Malaysiakini BERITA

Tiada kapal asing dapat kebenaran berlabuh di M'sia - TPM

Shakira Buang

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia tidak membenarkan mana-mana kapal asing berlabuh di perairan negara terutamanya kepada mereka yang enggan berkongsi maklumat penting berhubung penularan wabak Covid-19.

Tegas Wan Azizah, kerajaan mengambil ketetapan itu sebagai usaha mengekang penyebaran wabak berkenaan.

“Jabatan Imigresen melaporkan bahawa ada percubaan atau permohonan untuk berlabuh daripada dua kapal persiaran dari Hong Kong, iaitu kapal Westerdam dan Saphhire Princess.

“Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong, sebelum ke Taiwan pada 1 Februari lalu pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia.

“Kapal ini bagaimanapun mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam, manakala Sapphire Princess selamat berlabuh di Singapura.

“Oleh itu, tiada kapal asing yang dilaporkan mendapat kebenaran berlabuh di Malaysia,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Wan Azizah berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas jawatankuasa peringkat tinggi Pengurusan Bencana Pusat mengenai wabak Covid-19.

Empat pulih, dibenar pulang

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan Wan Azizah mengesahkan empat individu yang sebelum ini dijangkiti Covid-19, telah dibenarkan pulang selepas ujian pengesanan ulangan wabak berkenaan dijalankan sebanyak dua kali menunjukkan hasil negatif.

Wan Azizah berkata empat individu yang dibenarkan pulang itu ialah kontak rapat kepada kes pertama warga China yang dilaporkan di Singapura sebelum ini.

Menurutnya, ini menjadikan jumlah kes Covid-19 yang sudah sembuh dan dibenarkan pulang adalah sebanyak tujuh daripada jumlah keseluruhan sebanyak 19 individu yang telah dijangkiti wabak berkenaan.

“Ini berita baik,” katanya ringkas.

Menurut Wan Azizah lagi, 107 individu yang menjalani proses pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) sebelum ini akan dibenarkan pulang sekiranya bebas jangkitan wabak Covid-19.

Berdasarkan maklumat semasa, timbalan perdana menteri itu menjelaskan kumpulan yang dibawa pulang dari Wuhan, China menerusi misi kemanusiaan itu kini berada dalam keadaan sihat dan baik.

Sehubungan itu, katanya, mereka akan diberi kelulusan untuk pulang ke kediaman masing-masing pada 18 Februari ini jika keputusan saringan akhir didapati negatif.

“Jika keputusan saringan pada hari ke-14, pada 18 Februari ini, iaitu empat hari dari sekarang didapati negatif, mereka boleh pulang,” katanya.

Manakala mengulas langkah China menukar definisi kes positif wabak Covid-19, Malaysia tidak akan mengikut jejak negara itu.

Katanya, pendekatan sedemikian hanya dilaksanakan di Hubei, wilayah yang menjadi pusat wabak itu di China.

“Kerana makmal di wilayah itu ketika ini tidak dapat menampung keperluan untuk melakukan ujian,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Azizah berkata Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Malaysia yang bertanggungjawab melakukan ujian saringan Covid-19 masih berupaya menampung operasi pengesanan, termasuk membabitkan kemasukan warga asing di negara ini.

“Berbanding Hubei, IMR sudah buat persiapan awal selepas berita mengenai coronavirus ini tercetus, jadi insya-Allah kita dapat tangani.

“Setakat ini, kita belum buat keputusan untuk mengikuti langkah China (menukar definisi kes positif Covid-19),” katanya.