Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tulisan kritik TMJ: Tamrin mahu berdepan di mahkamah

Setelah disoal siasat hampir tiga jam berhubung tulisannya yang mengandungi kritikan terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tamrin Abdul Ghafar memberitahu pemberita bahawa beliau lebih suka perkara itu dibawa ke mahkamah.

Kata anak sulung bekas timbalan perdana menteri Abdul Ghafar Baba itu, sekiranya hal itu dibawa ke mahkamah, barulah beliau boleh mengemukakan bukti-bukti berkaitan dan pihak-pihak berkenaan juga boleh disapina oleh mahkamah.

"Saya kata (dalam soal siasat) saya lebih suka sekiranya benda ini dibawa ke mahkamah, jadi bolehlah sapina mereka semua ini," katanya tanpa memperincikan siapa yang dirujuk.

“Bila hendak membela diri sendiri itu, saya terpaksalah memanggil TMJ juga," katanya lagi. 

Beliau berkata demikian selepas dilihat keluar daripada memberi keterangan di ibu pejabat polis Bukit Aman, kira-kira jam 2 tengah hari tadi.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kata peguamnya, Mohd Azharul Ab Talib, laporan polis terhadap anak guamnya dibuat di Majidee, Johor, berdasarkan satu hantaran Facebook menggunakan nama Tamrin, disalin daripada tulisan asal di blognya.

Laman Facebook itu dipercayai merupakan laman peminat Facebook Tamrin.

“Saya tak ada Facebook. Saya tak tahu nak guna Facebook,” ulas Tamrin kemudiannya,

Dalam tulisan berjudul 'TMJ - Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar' yang dimuat naik di blognya pada 1 Februari, Tamrin mengkritik TMJ dan kerabat diraja Johor sebagai “perampas kuasa” yang “tidak ada setitis pun darah raja”, bersama beberapa kritikan lain.

Dia juga menyatakan dia akan bertanggungjawab atas tulisannya itu dan bersedia sekiranya diambil tindakan undang-undang.

Tamrin tiba di Bukit Aman kira-kira jam 10.50 pagi dengan mengenakan kemeja biru dan berkot hitam.

Meskipun baru disoal siasat, beliau membayangkan tidak serik untuk menulis lagi.

“Ekoran apa berlaku hari ini, saya akan membuat satu penulisan baru. Tulisan bertajuk ‘Saya ke Bukit Aman sekali lagi’," katanya.

Sementara itu, disoal pemberita tentang keahlian politik terbarunya, Tamrin hanya menjawab “tak ada orang nak saya”, sambil tersenyum.

“Tapi saya rasa lebih baiklah, sekurang-kurangnya saya lelaki yang bebas hari ini,” katanya.

Tamrin pernah menjadi anggota parlimen Batu Berendam, Melaka di bawah  tiket Umno dari 1986 hingga 1995, sebelum keluar parti itu untuk menyertai PAS pada 2012.

Beliau bagaimanapun keluar PAS dua tahun kemudian. 

Lihat Komen
ADS