Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-78: Jamil Khir setuju isu 'derma Arab Saudi' Najib disenyapkan

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd memasuki hari ke-78 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


12.15 tengah hari: Perbicaraan ditangguhkan kepada Khamis ini.

Ia selepas peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bahawa saksi pembelaan keenam, Anifah Aman belum bersedia untuk memberi keterangan esok.


12.10 tengah hari: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom keluar daripada kandang saksi.

Ia selepas pemeriksaan balas singkat oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.


12.07 tengah hari: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom setuju bahawa apa yang dikatakan sebagai derma kepada bekas perdana menteri Najib Razak memang didiamkan daripada rakyat Malaysia.

Saksi pembelaan kelima itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Dia bagaimanapun tidak setuju apabila Sithambaram mengajukan bahawa jika Raja Abdullah memang berjanji untuk memberi derma kepada Najib pada Januari 2010, ia boleh dikatakan sebagai campur tangan Arab Saudi dalam pilihan raya Malaysia.

Sithambaram: Tetapi ini (derma kepada Najib) didiamkan daripada pengetahuan awam?

Jamil Khir: Setuju.

Raja Abdullah


11.57 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom memberitahu mahkamah bahawa kerajaan Malaysia, menerusi perdana menteri ketika itu Najib Razak, yang meminta sumbangan dana daripada Arab Saudi.

Ketika ditanya DPP Sithambaram sama ada Malaysia, melalui Najib, yang meminta sumbangan atau Saudi yang membuat tawaran, Jamil berkata: "Kita tahu sebagai permohonan."

Katanya lagi, setakat pengetahuannya permintaan bantuan kewangan itu tidak pernah dibincang dalam mesyuarat kabinet.

"Sepanjang pengetahuan saya, tak ada (perbincangan)," katanya.


11.50 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri berkata Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud tidak menyatakan jumlah dana yang akan diberikannya kepada Najib Razak, ketika pertemuan pada 2010.

Ketika ditanya DPP V Sithambaram, Jamil juga berkata bekas raja Arab Saudi itu juga tidak memberitahu siapa yang akan menghantar wang tersebut kepada Najib.


11.46 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom dan DPP V Sithambaram terlibat dalam pertikaian berhubung kebenaran dakwaan janji derma oleh raja Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada 11 Januari 2010.

Ketika pemeriksaan balas, Sithambaram berkata tiada kebenaran bahawa janji seumpama itu diberikan pada tarikh tersebut, manakala Jamil Khir berkata Raja Abdullah memang ada membuat janji sedemikian.

Sithambaram: Saya katakan keterangan anda bahawa ada perbincangan pada 11 Januari 2010 berkenaan (sumbangan dana untuk) pilihan raya umum 2013 adalah tidak benar?

Jamil Khir: Tak setuju.

Sithambaram: Saya katakan bahawa Raja Abdullah (didakwa) berkata derma akan dihantar (kepada Najib) tak lama lagi (selepas pertemuan tak rasmi pada 11 Januari 2010) adalah tak benar?

Jamil Khir: Tak Setuju.

Jamil Khir juga tidak setuju dengan cadangan Sithambaram bahawa dia memberi keterangan palsu berkenaan Raja Abdullah yang didakwa berjanji menyalurkan derma kepada akaun peribadi Najib.


11.43 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom tidak setuju dengan pihak pendakwaan yang mengajukan bahawa Raja Abdullah hanya menjanjikan sokongan bukan kewangan kepada Malaysia.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram.

Sithambaram: Saya katakan pada pertemuan pada 11 Januari 2010 (Antara Najib dan Raja Abdullah di Riyadh), Raja Abdullah hanya memberi jaminan secara peribadi kepada Najib bahawa baginda akan memberi sokongan agar dia dapat terus memimpin negara ini, sebagai contoh (negara Islam moderat) yang bagus.

Sokongan hanya (setakat) itu?

Jamil Khir: Kalau tanya saya, Raja Abdullah memberi jaminan termasuk kewangan.

Sithambaram: Cadangan saya - tiada, bila-bila masa pada 11 Januari, Raja Abdullah beri sokongan dalam bentuk derma.

Jamil Khir: Jaminan mulut dari Raja Abdullah untuk beri bantuan kewangan.

Sithambaram: Saya cadangkan bahawa ia tidak benar.

Jamil Khir: Tak setuju.


11.35 pagi: Perbicaraan diteruskan. Pendakwaan dijangka mengadakan pemeriksaan balas terhadap bekas menteri di jabatan perdana menteri, Jamil Khir Baharom.


10.30 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan perbicaraan dihentikan selama sejam, sehingga pukul 11.30 pagi.

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan meneliti salinan pindaan pernyataan bertulis saksi pembelaan kelima, Jamil Khir Baharom, yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri dalam hal ehwal Islam.

