Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu fatwa sesat: SIS cabar enakmen pentadbiran Islam S'gor di Mahkamah Persekutuan

NGO Sister in Islam (SIS) memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan enakmen negeri Selangor yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi Syariah negeri untuk mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.

SIS Forum (Malaysia), menerusi firma guaman Messrs Fahri & Co, memfailkan notis usul itu di Pendaftar Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada 21 Januari lalu.

Menurut notis usul yang dilihat Malaysiakini hari ini, SIS memohon mahkamah itu memulakan tindakan undang-undang untuk, antara lain, satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 sebagai tidak sah.

Seksyen 66A menyatakan Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor mempunyai bidang kuasa untuk memberi kebenaran dan mendengar permohonan bagi semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat pihak berkuasa agama atau jawatankuasa di bawah enakmen itu.

Pada 27 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang menyatakan NGO itu sebagai sesat.

Ketika itu, Hakim Nordin Hassan memutuskan bahawa menurut Seksyen 66A, Mahkamah Syariah Selangor boleh menentukan tindakan undang-undang terhadap fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Beliau juga berkata mahkamah sivil tiada kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berkenaan perkara itu.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia) Rozana Mohd Isa, DUN Selangor tiada kuasa untuk menggubal Seksyen 66A kerana Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan hnaya membenarkan ia menggubal undang-undang berkaitan Syariah ke atas orang yang menganut agama Islam.

Katanya, Seksyen 66A sebaliknya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah Selangor ke atas jawantakuasa fatwa dan majlis agama, yang bukan merupakan "orang yang menganut agama Islam".

"Kedua, DUN Selangor hanya boleh memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah berkenaan perkara dalam Butiran 1 Senarai Negeri. Kuasa semakan kehakiman tidak termasuk dalam butiran tersebut.

"Selanjutnya, dan dalam apa jua keadaan, kuasa semakan kehakiman adalah sebahagian daripada struktur asas Perlembagaan Persekutuan dan secara eksklusif terletakhak kepada MAhkamah Tinggi sivil. DUN Selangor tiada bidang kuasa untuk memberikan kuasa sedemikian kepada Mahkamah Syariah," katanya lagi.

Kata Rozana lagi, SIS juga memohon deklarasi bahawa sub-definisi "orang Islam" dalam Seksyen 2 Enakmen 2003 - dalam sub-perenggan b,c d, dan f - dan frasa "dan termasuklah Majlis Agama Islam Selangor..." sebagai tidak sah.

"...Atas alasan ia membuat suatu peruntukan berkenaan dengna perkara yang mana DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undan dan oleh itu, ia batal dan tidak sah," katanya lagi dalam afidavit sokongan tersebut.

Berdasarkan laman ecourtservices.kehakiman.gov.my, pengurusan kes akan dibuat secara telesidang dengan Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 10 pagi esok.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu, yang mengenepikan semakan kehakiman SIS terhadap fatwa tersebut, NGO itu memfailkan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi dilaporkan membenarkan permohonan SIS untuk menangguhkan keputusan itu, sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS