Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya 'pasti' MH370 adalah jenayah bunuh diri, kata bekas PM Australia
Diterbitkan:  Feb 19, 2020 8:44 AM
Dikemaskini: 12:45 AM

Bekas Perdana Menteri Australia, Tony Abbott membuat pendedahan "tahap tertinggi" bahawa kerajaan Malaysia sejak awal percaya tragedi MH370 adalah plot bunuh diri.

Dalam dokumentari bertajuk MH370: The Untold Story yang bakal ditayangkan di Australia minggu ini, Abbott berkata, dalam masa dua minggu adalah sangat jelas kepadanya bahawa pesawat itu hampir pasti sengaja dijatuhkan oleh juruterbang, menurut laporan The Australian.

Pesawat malang berkenaan  dipandu oleh Kapten Malaysia, Zaharie Ahmad Shah.

"Pemahaman saya - pemahaman yang sangat jelas saya - daripada peringkat teringgi kerajaan Malaysia bahawa sejak awal-awal lagi mereka berpendapat ia adalah jenayah bunuh diri oleh juruterbang," kata Abbott yang merupakan perdana menteri Australia apabila pesawat itu hilang pada 8 Mac 2014.

"Saya tidak akan mengatakan siapa kata kepada siapa. Tetapi saya menegaskan sekali lagi - Saya mahu sangat jelas - ia difahami di peringkat tertinggi bahawa ini adalah hampir pasti bunuh diri oleh juruterbang," kata Abbott.

"Pembunuhan-bunuh diri besar-besaran oleh juruterbang,"

Kehilangan pesawat penumpang Boeing 777, yang hilang daripada radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atas kapal, terus membingungkan pakar penerbangan, ahli keluarga dan masyarakat dari seluruh dunia.

Operasi mencari dan mengesan pesawat berakhir pada Mei 2018 apabila syarikat carigali yang berpangkalan di Amerika Syarikat Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu setelah mencari lebih 112,000 km persegi di dasar laut dalam, sepajang lebih daripada tiga bulan.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370, dalam laporan 449 mukasurat, menyimpulkan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan bahawa 'gangguan menyalahi undang-undang' oleh pihak ketiga menyebabkan kejadian itu.

"Selamat malam. Malaysia tiga-tujuh-sifar," adalah kata-kata terakhir diucapkan kapten kepada kawalan trafik udara sebelum pesawat itu hilang dari radar di pada jam 01:21.

Data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang dari laluan, membuat siri pusingan ke Selat Melaka dan kemudian ke arah Lautan Hindi.

Setakat ini, hanya tiga serpihan sayap, yang dikenali sebagai flaperon, telah disahkan dari MH370. 

Lihat Komen
ADS