Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Orang berkuasa dan kaya lakukan rasuah, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad berkata orang yang terlibat dalam amalan rasuah adalah golongan berkuasa dan kaya.

Kata perdana menteri, mereka terbabit dalam kegiatan itu dengan tujuan untuk terus berkuasa dan lebih kaya.

“Jelas sekali, mereka yang terlibat dalam rasuah adalah orang yang berkuasa dan kaya, dan objektif mereka adalah untuk menjadi lebih berkuasa dan kaya,” katanya.

Mahathir berkata demikian semasa berucap sempena pelancaran Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana di Putrajaya, malam ini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan anugerah khas yayasan tersebut kepada bekas timbalan pendakwa raya yang mati dibunuh, Kevin Morais, serta bekas pegawai agensi antirasuah Indonesia, Novel Baswedan.

Novel kehilangan sebelah matanya akibat disimbah asid pada suatu subuh ketika dalam perjalanan ke masjid. Serangan itu dipercayai ada kaitan dengan kes rasuah yang sedang disiasatnya, membabitkan orang berpengaruh di Indonesia.

Dana buat pegawai antirasuah

Kata Mahathir usaha memerangi dan mendedahkan salah laku rasuah memang sangat berbahaya dan dunia menyaksikan berlakunya kekejaman kesan daripada usaha tersebut.

“Justeru, tugas memerangi dan mendedahkan amalan rasuah adalah berbahaya dan kita menyaksikan kadang-kadang orang yang bertindak begitu perlu membayar harga yang mahal, sehingga kadang-kadang terpaksa dibayar dengan nyawa sendiri,” jelasnya.

Menjelaskan hal itu dengan lebih lanjut, Mahathir berkata pihak yang cuba memberikan rasuah juga mempunyai cara dan sumber yang banyak untuk menutup Jenayah yang mereka lakukan.

“Mereka mempunyai cara dan sumber untuk menghukum dan menghentikan mereka yang cuba membasmi perangai buruk mereka," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau turut memuji beberapa bekas pegawai kanan kerajaan yang terbabit mendedahkan skandal 1MDB sehingga menyaksikan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Terdahulu Mahathir melancarkan Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana.

Hadir sama, Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Koordinator Residen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Stefan Priesner, dan wakil Persatuan Antarabangsa Penguatkuasa Antirasuah (IAACA), Martin Kreutner.

Sementara itu, Mahathir berkata, yayasan antarabangsa itu bertanggungjawab terhadap Dana Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana.

Katanya, dana berkenaan bukan saja istimewa malah penting berikutan ia bertindak sebagai sistem sokongan kepada pegawai antirasuah yang menjadi mangsa atau dihukum ketika bertugas.

Sebanyak RM500,000 disumbangkan kerajaan Malaysia kepada dana berkenaan manakala Yayasan Bukhari menyumbang sebanyak RM2.5 juta.

Lihat Komen
ADS