BERITA Malaysiakini

‘Saya bukan nak kipas Mahathir, tapi selamatkan negara’

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS mempertahankan usaha parti itu membentangkan undi percaya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di parlimen.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata usaha itu selari dengan proses demokrasi dan ia turut diamalkan di negara lain, seperti Lubnan beberapa hari lalu, lapor Harakahdaily.

“Yang penting ialah kita mahu selamatkan negara. Bukan sahaja orang Melayu orang Islam, termasuk kaum lain.

“Adalah lebih baik kita memberi undi kepercayaan kepada perdana menteri, Tun Mahathir yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama.

“Bukan tak ada masalah (bawah teraju Tun), ada masalah, tapi (Tun) dapat mengatasi masalah, yang kita yakin.

“Kita minta supaya (Dr Mahathir) diberi kepercayaan menjadi perdana menteri sehingga habis penggal. Itu cadangan PAS.

“Dan kita ingin memberi cadangan yang paling munasabah,” katanya selepas kuliah Dhuha di Masjid Rusila, Marang.

Hadi dalam pertemuan dengan Mahathir sebelum ini.

Hadi bagaimanapun berkata terdapat pihak yang menjadi “penakut” ketika berdepan usul itu.

“Dan kita (PAS) tak takut, tapi ada orang yang ‘penakut’. Takut apa? Bukan saya nak kipas, saya nak selamatkan rakyat. Lebih kepada melibatkan rakyat, tumpuan.

“Tak ada tanda tanya siapa nak ambil alih, siapa perdana menteri itu, tak ada tanda tanya.

“(Kalau) Jatuh…. pilih pengganti dia (perdana menteri) siapa dia? Sebab dia (Mahathir) kenal semua. Dia kenal, sebab dia paling lama yang ada ini,” kata Hadi seperti dilaporkan media rasmi PAS.

Mahathir Mohamad

Katanya, usaha itu membolehkan pendirian sama ada percaya atau tidak kepada kepimpinan Mahathir terserlah.

“Kalau ada yang tak bersetuju, kita tahu siapa yang tak bersetuju. Biar sajalah.

“Pandangan saya, kalau Pakatan Harapan (PH) itu dalam satu parti, dalam satu parti pun tak bersatu, termasuk DAP juga berpecah, saya tahu. DAP berpecah, Amanah juga tidak sepakat.

“Daripada kita politiking dalam satu parti, sama-sama PH ataupun dalam satu gabungan PH, lebih baik kita selesaikan masalah memberi kepercayaan kepada perdana menteri mengendalikan negara untuk tutup pintu krisis sesama sendiri,” katanya lagi.