Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pemain bola lebih mudah dapat kerakyatan dari anak warga Malaysia'
Diterbitkan:  Feb 5, 2020 4:17 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Sebuah kumpulan berkaitan hak kewarganegaraan mempersoalkan mengapa kerakyatan boleh diberi kepada pemain bola sepak.

Pada masa sama, kata kumpulan itu, anak yang salah seorang ibu atau bapanya rakyat Malaysia tidak diberikan kerakyatan.

Kempen untuk Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia, sebuah gerakan yang diketuai oleh Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (Foreign Spouses Support Group, FSSG) mempersoalkan sama ada kanak-kanak tersebut telah dilupakan kerajaan.

"Kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh wanita Malaysia berdepan penangguhan dan penolakan, tanpa jaminan (permohonan status warganegara diluluskan). Ramai yang tinggal di luar, dengan ada yang menunggu untuk pulang ke Malaysia.

"Ramai anak-anak oleh lelaki Malaysia, yang lahir di luar perkahwinan yang sah, kini tinggal di Malaysia tanpa kewarganegaraan.

"Kanak-kanak ini akan menjadi dewasa dan akan terus mendapat akses tidak sama rata...terutama dalam pendidikan tinggi dan peluang ekonomi," menurut kumpulan itu di Twitter.

Ciapan itu sebagai respons kepada pemberian status kerakyatan kepada pemain bola sepak dari Kosovo, Liridon Krasniqi.

Ia dikatakan sebagai langkah untuk membolehkan Liridon dimasukkan dalam skuad bola sepak kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

Dia yang kini bermain untuk pasukan Johor Darul Ta'zim menerima MyKad semalam.

Sebelum ini, Kempen untuk Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia mencadangkan perlembagaan dipinda agar pemberian status kewarganegaraan dibuat dengan lebih saksama.

Ini kerana menurut Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan, anak kepada lelaki warga Malaysia yang lahir di luar negara akan mendapat status warga, dengan membuat permohonan.

Manakala wanita warga Malaysia dengan pasangan asing perlu memohon status kerakyatan anak mereka di bawah peruntukan berbeza - Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh sebelum ini berkata kerajaan sedang berusaha untuk menangani isu tersebut.

Ia termasuk ke arah kerakyatan secara automatik kepada anak wanita warga Malaysia yang lahir di luar negara, serta penggunaan DN sebagai bukti konklusif untuk kelulusan kewarganegaraan.

Lihat Komen
ADS