Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KATA MP | Tugas Presiden MCA Dr Wee Ka Siong sebagai pembangkang nampaknya adalah hanya untuk mengutuk dasar-dasar murni kerajaan PH dengan pelbagai tohmahan palsu atau mengelirukan.

Pelbagai spekulasi yang tidak berasas dan tohmahan tidak benar telah dikeluarkan oleh beliau berkaitan inisiatif kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan pertengahan (M40).

Wee membangkitkan kembali kes-kes yang berkaitan dengan masalah tuntutan lama yang dilaporkan oleh media tahun lalu. Hal-hal ini telahpun dijelaskan secara terperinci oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah mySalam pada 6 Nov 2019.

Antaranya, tuntutan bermasalah yang tidak mempunyai maklumat yang lengkap seperti pengesahan daripada doktor.

Tuntutan bermasalah lain yang ditolak pula adalah kerana pemohon tersebut telah menerima tuntutan hospitalisasi maksimum setahun iaitu sebanyak RM700.

Pada masa yang sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan - bukan satu, tetapi dua - surat pekeliling kepada semua pengarah hospital, pengarah kesihatan negeri dan pengarah institusi pada 14 Ogos 2019 dan 13 Jan 2020 agar caj bayaran laporan perubatan dikecualikan daripada pesakit yang membuat tuntutan Skim mySalam.

Ini jelas membuktikan keikhlasan kerajaan PH untuk meringankan bebanan pesakit apabila tiada caj tambahan dikenakan ke atas mereka.

Untuk tahun mendatang

Kalau Wee tidak tahu, biar saya ambil kesempatan ini untuk menjelaskan sekali lagi kepada beliau bahawa skim mySalam ini tidak akan memberikan keuntungan kepada mana-mana pihak kecuali rakyat Malaysia.

Semua premium yang dibayar kerajaan - jika tidak digunakan sebagai tuntutan oleh penerima manfaat - akan dibayar balik kepada Tabung Amanah mySalam.

Sekali lagi, hal ini telah pun dijelaskan secara berulang kali di Dewan Rakyat dan melalui kenyataan rasmi Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) pada 6 Ogos 2019.

Seperti mana-mana kebiasaan pelaksanaan inisiatif baru, proses penyebaran maklumat, aktiviti-aktiviti meningkatkan kesedaran untuk ianya menjadi tuntutan akan mengambil masa yang agak lama.

Jumlah tuntutan sebanyak RM13.7 juta untuk 2019 yang diumumkan secara telus itu tidak bermakna bahawa baki dana tersebut 'disonglap' seperti di bawah pentadbiran kerajaan BN dulu.

Sebaliknya, ia akan menjadi diperuntukan bagi penerima skim mySalam pada tahun-tahun akan datang.

Kerajaan PH akan terus mempertingkatkan kerja-kerja penyebaran maklumat kepada orang ramai melalui usaha seperti penubuhan kios-kios mySalam di hospital-hospital kerajaan di setiap negeri untuk membantu rakyat membuat tuntutan.

Mungkin Wee tidak faham mengenai matlamat mySalam kerana skim kebajikan dan takaful yang membantu golongan berkeperluan yang mengidap penyakit kritikal atau kehilangan pendapatan kerana terpaksa dihospitalisasi, tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan BN.

Daripada sibuk membazir masa menyebarkan tohmahan yang tidak berasas, adalah lebih baik sekiranya Wee menggunakan laman media sosial beliau untuk membantu mengongsikan maklumat yang tepat dan sahih mengenai skim mySalam yang disediakan secara percuma oleh kerajaan Malaysia.

Dengan sikap yang begitu lebih ramai rakyat Malaysia akan dapat menikmati manfaat takaful mySalam. Kecualilah Wee memang tidak inginkan manfaat ini kepada rakyat.

Janganlah disebabkan keangkuhan enggan mengiktiraf kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan PH, Wee sanggup mengeluarkan bermacam tohmahan yang bukan sahaja mengelirukan malah mengaburi mata rakyat yang memerlukan bantuan kesihatan daripada kerajaan dengan mengeluarkan bermacam tohmahan palsu.


TONY PUA ialah ahli parlimen Damansara merangkap setiausaha politik menteri kewangan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS