Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Shaq Koyok ialah seorang pelukis yang selalu menampilkan pelbagai sisi Orang Asli dalam kehidupan mereka.

Dia - pelukis dari suku Temuan itu - percaya kepada 'formula' menggabungkan seni dan aktivisme. Justeru Shaq percaya dia tidak boleh berdiam diri apabila kampungnya sendiri sedang terancam.

Ancaman yang dimaksudkan itu ialah cadangan kerajaan untuk mewartakan semula tanah seluas 930 hektar di Hutan Simpan Kuala Langat Utara sebagai kawasan pembangunan.

Shaq sangat terkejut apabila mengetahui hal itu melalui notis pemberitahuan Jabatan Perhutanan Selangor yang disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

Melalui notis berkenaan, Jabatan Perhutanan Selangor mempelawa pemegang taruh di daerah tersebut untuk menyatakan bantahan kepada cadangan berkenaan dalam tempoh 30 hari.

Ia selaras dengan peraturan Kaedah-kaedah Penyiasatan Awam (Selangor) 2014, serta Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 yang mewajibkan notis dikeluarkan sebelum sesuatu kawasan dikeluarkan dari hutan simpan.

"Kawasan ini terletak di belakang kampung saya, Kampung Pulau Kempas, dan Kampung Bukit Cheeding yang menempatkan sekolah rendah saya dulu.

"Kampung saya akan menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perhutanan Selangor.

"Macam mana mereka boleh buat macam ni?" katanya kepada Malaysiakini.

Hampir 90 peratus dah dibangunkan

Shaq mendakwa, syarikat pemaju gergasi adalah pihak yang bertanggungjawan di sebalik langkah tersebut.

"Mereka mahu membeli tanah ini dan menukarnya menjadi bandar," katanya.

Berdasarkan notis tersebut, tanah yang dirancang dikeluarkan dari kawasan hutan simpan itu ialah di mukim Tanjung 12 dan ia menempatkan tujuh kampung yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kuala Langat (Utara).

Kampung itu ialah Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Bukit Cheeding, Bukit Kecil, Bukit Perah, Busut Baru, Tanjung Rabok dan Bukit Kamandol.

Ia adalah sebahagian daripada tanah yang diwartakan sebagai tanah adat sejak 1927.

Shaq Koyok

Penduduk setempat mendakwa sebelum ini ia pernah cuba diambil alih oleh beberapa syarikat kerajaan negeri. Antaranya, sebuah syarikat perlombongan yang sepatutnya dimiliki kerajaan negeri tetapi dijual kepada pihak ketiga.

Pada 2017, tanah seluas 95 hektar di itu pernah musnah dijilat api.

"Kami menamakan hutan ini Pulau Moyang, maksudnya inilah tempat lahirnya datuk nenek kami," kata Shaq dengan beremosi.

Pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Faizal Parish, juga terkejut dengan perkembangan sama.

Kata pegawai organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menjalin kerjasama di peringkat Asia untuk memantau isu pengurusan hutan dan tanah, biodiversiti, sumber air dan perubahan iklim itu, cadangan berkenaan memang membimbangkan.

“Tapak ini telah diwartakan pada 1927 dengan peruntukan khusus untuk membolehkan Orang Asli terus hidup dan mendapat faedah dari hutan.

"Sejak 40 tahun lalu, hampir 90 peratus daripada kawasan tersebut diwartakan semula untuk pembangunan.

"Apa yang ada hari ini adalah saki-baki untuk masyarakat Orang Asli dan ia sangat penting kepada mereka serta biodiversiti," katanya.

Ada sebab untuk kecewa

Faizal, yang merupakan ahli ekologi tanah lembab, berkata kawasan itu juga menjadi rumah kepada banyak hidupan liar yang terancam, termasuk harimau kumbang, beruang matahari dan ikan laga merah Langat.

"GEC secara khusus diminta oleh kerajaan negeri pada 2014 untuk bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi memulihkan hutan dan mencegah kebakaran.

“Kami sangat berjaya dan mengurangkan kadar kebakaran sebanyak 90 peratus dan hutan itu sedang pulih hasil usaha bersungguh-sungguh Orang Asli setempat dengan sokongan dari pemilik tanah berdekatan, Gamuda Land dan Boh Plantations," katanya.

"Sejak 12 tahun lalu (sejak Pakatan Rakyat menjadi kerajaan) Selangor sangat membantu usaha pemuliharaan hutan dan tanah gambut selama

"Justeru kami sangat terkejut dengan cadangan untuk mengeluarhan hampir kesemua kawasan hutan simpan ini untuk projek pembangunan bercampur.

"Ini jelas sangat bertentangan dengan dasar kerajaan negeri dan persekutuan," katanya.

Menurut Faizal, pihaknya tidak tahu siapa di sebalik projek tersebut yang diyakini akan memberi kesan besar kepada alam sekitar.

Sementara itu Sumber PH mengesahkan kepada Malaysiakini, Shaq dan penduduk setempat mempunyai alasan kukuh untuk berasa kecewa.

"Kawasan ini sangat besar, dan sehingga kini, kerajaan PH berusaha bersungguh-sungguh untuk mengotakan janji mereka tetapi tindakan ini diambil ketika kita mahu mempertahankan dasar untuk memulihara hutan simpan, khususnya kawasan yang diwartakan sebagai tanah adat," katanya.

Sumber itu berkata, ada cara untuk menghalang ketidakadilan seperti itu berlaku tetapi kemungkinan besar sistemnya sudah dikompromi.

Menurutnya, kerajaan pusat tidak dapat campur tangan kerana hal-ehwal tanah terletak dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Dari semasa ke semasa, kerajaan negeri, jabatan perhutanan dan pihak berkuasa lain nampaknya sepakat untuk menafikan hak Orang Asli daripada tanah adat mereka.

"Saya harap apa yang berlaku bukan sebegitu, tapi kebimbangan saya memang ada," katanya.

Untuk rekod, portfolio pembangunan tanah dan pengurusan alam sekitar Selangor terletak di bawah bidang kuasa menteri besar, Amirudin Shari.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi pejabat menteri besar untuk mendapatkan maklum balas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS