Setelah lebih sebulan Najib Razak berdepan perbicaraan rasuah berhubung SRC International, perhatian kini tertumpu ke arah beberapa dokumen penting yang dikatakan mengandungi tandatangan bekas perdana menteri itu.
Namun, Najib mempertikaikan kesahihan tandatangan dalam dokumen berkenaan.
Ini menyebabkan pihak pembelaan membuat permohonan untuk membawa saksi pakar bagi membantu mengesahkan tandatangan yang didakwa milik Najib, dan seterusnya dibenarkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pertikaian itu berkisar tentang tujuh dokumen, dan bagi pihak pembelaan, mereka mahu pemeriksaan tandatangan tersebut dilakukan oleh seorang pakar tandatangan dari Australia.
Dokumen-dokumen yang dikatakan ditandatangani Najib, termasuklah arahan menghantar RM4 bilion wang dari dana SRC, yang merupakan pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) yang tak dapat dikesan.
Dalam keterangan yang diberikan kepada mahkamah, Najib berkata dia kini meragui dokumen-dokumen itu dan mengesyaki tandatangannya mungkin telah dipalsukan.
Katanya, kecurigaan itu timbul apabila semasa perbicaraan peringkat pendakwaan dulu, dia melihat saksi Suboh Md Yassin yang merupakan bekas pengarah SRC, memberi keterangan bahawa tandatangannya (Suboh) mungkin dipalsukan.
Ini merupakan inti pati tujuh dokumen yang dipertikaikan Najib dan dijangka diperiksa oleh saksi pakar bulan depan (Februari):
P277
Satu surat bertarikh 24 Disember 2014, dikatakan ditandatangani Najib untuk mengarahkan AmBank melakukan dua pemindahan wang keluar daripada akaunnya, yang mempunyai angka akhir nombor akaun 880 dan 906.
Bank itu diarahkan untuk membuat pemindahan sebanyak RM27 juta kepada Permai Binaraya Sdn Bhd dan RM5 juta kepada Putra Perdana Construction Sdn Bhd, kedua-duanya pada 29 Disember 2014.
P497
P487 merupakan keterangan pendakwaan 497 yang mengandungi minit mesyuarat pemegang saham 1MDB yang dikatakan ditandatangani Najib pada 15 September 2011, mengarahkan ahli lembaga pengarah 1MDB untuk meluluskan beberapa aktiviti membabitkan SRC International.
Untuk rekod, SRC International pada ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB, sementara Najib merupakan menteri bertanggungjawab dalam Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) yang memiliki 1MDB.
Antara lain, arahan itu meminta RM1.5 bilion - dalam nilai dolar AS yang setara - dipindahkan dari akaun SRC International ke Falcon Private Bank Ltd (cawangan Hong Kong) untuk tujuan pelaburan antarabangsa, serta untuk SRC International mendepositkan RM300 juta kepada Julius Baer Hong Kong untuk pelaburan antarabangsa.
Dalam P497 juga, terdapat satu set resolusi pekeliling pengarah (DCR) bertarikh 11 Oktober 2011 yang “meluluskan” arahan itu untuk dilaksanakan.
P501
Satu set minit mesyuarat yang dikatakan ditandatangani Najib sebagai menteri bertanggunjgawab terhadap MKD, sebagai pemegang saham 1MDB.
Minit mesyuarat yang bertarikh 17 Februari 2012 ini mengandungi kelulusan oleh MKD untuk anak syarikat 1MDB, SRC International menghantar wang berjumlah RM3.6 bilion ke luar negara sebagai pelaburan antarabangsa.
RM3.6 bilion itu diperoleh daripada dua peringkat pinjaman yang dibuat SRC daripada KWAP, berjumlah RM4 bilion.
P510
Dokumen ini merupakan set minit mesyuarat yang dikatakan ditandatangani Najib atas kapasitinya sebagai wakil korporat MKD pada 2012, mengandungi kelulusan pindaan memorandum dan artikel persatuan (M&A) seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 23 April 2012.
Melalui minit mesyuarat inilah Najib dikatakan meluluskan pengenalan Perkara 117 dalam M&A yang antara lain, menyatakan perdana menteri akan dilantik sebagai Penasihat Emeritus dalam SRC International.
Terjemahan perkara 117 itu menyatakan: “Penasihat Emeritus akan menasihati lembaga tentang hal-hal penting berhubung kepentingan strategik Malaysia dan lembaga akan membuat pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan sebarang nasihat oleh Penasihat Emeritus, demi kepentingan terbaik syarikat”.
Satu tandatangan dikatakan milik Najib dijumpai di bahagian bawah dokumen itu, sebagai Wakil Korporat MKD.
P530
Dalam satu set minit mesyuarat lembaga saham 1MDB bertarikh 11 Ogos 2011 ini, Najib dikatakan mengarahkan pengerusi 1MDB ketika itu Che Lodin Wok Kamaruddin untuk menjalankan beberapa aktiviti berkaitan SRC.
Antara lain, ia mengarahkan 1MDB melantik Ismee Ismail sebagai pengerusi ahli lembaga pengarah SRC, manakala Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, and Nik Faisal Ariff Kamil pula dilantik sebagai ahli lembaga pengarah.
Minit mesyuarat itu mengarahkan 1MDB melantik Nik Faisal sebagai pengarah urusan SRC dan CEO (ketua pegawai operasi) untuk kontrak tiga tahun, berkuat kuasa serta merta (pada tarikh tersebut), dan menamakan Ismee, Nik Faisal, Shahrol Azral, dan Che Abdullah sebagai penandatangan sah akaun Ambank syarikat berkenaan.
D534
Minit mesyuarat pemegang saham 1MDB bertarikh 17 Februari 2012, mengandungi kelulusan pertukaran RM1.8 bilion dana syarikat itu kepada mata wang dolar AS dan menghantarnya kepada sebuah anak syarikatnya, SRCI (SRC International (Malaysia) Ltd) sebagai pendahuluan.
(SRCI ialah anak syariakt SRC)
RM1.8 bilion itu sepatutnya disimpan dalam dua akaun bank SRCI di BSI Bank (cawangan Lugano di Switzerland) dan Julius Baer & Co (cawangan Hong Kong) untuk pelaburan masa hadapan dan modal kerja.
D535
Minit mesyuarat pemegang saham 1MDB bertarikh 17 Februari 2012, yang meluluskan pinjaman peringkat kedua bernilai RM2 bilion oleh SRC daripada KWAP.
Satu tandatangan yang dikatakan milik Najib dijumpai di bahagian bawah dokumen, sebagai MKD.
