk ke akaun Najib.

Shafee: Kamu menyebut bahawa Jho Low telah berurusan dengan orang Arab. Adakah dia (Jho Low) memberi gambaran bahawa beliau mewakili Malaysia atau sebelah Arab?

Najib: Pada masa itu, adalah jelas dia (Jho Low) adalah lebih dekat di sebelah Arab dan bukannya di sebelah Malaysia. Beliau mewakili Arab Saudi pada masa itu.


Prosiding disambung semula

11.45 pagi: Prosiding disambung semula selepas berhenti rehat seketika. Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah akan menjalankan pemeriksaan semula terhadap Najib Razak.


Mahkamah berhenti rehat untuk peguam sediakan soalan terakhir

11.14 pagi: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah untuk berhenti rehat selama 20 minit.

Shafee memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pihak pembelaan perlu menyediakan dan berunding dengan Najib berhubung set terakhir soalan pemeriksaan semula.

Peguam bela Harvinderjit Singh telah menyelesaikan pemeriksaan semula dan hanya Shafee belum menghabiskan soalan beliau.

Shafee memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan dapat menyelesaikan pemeriksaan semula sebelum waktu rehat tengah hari ini.


11.00 pagi: Prosiding disambung semula.


10.33: Prosiding berhenti rehat seketika.


Saya tidak mesej Jho Low mengenai transaksi kad kredit disekat: Najib

10.17 pagi: Najib Razak menafikan beliau menghantar mesej kepada Jho Low mengenai transaksi kad kredit yang disekat pada 23 Dis 2014.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit bertanya mengenai satu log mesej perbualan yang dipertikaikan  antara Jho Low dan pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu pada 23 Dis, 2014.

Dalam log perbualan yang dikatakan itu, Jho Low didakwa memanjangkan mesej dari Najib yang bertanya mengapa kad kredit Platinum (Najib) tidak boleh digunakan dan meminta perkara itu diperiksa dengan AmBank.

Harvinderjit: Adakah anda menghantar mesej kepada Jho Low?

Najib: Tidak.

Najib bagaimanapun mengakui bahawa terdapat satu transaksi Visa Platinum yang berjumlah AS$ 130,625 di Honolulu, Hawaii, pada Disember 2014.

Sebelum ini, Najib mengakui bahawa transaksi itu untuk membeli sebuah jam tangan Chanel di Hawaii pada 22 Dis 2014.


Jho Low bantu hubungan dua hala dengan Arab Saudi, kata Najib

9.40 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa Jho Low membantu dalam mengukuhkan hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

Beliau memberi contoh Jho Low telah membantu mendapatkan pelepasan untuk pesawat Malaysia mendarat di Jeddah tanpa visa ketika negara ini membawa keluar pelajar dari Mesir semasa peristiwa Kebangkitan Arab (Arab Spring).

"Seperti yang kamu tahu, sebab utama mengapa kami mempunyai hubungan dengan Jho Low kerana ia terbukti dia mempunyai hubungan istimewa dengan Arab Saudi dan beberapa keluarga diraja yang lain di Timur Tengah.

 "Atas dasar itu, beliau membantu, bukan sahaja sebagai saluran untuk Arab Saudi, tetapi juga membantu dalam sebahagian daripada hubungan dua hala dengan Arab Saudi.

"Sebagai contoh, ketika berlaku Arab Spring, dan pelajar-pelajar kita terperangkap di Mesir dan mahu pulang ke tanah air, saya meminta beliau membantu, untuk mendapatkan pelepasan dari Saudi untuk membolehkan terbang ke ruang udara mereka, agar pesawat kita mendarat di Jeddah tanpa visa, "katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Harvinderjit Singh. 


'Derma RM2.6 bilion untuk pastikan saya bebas daripada penderma lain dalam PRU13'

9.36 pagi: Najib dalam keterangannya berkata sumbangan RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Arab Saudi untuk memastikan beliau bebas daripada penderma korporat di kalangan orang lain dalam pilihanraya umum ke-13.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela Harvinderjit Singh, bekas perdana menteri itu mengatakan ia bertujuan memastikan beliau bebas daripada perasaan terhutang budi kepada penderma lain seperti individu-individu korporat di Malaysia.

