Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan dakwaan penyalahgunaan dana daripada SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-76 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung:


Pasukan peguam Najib akan bawa saksi keempat Isnin depan

12.12 tengah hari: Pasukan pembelaan Najib Razak akan membawa saksi keempat untuk memberikan keterangan pada Isnin minggu depan.

Peguam bela, Harvinderjit Singh memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada akhir prosiding hari ini.

Nazlan kemudian menangguhkan prosiding dan akan disambung semula pada pukul 9 pagi Isnin minggu depan.

Pada hari Selasa sehingga Rabu minggu depan, seorang pakar Australia juga akan meneliti dokumen yang dipertikaikan berkaitan kes SRC International.

Dilaporkan sebelum ini bahawa mahkamah telah membenarkan permohonan Najib untuk membolehkan pakar memeriksa dokumen-dokumen yang dipertikaikan itu.

Mahkamah juga memutuskan bahawa pemeriksaan pakar itu akan dijalankan di tempat lain supaya perbicaraan SRC boleh diteruskan pada masa yang sama.


Pihak pendakwaan pilih untuk tidak soal balas Irwan

12.07 tengah hari: Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan mempunyai pilihan untuk tidak menyoal balas bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Sithambaram memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa berdasarkan keterangan lisan yang diberikan Irwan pagi ini, pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak memeriksa balas saksi pembelaan ketiga itu.

Disebabkan peguam Najib juga tidak akan melakukan pemeriksaan balas, Irwan dibenarkan oleh mahkamah untuk dilepaskan dari kandang saksi.


12.06 tengah hari: Prosiding disambung semula selepas berhenti rehat seketika, dengan pihak pendakwaan dijangka menjalankan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.


11.39 pagi: Peguam Najib selesai soal Irwan

Pasukan peguam Najib Razak selesai melakukan pemeriksaan utama terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Peguam bela, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tiada soalan lanjut selepas mengambil alih daripada peguam Farhan Read.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan prosiding dihentikan seketika untuk membolehkan pihak pendakwaan menyediakan pemeriksaan balas ke atas Irwan.

Sejak pagi, Irwan, yang merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada pertengahan tahun 2012, telah memberi keterangan tanpa kenyataan saksi disediakan, dengan Farhan dan Harvinderjit bertanya beberapa soalan kepadanya.


11.23 pagi: Prosiding disambung semula.


11.11 pagi: Prosiding ditangguhkan untuk berhenti rehat seketika.


'Bekas menteri kewangan kedua, tak pernah beritahu saya pasal memo'

10.53 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata bekas menteri kewangan kedua Husni Hanadzlah tidak pernah memberitahunya bahawa dia (Husni) diarahkan menandatangani memo untuk jaminan kerajaan kali kedua sebanyak RM2 bilion bagi pinjaman kepada SRC International.

Irwan berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read.

Irwan, yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada tahun 2012, berkata demikian ketika Farhan bertanya sama ada Husni pernah memberitahunya bahawa dia (Husni) telah diarahkan untuk meluluskan memo berkenaan.

Memo itu kemudian dihantar ke kabinet pada awal tahun 2012, di mana kerajaan meluluskan jaminan kedua sebanyak RM2 bilion pinjaman kepada SRC.


Saya tidak terlibat dalam jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2b untuk SRC: Irwan

10.48 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata beliau tidak terlibat dalam jaminan kerajaan berhubung pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Inc (KWAP) kepada SRC International pada 2011.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read.

Berhubung soalan Farhan mengenai jaminan kedua kerajaan yang dikeluarkan untuk pinjaman kedua KWAP kepada SRC berjumlah RM2 bilion pada awal 2012, Irwan berkata beliau tidak terlibat dalam perbincangan mengenainya.

Katanya, beliau hanya menandatangani memo yang berkaitan, sebelum dibentangkan di kabinet, kerana Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu tiada untuk menandatangani memo berkenaan.

Irwan ketika itu merupakan timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada awal 2012.

"Nombor satu tidak ada, jadi mereka datang kepada saya, nombor dua, untuk mendapatkan tandatangan pada memo dan hantar kepada menteri," kata Irwan. 


