Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pejabat Ebit Lew dipecah masuk, penjenayah kata ‘saya terpaksa’
Diterbitkan:  Feb 17, 2020 4:53 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Pendakwah bebas, Ebit Lew hari ini berkongsi berita malang apabila pejabatnya di Bandar Baru Bangi, dikhabarkan dipecah masuk.

Dalam hantaran di Faccebook, katanya, dia menganggarkan kerugian sebanyak kira-kira RM80,000 apabila semua komputer, dua laptop, tiga telefon bimbit, kamera yang baru dibeli serta wang ringgit dipercayai dirompak dalam kejadian itu.

Pendakwah itu turut memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan keadaan pejabatnya yang berselerak.

Salah satu gambar itu, tertera tulisan “Ampun ya pak, saya terpaksa” yang ditulis di atas sebuah meja.

 “Ya Allah aku mengadu sedih dan susahku hanya padaMu. Saya sumpah dia (penjenayah) ditangkap dan dapat hidayah.

“Pohon doa semua yer biar semua jadi asbab kebaikan dan hidayah,” kongsinya di Facebook.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ebit berkata, dia dimaklumkan mengenai rompakan itu oleh kakitangannya pada kira-kira jam 8.20 pagi tadi. Ketika itu dia berada di Perlis untuk satu program ceramah di penjara Perlis.

“Mereka dah buat laporan polis, dan polis pun sudah datang (ke pejabat),” katanya.

Maklumnya juga, pejabatnya tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

Dia yang kini di Subang setelah tiba dari Perlis menaiki penerbangan tengah hari tadi, akan ke pejabatnya sedikit masa lagi dan mengakui belum melihat keadaan pejabatnya yang dipecah masuk itu.

“Apa-apa pun, saya serah kepada pihak polis.

“Doalah ya, semoga ada rahmat. Walaupun sedih, tapi ada rahmat. Banyak juga barang, nak beli satu-satu.

“Mudah-mudahan, ada rezeki dan rahmat lain nanti,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kajang, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, mengesahkan mengenai insiden itu dan berkata polis menerima laporan tersebut di ibu pejabat polis daerah Kajang pada jam 8.59 pagi tadi.

Katanya, berdasarkan laporan pengadu, kali terakhir pejabat tersebut beroperasi adalah pada 15 Februari, jam 5 petang.

“Hasil siasatan awal suspek dipercayai telah memanjat bangunan dari arah belakang pejabat di tingkat dua. Rakaman CCTV mendapati suspek seorang lelaki, bangsa tidak pasti.

“Orang ramai yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil untuk memberikan keterangan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Mohd Affiq Shahmey Ahmad Akhir di talian 013-2490964,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Lihat Komen
ADS