Malaysiakini
BERITA

3 produk Energy Candy diharamkan, ada ubat terkawal mati pucuk

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Feb 2020, 6:48 pagi

Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan bahawa produk Energy Candy mengandungi bahan terlarang, tadalafil yang merupakan ubat terkawal digunakan bagi merawat masalah mati pucuk.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah, perkara itu disahkan selepas KKM menjalankan pemantauan ke atas produk itu susulan tular di media sosial bahawa terdapat bahan terlarang penggunaannya, di bawah Akta Makanan 1983.

“Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah erectile dysfunction (mati pucuk).

“Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

“Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Produk yang terlibat adalah ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

KKM melarang import yang dikeluarkan serta merta dan memberi amaran mana-mana pihak yang menyimpan stok produk terlarang itu, supaya tiada aktiviti pengedaran atau jualannya.

“Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut. Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.