"Sebagai presiden Umno, saya mahu sumber pendapatan untuk membuatkan saya bebas daripada penderma lain, yang bermakna saya tidak mempunyai IOU (I Owe You) dengan sesiapa sahaja.

"Saya lebih selesa jika saya tidak mengambil sumbangan korporat. Saya tidak mahu rasa terhutang budi kepada sesiapa.

"Sumber derma akan memenuhi keperluan parti (Umno) yang mana bukan termasuk membeli undi (yang dinafikan Najib sebelum ini) tetapi untuk aktiviti seperti acara, papan iklan. Ia adalah keperluan apabila BN adalah sebuah parti yang terlibat (bertanding) di 222 kerusi Parlimen di seluruh negara (menjelang PRU-13), "kata Najib.

Najib menambah, menerima sumbangan politik adalah perkara biasa yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu, tanpa menyebut nama mereka.


Saya tahu RM2.6b masuk ke akaun kerana surat dari keluarga diraja Arab: Najib

9.23 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memberitahu beliau tahu bahawa RM2.6 bilion dimasukkan ke akaunnya berdasarkan surat dari keluarga diraja Arab.

Semasa pemeriksaan semula, tertuduh mengatakan kayakinan beliau  berdasarkan surat yang mengatakan wang itu dimasukkan oleh Raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud melalui pelbagai saluran.

Harvinderjit bertanya bagaimana Najib tahu secara khusus bahawa RM2.6 bilion itu masuk ke akaun bank tertuduh walaupun tertuduh semasa pemeriksaan balas berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai jumlah tertentu yang masuk ke akaun banknya.

Semasa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan, Najib berkata Ketua Setiausaha peribadinya Azlin Alias ​​antara lain, biasanya memberitahunya bahawa wang mencukupi dalam akaunnya bagi beliau mengeluarkan cek, tanpa menyatakan jumlah tertentu.

"RM2.6 bilion berdasarkan surat derma yang saya terima.

"Saya percaya bahawa ia (RM2.6 bilion) datang dari derma Raja Abdullah melalui pelbagai saluran," kata Najib ketika memberi keterangan.


9.20 pagi: Bekas Perdana Menteri Najib Razak memasuki kandang saksi apabila prosiding bermula.

Pasukan pembelaan akan meneruskan pemeriksaan semula terhadap tertuduh.


8.59 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Turut kelihatan menunggu prosiding bermula di mahkamah ialah peguam utama beliau Muhammad Shafee Abdullah, serta anggota pendakwaan.


Bekas pengurus hubungan AmBank, Krystle Yap mungkin memberi keterangan bagi pihak pembelaan pada hari ke-75 perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Semalam, peguam bekas perdana menteri itu, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa pihak pembelaan sedang meneliti untuk menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap tertuduh hari ini, sekali gus memberi laluan bagi Yap memberi keterangan bagi pihak pembelaan.

Sejak perbicaraan di peringkat pembelaan bermula pada 3 Disember tahun lalu, Najib telah menjalani pemeriksaan utama oleh pasukan pembelaan selama tiga hari, dan tertakluk kepada pemeriksaan balas selama 11 hari.

Jika pihak pembelaan menyelesaikan pemeriksaan semula terhadap Najib hari ini, ia bermakna bekas perdana menteri perlu berada di kandang saksi selama 16 hari.

Yap adalah antara senarai saksi pendakwaan yang telah ditawarkan kepada pihak pembelaan berikutan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib membela diri pada 11 November tahun lepas.

Semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan tahun lalu, Yap dirujuk dalam pelbagai keterangan, termasuk bekas pegawai penyiasat Bank Negara Ahmad Farhan Sharifuddin, yang mengetuai serbuan sepasukan pegawai dari bank pusat itu di Ambank cawangan Jalan Raja Chulan pada Julai 2015.

Pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan terhadap Najib dijangka disambung semula di hadapan Nazlan sekitar jam 9 pagi ini.

Semalam, Najib antara lain memberi keterangan bahawa beliau tidak pasti  sama ada kedua-dua jaminan kerajaan, bagi RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International, telah dibentangkan di Parlimen seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 2 (3) Akta Jaminan (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

Lihat Komen
ADS