Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pembangunan semula Kg Baru kekal identiti Melayu, Islam'

Suasana dan budaya perkampungan Melayu seperti dinikmati pada era 70-an dan 80-an bakal dihidupkan semula di Kampung Baru di Kuala Lumpur menerusi pusat kebudayaan yang bakal dibina menerusi pelan pembangunan semula kampung berusia lebih 100 tahun itu.

Prinsipal Veritas Design Group, syarikat perunding pembangunan semula itu, Azril Amir Jaafar berkata projek dinamakan 'Malay Arts Performance and Culture Centre' (Pusat Kesenian, Persembahan dan Kebudayaan Melayu) itu bukan sahaja inisiatif bagi mengekalkan identiti, ciri kemelayuan serta keislaman Kampung Baru malah dilihat berupaya menjadi daya tarikan pelancong dan platform dalam memperkenalkan keunikan budaya Melayu.

Beliau berkata pusat kebudayaan dan kesenian itu akan menjadi ruangan awam terbuka seperti sebuah taman yang menyediakan pelbagai aktiviti luar dan dirancang dibina berdekatan dengan Pintasan Saloma yang baru dibuka kepada umum pada 5 Feb lepas.

"Pelbagai persembahan kebudayaan Melayu seperti kuda kepang, wayang kulit, filem Melayu, wayang pacak boleh dijalankan di pusat ini. Lokasi berdekatan dengan Pintasan Saloma yang menghubungkan Kampung Baru dan Jalan Ampang juga memudahkan orang ramai datang sekali gus saling melengkapi dengan KLCC," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual khas.

Pelan pembangunan semula Kampung Baru dibentangkan pada sesi townhall atau dialog pada 21 Sept tahun lepas, antara lain mencadangkan pembinaan 'Malay Arts Performance and Culture Centre' dan Taman Warisan bagi mengekalkan identiti Melayu Islam yang menjadi lambang atau ciri kampung berkeluasan kira-kira 90 hektar itu.

Isu pemilikan tanah merupakan kekangan utama bagi menjalankan pembangunan semula itu. Pada sesi townhall itu kerajaan menawarkan untuk membeli tanah perkampungan itu dengan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1,000 bagi tujuan pembangunan semula.

Keputusan berhubung pembelian tanah bagi pembangunan semula Kampung Baru dijangka dapat diumumkan pada Jun ini.

Bagaimanapun, pembangunan semula Kampung Baru hanya akan dapat dijalankan selepas isu pemilikan tanah selesai.

Azril berkata pelan pembangunan itu juga akan mengekalkan mercu tanda Kampung Baru seperti Pasar Minggu, Jalan Raja Alang.

Ia akan disusun semula dengan bentuk yang lebih baik dan teratur, tanpa mengabaikan makanan tradisi Melayu ‘bubur lambuk’ yang sinonim dengan kawasan itu.

Menjelas lanjut, Azril berkata selain budaya dan gaya hidup, pembangunan semula itu juga akan menerapkan seni bina yang mempunyai elemen yang melambangkan warisan Melayu .

"Banyak elemen yang kita boleh pertimbangkan sebagai rujukan misalnya elemen songket dan elemen tengkolok. Tempoh pembangunan semula Kampung Baru ini merupakan projek jangka masa panjang yang dijangka mengambil masa 30 tahun dan dalam tempoh ini idea akan terus bercambah.

"Contoh projek telah siap yang kita boleh lihat adalah Pintasan Saloma yang berkonsep sirih junjung, tapi kita terjemahkan dengan cara dan material moden.

"Sirih junjung dipilih kerana ia merupakan komponen yang penting dalam upacara Melayu terutamanya dalam menghubungkan dua keluarga (perkahwinan), dalam isu (konteks) ini, kita menggunakan sirih junjung sebagai simbolik pintasan yang menghubungkan Kampung Baru dan kawasan berdekatan KLCC," jelasnya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS