Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan enggan putuskan kes Anwar cabar MKN

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa kes cabaran perlembagaan yang difailkan Anwar Ibrahim terhadap Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (MKN) dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan.

Ini selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 5-2 menolak permohonan Anwar, dengan tidak memberi sebarang keputusan berhubung saman pemula untuk mengisytiharkan Akta MKN 2016 sebagai melanggar perlembagaan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Nalini Pathmanathan ketika membaca keputusan itu berkata dua soalan yang ingin diputuskan oleh pihak pemohon sebagai abstrak, akademik dan juga hipotektik.

“Pemohon (Anwar) tidak membuktikan bahawa MKN telah menganggu kehidupan,” katanya ketika membaca penghakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya, pagi tadi.

Tambahnya, berikutan tidak ada sebarang kontroversi berhubung MKN, ia bukan kes yang sah untuk mahkamah menentukan persoalan undang-undang yang dibangkitkan.

Hakim lain yang menyokong keputusan majoriti itu adalah Ketua Hakim Malaya, Azahar Mohamed, Abang Iskandar Abang Hashim, Mhd Zawawi Salleh dan Idrus Harun.

Anwar yang merupakan Aanggota Parlimen Port Dickson memfailkan saman pemula pada bulan Ogos 2016 yang bertujuan untuk mengisytiharkan Akta MKN 2016 sebagai melanggar perlembagaan.

Beliau juga mahukan perintah injunksi untuk menghalang MKN daripada menjalankan kuasanya di bawah undang-undang.

Dalam permohonannya difailkan sehari selepas Akta MKN menjadi undang-undang itu, Anwar memohon pindaan perlembagaan 1993 yang dimasukkan pada tahun yang sama diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan.

Peruntukan tersebut menyatakan bahawa jika Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan terhadap sesuatu rang undang-undang dalam tempoh 30 hari, maka ia secara automatik menjadi undang-undang.

Dua soalan yang ingin diputuskan adalah:

1.Adakah peruntukan undang-undang bertulis yang berikut iaitu Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983, seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984, dan Seksyen 8

Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 adalah melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah dan tidak memiliki kuasa, dengan alasan ia melanggar struktur asas Perlembagaan Persekutuan?

2.Adakah Akta MKN 2016 melanggar perlembagaan, batal dan tidak sah serta tidak memiliki kuasa?

Dua hakim berpendapat sebaliknya

Sementara itu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersama Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah membuat penghakiman minoriti bahawa mahkamah perlu menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Anwar.

Kedua-duanya bersetuju bahawa MKN tidak perlembagaan selepas ia tidak mengikut Artikel 149, Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah akta kehakiman, mahkamah tertinggi secara perlembagaan diwajibkan menjawab soalan yang ditanya oleh pemohon,” kata Wong.

Tambahnya, penyingkiran kuasa DiRaja pada 1983, 1984 dan 1994 tidak melanggar asas struktur perlembagaan.

“Perkenan Yang di Pertuan Agong sebahagian dan masih kekal sebagai salah satu proses undang-undang,” jelasnya sambil menambah bahawa MKN juga melanggar kebebasan seseorang di bawah Artikel 9(2) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Tengku Maimun bersetuju dengan Wong bahawa bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan.

“Akta MKN 2016 merupakan undang-undang keselamatan. Maka, undang-undang sebegitu perlu digubal berdasarkan Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan.”

“Kes ini bukan satu contoh ketuanan kehakiman. Sebaliknya, ketuanan perlembagaan,” katanya.

Tengku Maimun juga berkata bahawa Anwar mempunyai locus standi (kedudukan undang-undang) untuk mencabar MKN kerana kes ini mempunyai kepentingan awam.

Ketika ditanya kemudian, Anwar berkata bahawa MKN perlu dibawa ke parlimen untuk dikaji semula.

“Perlembagaan Akta MKN telah dipersoalkan oleh ketua hakim negara dan ketua hakim Sabah dan Sarawak. “Maka, ia perlu dirujuk semula ke parlimen untuk kajian semula,” katanya.

Peguam Anwar, J Leela terdahulu memberitahu bahawa sebutan kes ditetapkan pada 18 Februari di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lihat Komen
ADS