Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes warta notis lucut harta Umno Johor 7 Apr

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 7 April untuk pengurusan kes bagi permohonan pendakwaan mewartakan notis bagi pihak ketiga yang berkepentingan ke atas wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno Negeri Johor.

Wang itu yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Notis itu bertujuan memanggil pihak ketiga hadir ke mahkamah sama ada secara sendiri atau melalui peguam untuk memberi tunjuk sebab mengapa harta itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nik Haslinie Hashim memohon tarikh untuk pihaknya mewartakan notis berkenaan.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor selaku responden.

Di Mahkamah Tinggi berasingan, Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan 3 Mac untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang RM628,314 daripada Jakel Trading yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Ahmad Shahrir menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mahadi Abdul Jumaat mewakili pendakwaan dan peguam Thevini Nayagam dan Habizan Rahman bertindak bagi pihak Jakel.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya sebelum ini berkata permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amla) dan suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS