Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS Sarawak, Putra desak kerakyatan bekas Adun DAP dilucutkan
Diterbitkan:  Feb 11, 2020 9:48 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

PAS Sarawak dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa bekas Adun Pujut, Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kewarganegaraan.

Gesaan itu dibuat selepas keputusan mahkamah persekutuan pagi ini membatalkan kelayakan Ting sebagai Adun kerana memiliki dua kerakyatan Malaysia dan Australia.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dan naib presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, kewarganegaraan Ting perlu dibatalkan di bawah Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 21 (1) mengatakan "Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu".

"PAS berpendapat ini satu penipuan kepada rakyat Sarawak. DAP jelas tidak bertanggungjawab dengan menipu rakyat di Dun Pujut terutamanya apabila menyembunyikan kerakyatan dua negara Adun mereka.

"PAS mendesak juga kerajaan negeri untuk menilai kedudukan semua elaun dan peruntukan yang telah diambil oleh Adun DAP ini selama tempoh penipuannya," tegasnya.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa mengkaji semula mana-mana wakil rakyat di negara ini yang mempunyai dua kewarganegaraan supaya mereka boleh diambil tindakan.

Sementara itu, Mohd Khairul (bawah) berkata pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah persekutuan hari ini membatalkan kelayakan Ting sebagai Adun.

Walaupun mahkamah tidak menyentuh isu Perkara 24 (1) Perlembagaan hari ini, Mohd Kairul berkata beliau yakin kerajaan kini telah dimaklumkan bahawa terdapat bukti  seorang warganegara memiliki kewarganegaraan asing.

"Oleh itu Putra mendesak Menteri Dalam Negeri untuk memulakan prosiding penyiasatan di bawah Perkara 27 Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan kewarganegaraan Dr Ting Tiong Choon," tegasnya.

Tambahnya, Putra akan menulis surat rasmi kepada Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini.

Dilaporkan awal hari ini bahawa Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa DUN Sarawak tidak terkhilaf dalam keputusannya membatalkan kelayakan Ting sebagai Adun.

DUN Sarawak pada 12 Mei 2017, menggugurkan kelayakan Ting kerana memiliki dua kerakyatan walaupun beliau kemudian melepaskan kerakyatan Australia, sebelum pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.

Ting telah memperoleh kewarganegaraan Australia pada tahun 2010.

Dewan berhujah bahawa perbuatan itu melanggar Perkara 17 (1) (g) Perlembagaan negeri itu yang menyatakan bahawa seseorang hilang kelayakan jika dia secara sukarela memperolehi kewarganegaraan di negara lain.

Bagaimanapun pilihan raya kecil tidak akan diadakan kerana telah lebih tiga tahun sejak pilihan raya negeri diadakan.

Lihat Komen
ADS