Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hari ke-77: 'Najib beritahu saya bantuan kewangan dari Arab Saudi'

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-77 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


12.21 tengah hari - Bekas menteri Umno Jamil Khir Baharom esok akan memberi keterangan dalam kes SRC International melibatkan Najib Razak.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali di penghujung prosiding hari ini.

Shafee juga berkata mereka akan cuba memanggil bekas menteri luar Anifah Aman sebagai saksi pada Rabu atau Khamis ini.

Beliau sebelum itu telah menyelesaikan soal balas terhadap bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaf.

Pasukan pembelaan juga berkata akan memohon mendapatkan beberapa kenyataan saksi yang tidak dapat dijejak, seperti bekas CEO SRC International CEO Nik Faisal Ariff Kamil.

Sebelum ini dilaporkan mahkamah telah mendengar bahawa SPRM telah merakamkan kenyataan Nik Faisal.

Nik Faisal ialah pihak yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib yang didakwa melibatkan penerimaan RM42 million from SRC International.

Nazlan menetapkan Isnin minggu depan untuk mendengar permohonan berkaitan kenyataan itu.

Mahkamah ditangguhkan hari ini dan akan bersambung pada jam 9 pagi esok.


'Najib beritahu saya Raja Abdullah janji bantuan kewangan untuk PRU'

11.56 pagi: Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Syed Mohammad al Saggaf dalam keterangannya berkata Najib Razak yang mengatakan kepadanya bahawa bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud berjanji untuk memberi  bantuan kewangan berkaitan PRU13.

Saksi keempat pembelaan itu membuat pengakuan berkenaan semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram.

Sithambaram menyoal Syed Omar sama ada saksi itu tahu secara peribadi mengenai sama ada Raja Abdullah menjanjikan bantuan kewangan kepada Najib untuk pilihan raya umum di Malaysia atau tidak.

Syed Omar sebelum itu memberi keterangan bahawa selepas mesyuarat tidak rasmi antara delegasi Malaysia yang diketuai Najib dan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah pada 11 Jan 2010, Syed Omar berkata, beliau difahamkan bahawa Raja Abdullah menjanjikan bantuan kepada Najib.

Pilihan raya umum ke-13 diadakan pada tahun 2013.

Sithambaram: Kamu sendiri tidak mendengar apa yang dikatakan kepadanya antara satu sama lain (Raja Abdullah dan Najib). Apa yang kamu (Syed Omar) kata dalam satu kenyataan saksi kamu, kamu tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai fakta yang berhubungan dengan pilihan raya umum?

Syed Omar: Tidak.

Sithambaram: Kamu tahu perkara itu selepas tu?

Syed Omar: Dari Najib, apabila kami meninggalkan dewan di mana mesyuarat berlangsung (di Riyadh, Arab Saudi).

Sithambaram: Sama ada kamu tahu ini atau tidak, kamu tidak tahu?

Syed Omar: Saya tidak tahu.


Bekas duta tak tahu jika derma Arab satu bentuk campur tangan asing

11.45 pagi: Bekas duta Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohammad al Saggaf mengatakan beliau tidak tahu sama ada janji Arab Saudi untuk memberikan bantuan kewangan kepada Malaysia bagi pilihan raya menunjukkan campur tangan asing dalam hal ehwal dalaman Malaysia.

Saksi keempat pembelaan itu memberikan jawapan demikian selepas ditanya Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram semasa pemeriksaan balas.

Terdahulu pada peringkat pemeriksaan utama pagi ini, Syed Omar memberi keterangan bahawa beliau difahamkan bahawa Raja Abdullah telah berjanji memberi bantuan kewangan kepada perdana menteri Najib Razak pada masa itu untuk kegunaan pilihan raya di Malaysia.

Syed Omar berkata beliau difahamkan mengenai perkara itu selepas mesyuarat tidak rasmi antara delegasi Malaysia yang diketuai Najib dan Raja Abdullah di Riyadh pada 11 Jan 2010.

Saksi itu berkata mesyuarat tidak rasmi itu dilakukan sebelum lawatan rasmi Najib ke Arab Saudi pada bulan Januari 2010.

Dalam prosiding sebelum ini, pasukan Najib berhujah bahawa RM42 juta, yang mengalir ke akaun Najib antara Disember 2014 dan Februari 2015, adalah sebahagian daripada RM2.6 bilion sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Antara sebab yang dinyatakan, sumbangan itu didakwa untuk membantu kerajaan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada tahun 2013.

Sithambaram: Saya katakan kepada kamu bahawa jika Perdana Menteri (Najib) mengetuai kerajaan (delegasi di Arab Saudi) menerima sumbangan untuk tujuan pilihan raya, maka ia akan menjadi campur tangan kerajaan asing dalam hal ehwal Malaysia.

Syed Omar: Saya tidak tahu.


11.36 pagi: Prosiding disambung semula.


Mahkamah berhenti rehat selama sejam

10.28 pagi: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, V Sithambaram untuk prosiding berhenti rehat selama sejam.

Hakim membenarkan permohonan itu kerana pendakwaan diserahkan salinan keterangan saksi, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaf yang telah dipinda pagi ini.

Mereka diberikan versi keterangan saksi yang belum dipinda malam tadi.

Pendakwaan memohon untuk berehat selama sejam untuk membantu mereka bersiap sedia terhadap pemeriksaan balas.

Terdahulu, peguam utama Muhammad Shafee Abdullah menyelesaikan  pemeriksaan utama terhadap Syed Omar, yang merupakan saksi pembela keempat dalam kes itu.


Bekas menteri Anifah Aman dan Jamil Khir saksi pembelaan seterusnya: Shafee

10.25 pagi: Bekas Menteri Luar Anifah Aman dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan memberi keterangan sebagai saksi pemmbelaan dalam kes Najib Razak.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa mereka adalah saksi pembela yang berpotensi untuk dipanggil semasa perbicaraan minggu ini.

Perbicaraan minggu ini ditetapkan mulai hari ini hingga Khamis.

Shafee memberitahu perkara itu selepas menyelesaikan pemeriksaan utama terhadap bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Syed Mohammad al Saggaf.

Sebelum itu, Syed Omar yang merupakan saksi pembelaan keempat memberi keterangan bahawa Jamil Khir dan Anifah ada dalam delegasi Malaysia, bersama-sama dengan Najib, semasa mesyuarat tidak rasmi dengan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah pada 11 Jan 2010.


'Bekas raja Arab Saudi janji bantuan kewangan pada Najib'

9.52 pagi: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah menjanjikan bantuan kewangan kepada Perdana Menteri, Najib Razak bagi membiayai Pilihan Raya Umum (PRU-13)

Bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi, Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaf berkata beliau difahamkan perkara itu semasa mesyuarat tidak rasmi antara delegasi Najib dan Raja Abdullah pada 11 Jan 2010 di Riyadh, Arab Saudi.

Semasa membaca kenyataan saksi, saksi pembelaan itu berkata mesyuarat tidak rasmi itu berlaku sebelum lawatan rasmi Najib ke Arab Saudi beberapa hari kemudiannya pada Januari 2010.

"Selepas mesyuarat (Jan 11 2010), saya difahamkan bahawa Raja Abdullah berjanji untuk menghantar bantuan kewangan kepada Najib dalam menguruskan politik berkaitan pilihan raya akan datang (PRU-13)," kata Syed Omar ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah.

Syed Omar berkata, sebelum ini dalam mesyuarat itu, Raja Abdullah menyatakan kekaguman terhadap Malaysia kerana berjaya menguruskan negara ini dan bimbang dengan keadaan keadaan huru-hara akibat Kebangkitan Arab (Arab Spring) di Timur Tengah.


9.27 pagi: Saksi pembelaan keempat, bekas duta Malaysia ke Arab Saudi mengambil tempat di kandang saksi.

Beliau akan membaca kenyataan saksi bertulis.

Saksi berkenaan adalah Duta Besar Malaysia ke negara Timur Tengah itu dari Sept 2008 hingga September 2013.


9.24 pagi: Tertuduh Najib Razak memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.

Turut kelihatan di mahkamah ialah peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah.


9 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak memasuki Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan mengambil tempat duduk di baris hadapan galeri awam.

Turut kelihatan di mahkamah menunggu prosiding bermula ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), V Sithambaram dan DPP lain, serta pasukan peguam Najib.


Seorang bekas duta Malaysia ke Arab Saudi dijangka memberi keterangan pada hari ke-77 perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Difahamkan bekas duta itu merupakan saksi keempat pembelaan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri itu, yang didakwa atas tujuh tuduhan salahguna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pada akhir prosiding minggu lepas, peguam tertuduh, Harvinderjit Singh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka akan memanggil saksi itu untuk ditemu bual agar bersiap sedia dalam perbicaraan hari ini.

Dalam prosiding pada Rabu lalu, mahkamah antara lain mendengar keterangan daripada saksi ketiga, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang mengatakan kebiasaannya mengambil masa lebih sebulan untuk proses kelulusan bagi permohonan jaminan kerajaan ke atas pinjaman.

Semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan tahun lalu, saksi pendakwaan Maliami Hamad, yang juga bekas pegawai kanan kementerian kewangan, berkata arahan datang dari Menteri Kewangan melalui perantara, untuk mempercepatkan pemprosesan permohonan SRC bagi mendapatkan jaminan kerajaan untuk pinjaman berbilion ringgit daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.

Kabinet meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman RM2 bilion daripada KWAP kepada SRC pada akhir 2011, dan jaminan kerajaan kedua bagi pinjaman sebanyak RM2 bilion pada awal 2012.

SRC diletakkan di bawah hak milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada awal 2012.

Prosiding pagi ini dijalankan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan dijangka bermula sekitar jam 9 pagi.

Lihat Komen
ADS