Paling Popular
Terkini
story images
story images

Kelincahan pelakon Hong Kong, Donnie Yen menggayakan kung fu Wing Chun dalam filem Ip Man begitu mengagumkan sesiapa sahaja yang menonton filem berkenaan yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia.

Manakan tidak, ketangkasan dan kehebatan seni kung fu Wing Chun dalam filem itu meninggalkan kesan begitu mendalam sehingga mencetuskan minat pelbagai lapisan masyarakat untuk mempelajari seni mempertahankan diri yang berasal dari selatan tanah besar China itu.

Namun, sebelum pembikinan filem yang memartabatkan Wing Chun pada 2008, Kahar Saidun, 48, sudah pun mahir dalam seni mempertahankan diri kung fu Wing Chun yang dipelajarinya pada tahun 1991, sebaik menamatkan pelajaran sekolah menengah di Kuala Lumpur.

Malah Kahar, lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal dari Nottingham Trent University, United Kingdom kini bergelar sifu atau grand master kung fu Yip Kin Wing Chun.

Gurunya, sifu Yip Fook Choy memberi kepercayaan penuh untuk beliau untuk mengendalikan kelas kung fu Wing Chun di sekitar Lembah Klang iaitu di Danau Kota (Wangsa Maju), Pudu, Sentul (KL Performing Arts Center) dan sebuah kelas yang dimiliki beliau, di Petaling Jaya.

Secara kebetulan, datuk sifu Yip iaitu Yip Kin merupakan anak saudara Yip Man (Ip Man), pengasas Wing Chun terkenal di Hong Kong, berhijrah ke Guangdong, China dan kemudian ke Tanah Melayu pada tahun 1918.

"Sehingga hari ini, masih ada lagi orang berasa hairan kung fu Wing Chun diajar oleh sifu berbangsa Melayu. Namun setelah mereka melihat bagaimana saya mengendalikan kelas, mereka datang berguru dan mempelajari seni mempertahankan diri itu, ” kata Kahar yang kini mempunyai lebih 100 orang murid pelbagai kaum.

Kahar yang berasal dari Kuala Lumpur berasa bangga kerana diberi kepercayaan sifu Yip untuk mengendalikan kelas seni mempertahankan diri kung fu Yip Kin Wing Chun yang merupakan warisan seni pusaka masyarakat Cina yang dibawa ke Tanah Melayu lebih 100 tahun lalu.

Berguru dengan sifu Yip Fook Choy

Menceritakan sejarah penglibatan beliau dalam seni kung fu Yip Kin Wing Chun Wing 29 tahun lalu, Kahar berkata arwah ayahnya, Saidun Jasmon, seorang guru seni silat Jawa insan yang bertanggungjawab mendorong beliau untuk menguasai seni mempertahankan diri dunia kung fu Wing Chun.

"Pada mulanya, saya hanya mahu menjadi seperti ayah yang hebat dalam mempraktikkan pelbagai seni mempertahankan diri yang dapat mengekalkan identiti bangsa.

"Namun, beliau mencadangkan agar saya mempelajari seni mempertahankan diri Cina kerana ayah pernah mempelajari kung fu shaolin 'Lohan 18 Hands'.

“Jadi saya membuat keputusan untuk mencari sifu seni kung fu Wing Chun' di sekitar Lembah Klang,” katanya yang kemudian mula membuat carian dalam direktori telefon.

Kahar mengakui pada awalnya agak sukar untuk bertemu dengan guru Wing Chun yang sesuai kerana rata-ratanya enggan menerima murid dari kalangan orang luar.

“Bagi kebanyakan guru atau pengamal Wing Chun tradisional, seboleh-bolehnya mereka hanya mahu memperturunkan seni mempertahankan diri itu dalam kalangan anggota keluarga dan enggan menerima murid luar.

"Namun, saya tidak berputus asa dan akhirnya saya dipertemukan dengan sifu Yip Fook Choy yang sudi menerima saya sebagai muridnya di Pudu, Kuala Lumpur pada tahun 1991," katanya menambah ketika itu hanya beliau satu-satunya murid berbangsa Melayu dalam kalangan kira-kira 20 murid sifu Yip, termasuk seorang murid berbangsa India.

"Sifu sangat berfikiran terbuka mengajar Wing Chun. Beliau tidak kisah menerima murid luar termasuk saya yang bukan berbangsa Cina walaupun beliau hanya boleh bertutur dalam bahasa Melayu pasar.

“Dalam kelas pula, sifu banyak bertutur dalam loghat Kantonis,” katanya Kahar yang merupakan antara pengajar utama di seni kung fu Yip Kin Wing Chun di Malaysia.

Meskipun demikian, Kahar mengakui bahasa bukan penghalang untuk beliau mempelajari seni Wing Chun kerana seni kung fu itu banyak melibatkan pergerakan tubuh badan.

