mk-logo
Berita
Zahid arah KDN guna cip pasport syarikat Datasonic - Saksi

KES ZAHID | Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan bahagian perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggunakan cip pasport oleh Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) sebelum lanjutan kontrak dengan Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) diteliti.

Perkara itu dimaklumkan bekas setiausaha bahagian (SUB) perolehan KDN, Abd Aziz Md Nor ketika pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Gan Peng Kun dalam perbicaraan kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah (CBT) terhadap Zahid, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Arahan itu, katanya terkandung dalam satu minit (catatan) pada surat oleh DTSB kepada Ahmad Zahid, yang juga menteri dalam negeri ketika itu.

Perkara itu berlaku enam hari selepas Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan KDN kepada DTSB berhubung urusan pembekalan cip itu pada 15 Disember 2015.

“Dato’ Sri KSU, sila teliti semula keputusan terdahulu. Gunakan cip syarikat ini sebelum lanjutan kontrak dengan PKN diteliti,” bunyi minit yang tercatit dengan tulisan tangan pada surat berkenaan.

Minit itu dicatatkan pada surat dari DTSB kepada Ahmad Zahid, bertajuk “permohonan untuk memulakan bekalan cip pasport bersama in-lay kepada PKN semasa tempoh peralihan kontrak sedia ada selama enam bulan dari 1 Jun 2016 hingga 30 November 2016 untuk pasport Malaysia antarabangsa.”

Catitan itu bertarikh 21 Disember 2015, dan surat itu dicap terima oleh bahagian perolehan KDN, juga pada tarikh sama.

Gan: Apa pemahaman Datuk (Abd Aziz) tentang minit tersebut?

Abd Aziz: Ini bermaksud kontrak dengan PKN tak dilanjutkan dan diteruskan, dirunding dengan syarikat ini (DTSB).

Untuk rekod, sebelum diserahkan kepada DTSB, kontrak pasport diserahkan kepada tiga syarikat, iaitu PKN (membekalkan buku pasport), Iris Corporation (membekalkan cip) dan DTSB (membekalkan polikarbonat).

Bagaimanapun, urusan pembekalan pasport itu kemudiannya diserahkan kepada DTSB, meliputi proses dari awal hingga akhir.

Berdasarkan kontrak lama, kontrak PKN sepatutnya berakhir 31 Mei 2016.

Ahmad Zahid, selaku Menteri Dalam Negeri pada April 2017 dituduh menerima rasuah RM6 juta dalam dua keping cek daripada pengarah DTSB Chew Ben Ben untuk kontrak pembekalan cip pasport Malaysia selama lima tahun atau 12.5 juta cip kepada DTSB.

Semalam, Abd Aziz yang merupakan saksi ke-33 turut memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah mengeluarkan arahan melalui minit pada satu surat bertarikh 13 Oktober 2015, agar proses pengeluaran SST kepada syarikat DTSB dipercepat.

'Semua POC dimuktamadkan'

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh hari ini, Abd Aziz mengakui bahawa dalam minit sama Ahmad Zahid turut membuat catitan bahawa “semua POC telah dimuktamadkan”.

POC merupakan pembentangan untuk menunjukkan keboleklaksanaan sesuatu idea atau teori.

Dalam surat sama juga, dinyatakan POC telah selesai diadakan pada 14 April 2015.

Disoal balas dengan lebih lanjut oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, Abd Aziz berkata sekiranya DTSB gagal dalam POC, maka kebiasaannya kontrak atau SST tidak akan diberikan kepada mereka.

Malah, beliau bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa semua prosedur telah dipatuhi dalam penganugerahan SST kepada DTSB.

Tambahnya, POC yang diadakan hanya melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan KDN, dan setahunya tidak melibatkan Ahmad Zahid pada ketika itu.

Perbicaraan yang masuk hari ke-16, berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. 

Perbicaraan bersambung Rabu depan. 

Lihat Komen
ADS