Biasanya lebih sebulan diperlukan untuk kelulusan jaminan kerajaan

10.38 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata biasanya mengambil masa lebih sebulan untuk proses permohonan untuk kelulusan kabinet bagi permohonan untuk jaminan kerajaan bagi sesuatu pinjaman.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read, saksi pembelaan ketiga itu berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai garis masa yang diperlukan untuk permohonan berkenaan diluluskan kabinet.

Irwan pada masa itu masih memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika jaminan kerajaan diluluskan untuk sejumlah RM4 bilion pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) untuk SRC International.

Jaminan kerajaan pertama dibuat pada akhir 2011 untuk pinjaman bahagian pertama dari KWAP kepada SRC sebanyak RM2 bilion, dan jaminan kerajaan kedua pada awal 2012 untuk pinjaman bahagian kedua KWAP kepada SRC sebanyak RM2 bilion.

Irwan hanya dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada penghujung 2012, dengan mengambil alih jawatan itu daripada Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

"Ia bergantung. Ia boleh mengambil masa satu hingga tiga bulan, ia boleh mengambil masa kurang daripada sebulan, bergantung kepada berapa segera yang diperlukan.

"Biasanya satu hingga tiga bulan, purata yang diperlukan," kata Irwan.

Apabila Farhan bertanya sama ada terdapat sebarang permohonan untuk jaminan kerajaan yang mengambil masa kurang daripada sebulan untuk diluluskan, beliau menjawab secara purata ia mengambil masa lebih daripada sebulan.

Semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan tahun lepas, saksi pendakwaan Maliami Hamad, yang merupakan bekas pegawai kanan Kementerian Kewangan, berkata arahan datang dari Menteri Kewangan, Najib ketika itu melalui perantara, untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan SRC untuk mendapatkan jaminan kerajaan berbilion-bilion ringgit dari pinjaman KWAP.


Jaminan kerajaan boleh diberikan kepada syarikat-syarikat baru - Irwan

10.30 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata hanya dalam keadaan yang luar biasa, kerajaan boleh memberi jaminan kepada syarikat-syarikat baru.

Saksi ketiga pihak pembelaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read.

Irwan mengatakan ini hanya berlaku sekiranya projek oleh syarikat baru itu adalah perkara yang pasti.

Farhan bertanya soalan secara umum bila jaminan kerajaan boleh dikeluarkan.

Kes Najib melibatkan pengeluaran jaminan kerajaan untuk pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.


9.45 pagi: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah mengangkat sumpah untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.

Peguam bela, Farhan Read memulakan pemeriksaan utama terhadap Irwan.


9.43 pagi: Prosiding bermula dan Najib memasuki kandang tertuduh. Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwar Serigar Abdullah dijangka memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ketiga.


9.30 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Turut kelihatan menunggu prosiding bermula adalah Peguam Negara, Tommy Thomas dan pendakwa raya lain, serta anggota pasukan pembelaan.


Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah akan memberi keterangan pada hari ke-76 perbicaraan terhadap Najib Razak.

Semalam, peguam Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan memanggil Irwan Serigar untuk memberikan keterangan lisan sebagai saksi pembelaan ketiga hari ini.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan bermula sekitar jam 9 pagi, dengan Irwan dijangka memberikan keterangan sepanjang hari sebagai saksi dalam pemeriksaan utama yang dijalankan peguam bela Najib.

Irwan juga dituduh bersama Najib dalam kes pecah amanah membabitkan RM6.6 bilion, di mana perbicaraan tersebut ditetapkan bermula pada 2 Mac.

Semalam, Najib selesai memberikan keterangan selepas berbuat demikian selama 16 hari.

Tertuduh memberi keterangan sejak 3 Dis tahun lepas di peringkat pembelaan atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram sebanyak RM42 juta dari SRC International.

Semalam, bekas menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC International itu, antara lain, membaca semula sumpah laknat di mahkamah.

Dalam keterangannya beliau berkata derma Arab yang dimasukkan ke akaunnya untuk memastikan beliau tidak terhutang budi kepada sesiapa dalam pilihan raya umum ke-13.

Najib juga memberitahu mahkamah beliau lega kerana tidak dijemput ke parti mewah anjuran jutawan Low Taek Jho atau Jho Low, yang kini menjadi buruan.

Lihat Komen
ADS