Tiga bulan belajar pergerakan sama

Pada peringkat permulaan, Kahar hanya diajar satu teknik paling asas iaitu - footwork & stance dalam pergerakan Wing Chun sepanjang tiga bulan berguru dengan sifu Yip.

"Saya diminta berlatih teknik yang sama secara berulang-ulang kali, puas saya bertanya kepada sifu untuk mengajarkan teknik seterusnya, namun jawapan yang diberi adalah 'berlatih sehingga sifu berpuas hati', kata Kahar.

Setelah tiga bulan, Kahar berkata, barulah beliau memahami bahawa untuk menguasai Wing Chun, seseorang perlu menguasai gaya pergerakan asas terlebih dahulu.

"Kami banyak diuji dengan psikologi selain daya ketahanan diri serta kesabaran," katanya.

Mempunyai latar belakang keluarga yang mengajar seni silat, Kahar berkata pendekatan kreatif perlu dilakukan untuk menarik lebih ramai golongan muda untuk mewarisi seni mempertahankan diri ini.

“Ramai beranggapan Wing Chun merupakan seni mempertahankan diri yang sangat mencabar terutamanya ketika mengendalikan alatan senjata.

"Tetapi sebenarnya ia merupakan gaya kung fu yang mudah dan sesuai dipelajari oleh semua lapisan masyarakat,” katanya menambah Wing Chun bukan sahaja seni mempertahankan diri namun baik untuk kesihatan tubuh badan.

“Dengan mempraktikkan kung fu Wing Chun, ia dapat menambah baik teknik pernafasan, melancarkan pengaliran darah, mengembalikan tenaga dan seterusnya dapat mencegah penyakit darah tinggi serta angin ahmar,” katanya.

Pengalaman di UK & sikap ego

Ketika melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Nottingham Trent University, UK pada tahun 1998, Kahar sempat berguru seketika dengan seorang sifu Wing Chun, Michael Steven Yates atau sifu Mick yang mengamalkan kung fu Wing Chun Ip Man dari Hong Kong.

"Di Malaysia, kami pelajari kung fu Wing Chun berketurunan Yip Kin yang sedikit berbeza dan saya berpeluang mempelajari teknik dan gaya yang baharu daripada sifu Mick," katanya.

Semasa di UK juga, Kahar dipelawa menyertai persatuan underground fighting society dan melalui kemahiran teknik Wing Chun yang dimilikinya, beliau berjaya menewaskan rakan saingan ketika sesi perlawanan persatuan itu.

Teruja dengan kebolehan dan kemahiran yang dimiliki, sebaik pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian di UK, beliau menceritakan pengalamannya kepada sifu Yip tentang bagaimana beliau berjaya menewaskan lawannya menerusi teknik Wing Chun yang dipelajarinya.

"Saya begitu bangga kerana saya anak murid Wing Chun dan dapat menewaskan kung fu dan seni mempertahankan diri yang lain di UK. Namun ketika itu, sifu Yip tidak bercakap apa-apa.

"Sebaliknya, beliau terus memusingkan badan saya dengan hanya satu tangan sehingga menyebabkan saya tersungkur,” katanya menambah pada saat itulah beliau terkedu, insaf dan menyesal dengan keegoan dirinya.

"Sejak daripada peristiwa itu, saya sedar bahawa seni mempertahankan diri bukan untuk mencetuskan pergaduhan, sebaliknya perlu bersikap rendah diri setiap masa," katanya.

Tarian singa

Di sebalik ketangkasan ilmu Wing Chun, Kahar turut mempunyai kemahiran mempersembahkan tarian singa daripada sifu Yip yang telah menuntut ilmu berkenaan daripada datuknya Yip Kin ketika kecil.

Yip Kin juga merupakan antara guru yang memperkenalkan pergerakan tarian singa di Malaysia sejak tahun 1918.

“Biasanya saya akan memainkan peranan sebagai ekor singa, tetapi pada masa-masa tertentu, saya diminta untuk mengetuai rakan-rakan saya dalam persembahan tarian singa,” katanya menambah aktivti sebegini bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan pelbagai kaum di Malaysia.

Bagi Kahar, pemergian sifu Yip (83 tahun) dan ayahnya Saidun pada tahun lepas memberi tamparan hebat dalam hidupnya namun pada masa yang sama turut mencetuskan semangat untuk beliau terus mewarisi seni mempertahankan diri yang begitu unik itu.

"Saya kehilangan kedua-dua ayah kesayangan saya dalam masa setahun, merekalah yang membentuk saya pada hari ini.

"Saya menghargai pengorbanan mereka dan berjanji akan terus mewarisi seni turun-temurun ini untuk generasi akan datang,” katanya mengakhiri perbualan dengan Bernama.

Disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali

- Bernama

Lihat Komen
ADS