Terdahulu, DPP V Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka hanya mendapat pernyataan itu pagi ini.


10.25 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom berkata, tidak pelik untuk Raja Abdullah memberikan hadiah di luar jangkaan orang.

"Saya juga dihadiahkan sebatang pen yang ditanam dengan berlian. Biasanya (hadiah seumpama itu) sebagai tanda hormat. Baginya (Raja Abdullah), ia hal biasa.

"Jika dia beri jam Rolex, sukar untuk mencari jam yang sama di pasaran," katanya lagi.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan utama dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.


10.17 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom berkata dia berada betul-betul di belakang Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud dan Najib Razak apabila pemerintah Arab Saudi itu berjanji untuk menyalurkan bantuan kewangan ke akaun peribadi Najib.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, dia berkata dapat mendengar setiap butiran perbincangan antara Raja Abdullah dengan Najib, dengan kata-kata mereka diterjemah ke bahasa Arab dan Inggeris oleh penterjemah masing-masing.

Jamil Khir Baharom

Menurut Jamil, dia sebahagian delegasi Malaysia yang diketuai Najib dalam pertemuan tidak rasmi dengan Raja Abdullah di Riyadh, pada 11 Januari 2010.

Katanya lagi, janji bantuan kewangan itu dibuat ketika Raja Abdullah dan Najib beredar selepas pertemuan tidak rasmi itu tamat.

Shafee: Anda boleh dengar setiap perbincang Raja Abdullah dan penterjemah dengan Najib? Anda boleh dengar semuanya?

Jamil Khir: Ketika beredar (daripada pertemuan tak rasmi), saya betul-betul di belakang Najib. Kedudukan (saya) sama seperti penterjemah Raja Abdullah, dan saya di belakang Najib.

Kami boleh mendengar apa yang disampaikan Raja Abdullah dan respons Najib.

Jamil berkata lagi, dia faham bahasa Arab kerana latar belakang pendidikannya dalam bahasa itu.


10 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom selesai membacakan sembilan halaman pernyataan bertulis saksinya.


9.59 pagi: Pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud memilih untuk menyalurkan bantuan kewangan ke akaun bekas perdana menteri Najib Razak, untuk mengelak komplikasi berkenaan bagaimana organisasi politik membelanjakan wang itu, kata Jamil Khir Baharom.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan bertulis saksi, semasa pemeriksaan utama oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Jamil yang menjadi saksi pembelaan kelima berkata, Raja Abdullah menjanjikan perkara itu kepada Najib sebaik selepas pertemuan tidak rasmi di Riyadh pada 11 Januari 2010.

"Saya fahami perlunya dana ini disalurkan ke akaun persendirian Najib supaya memudahkan dan melicinkan jalanan politik Najib dan juga Raja Abdullah khuatir saluran terus ke dalam mana-mana entiti organisasi politik akan merumitkan cara perbelanjaan dana tersebut," kata Jamil.

Menurut Jamil, dia adalah sebahagian daripada perwakilan Malaysia bersama Najib yang hadir ke mesyuarat itu.


9.49 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom mula membacakan pernyataan bertulis saksinya.


9.42 pagi: Bekas menteri di jabatan perdana menteri Jamil Khir Baharom masuk ke kandang saksi dan mengucapkan sumpah sebelum memberi keterangannya bagi peringkat pembelaan kes dakwaan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International terhadap Najib Razak.


9.38 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan bermula.


9 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan duduk di bahagian depan galeri awam.


Turut dilihat menunggu perbicaraan bermula ialah DPP V Sithambaran dan para timbalan pendakwa raya lain, serta pegum bela Najib.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Jamil Khir Baharom dijangka memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kelima perbicaraan terhadap Najib Razak berhubung dakwaan penyalahgunaan RM42 juta dana SRC International.

Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di akhir prosiding semalam, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika pemeriksaan utama oleh Shafee semalam, saksi pembelaan keempat Syed Omar Syed Mohammad Al Saggaf, yang merupakan bekas duta besar Malaysia ke Arab Saudi, berkata dia difahamkan bahawa raja Saudi ketika itu, Raja Abdullah menjanjikan bantuan kewangan kepada Najib untuk PRU ke-13.

Syed Omar berkata dia difahamkan berkenaan perkara itu selepas mesyuarat tidak rasmi di Riyadh pada 19 Jun 2010, yang melibatkan Raja Abdullah dengan perwakilan Malaysia yang diketuai Najib.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaran selepas itu, Syed Omar mengakui bahawa individu yang memberitahu perkara itu kepadanya ialah Najib.

Dalam prosiding terdahulu, pembelaan Najib bergantung kepada hujah bahawa bekas perdana menteri itu menggunakan RM42 juta yang dipindah ke akaunnya antara Disember 2014 hingga Februari 2015 kerana ia sebahagian daripada derma daripada keluarga diraja Saudi.

Lihat Komen
ADS