Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Usul percaya PM: Itu tanda PAS takut dan cemas, kata penganalisis

Hasrat PAS untuk mengemukakan undi percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di parlimen adalah strategi parti itu yang berbentuk provokasi, kata penganalisis politik.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, berkata hal berkenaan dianggap begitu jika ia dilihat kepada keadaan politik semasa.

"Dalam konteks politik, saya tengok ia adalah strategi PAS apabila mereka mahu membawa usul tersebut ke parlimen dan secara tidak langsung memprovokasi ahli-ahli parlimen PH.

"Sebab dalam PKR dan DAP wujud kumpulan mendesak supaya Mahathir menunaikan janji bagi melepaskan jawatannya pada bulan Mei nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambah Mazlan, dalam keadaan sekarang sebahagian orang dalam PH percaya Mahathir perlu meletak jawatan Mei ini.

"Apabila PAS membawa usul berkenaan ke parlimen, ini mungkin mahu memperlihatkan wujud sikap berbelah bahagi dalam kalangan wakil rakyat PH.

"Ini kononnya strategi nak pecah-belahkan PH," katanya.

Tak masuk akal

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat PAS untuk membawa usul undi percaya bagi menyokong kepemimpinan Mahathir ke persidangan Dewan Rakyat pada bulan depan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS secara terbuka menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga mandat pentadbiran pimpinan PH tamat pada 2023.

Bagaimanapun untuk rekod, Umno yang merupakan rakan muafakat PAS mengambil sikap berhati-hati apabila mahu mendapatkan penjelasan lanjut daripada parti terbabit sebelum membuat ketetapan.

Mazlan Ali

“Jika ia merupakan langkah yang baik, maka Umno tidak akan teragak-agak untuk bersama,” kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan, mengumumkan 18 anggota parlimen PAS akan membawa usul berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat pada Mac depan.

Ia memandangkan pihak yang sebelum ini “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan perdana menteri tidak membawa usul undi tidak percaya di parlimen.

Sementara itu Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM berkata, secara praktikal cadangan PAS itu satu perkara yang tidak masuk akal.

"Sebab ini melibatkan sebuah parti pembangkang nak bawa satu usul percaya terhadap perdana menteri daripada parti lawan.

"Sebenarnya tak nampak jalan (untuk dibahaskan), speaker Dewan Rakyat pastinya tak bagi laluan.

"Secara realitinya takkan speaker akan benarkan, kecuali dia tak 'berlaga angin' dengan perdana menteri," katanya.

Keputusan PH, bukan PAS

Tambah Mazlan, tindakan PAS itu memperlihatkan sebenarnya mereka cukup takut jika proses peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim berjalan dengan baik.

"Sekiranya Anwar naik, beliau akan tambah sinergi sekali gus menukar mood rakyat. Kebiasaannya sekiranya ada pertukaran perdana menteri, mood rakyat akan bertukar dengan lebih baik.

"Anwar pasti akan membuat polisi yang akan mengubah mood rakyat kepada lebih baik. Keadaan ini yang akan merisaukan PAS," katanya.

Dr Awang Azman Awang Pawi

Sementara itu bagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata idea PAS untuk mengusulkan undi percaya itu adalah sesuatu yang aneh.

Katanya, wujud persoalan apakah motif parti itu ketika urusan peralihan kuasa sebenarnya adalah hak kepimpinan PH.

"Ia sesuatu yang agak aneh. Apa motif PAS sebenarnya? Adakah menyokong perdana menteri itu adalah matlamat utama mereka sekarang ini?

"Sedangkan pada PRU14 lalu, merekalah yang mahu mengalahkan Mahathir dan PH. Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa PAS terlalu takut kepada Anwar, untuk menggantikan Mahathir.

"Sebab kita tahu Anwar dilihat boleh menyatukan kepelbagaian perbezaan termasuk dalam kalangan parti-parti pembangkang," katanya yang juga pensyarah Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya.

Selain itu katanya, PAS bukan sahaja dilihat agak cemas dengan tempoh peralihan kuasa yang semakin hampir, tetapi juga mengambil kesempatan untuk cuba memecah-belahkan PH.

"Dan sebenarnya tidak timbul parti-parti pembangkang nak bertindak macam mana, kerana Mahathir menjadi perdana menteri adalah keputusan PH dan rakyat, bukan PAS jadi penentu," katanya.

Lihat Komen
ADS