Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 2 lelaki kes tembak pemandu bekas AG

Operasi polis terhadap satu kumpulan jenayah terancang berjaya membawa kepada penahanan dua individu yang terlibat dalam kejadian tembakan membabitkan pemandu bekas peguam negara, Abdul Gani Patail pada 2017.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Huzir Mohamed, kedua-dua mereka antara 12 orang ahli kumpulan kongsi gelap di Klang yang dikenali sebagai Ayah Yie Tiger.

Bagaimanapun, suspek utama yang melepaskan tembakan masih bebas dan polis sedang menggiatkan usaha mengesan suspek berusia kira-kira 40 tahun itu dan saki baki anggota kumpulan berkenaan.

Turut disahkan bahawa kejadian tembakan itu tidak ada kena-mengena dengan bekas peguam negara itu, tetapi suspek dikatakan dibayar RM30,000 oleh pihak lain yang mempunyai perselisihan dengan pemandu itu sendiri.

“Pemandu itu ada masalah peribadi dengan orang yang upah kumpulan ini. Upah sebanyak RM30,000.

“Konflik bukan dengan Tan Sri Gani Patail.

“Kedua-dua mereka akan didakwa bawah Seksyen 130V,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Hubung kait dengan kes tembakan itu dikenal pasti selepas sepasukan polis daripada Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) mengumpulkan maklumat berkenaan kumpulan berkenaan sejak September tahun lalu.

Ini ekoran insiden yang melibatkan 20 ahli kumpulan berkenaan mengugut seorang anggota polis, serta beberapa kes lain termasuklah serangan dan memulakan pembakaran.

“Pada 22 Januari, pasukan D7 dibantu oleh D8 JSJ berjaya menahan 12 orang termasuk tiga penjawat awam terdiri daripada ketua, orang kanan, dan ahli-ahli (kumpulan) di Kelantan dan Selangor.

“Kesemuanya ditahan selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dari 23 Januari hingga 19 Februari," katanya.

Tambah Huzir, semasa siasatan dijalankan, polis menemukan tiga senjata api di rumah ketua kumpulan berkenaan, Ayah Yie.

Salah satu daripada senjata api berkenaan disahkan telah digunakan dalam kes tembakan pemandu Gani oleh forensik.

Suspek dijangka didakwa di Klang esok.

Pada Ogos 2017, dua lelaki yang tidak dapat dikenal pasti menembak dan mencederakan pemandu Gani di rumah mangsa di Ampang Perdana.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pelaku jenayah berkenaan mahu memberikan amaran, justeru menembak mangsa di kaki.

Huzir dengan itu menegaskan peri pentingnya Sosma dikekalkan bagi membantu polis mengekang jenayah gangsterisme.

“Siapa-siapa yang terlibat dalam jenayah terancang, kita akan tangkap. Sebab itu kita perlukan Sosma.

“Tanpa undang-undang ini, kita tak dapat tangani masalah yang disebabkan oleh kumpulan yang macam ini.

“Mereka boleh buat apa saja, langgar mahupun boleh sanggup bakar kereta,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Huzir turut berkata polis akan mengambil keterangan daripada bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor sebelum hujung bulan ini.

Ia berhubung rakaman audio perbualan telefon membabitkan Najib dan Rosmah, yagn didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS