GLOBAL l Dua rakyat Iran yang meninggal dunia akibat COVID-19, di bandar Qom, didapati tidak langsung berhubung dengan warga China atau mengunjungi negara itu, lapor agensi berita Sputnik.
Media pada Rabu melaporkan dua orang meninggal dunia di Iran akibat COVID-19, kedua-dua mereka menetap di Qom.
Kementerian Kesihatan berkata pihaknya tidak menerima maklumat mengenai kes jangkitan di kawasan lain.
"Jawatankuasa penyiasatan penyakit berjangkit di Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mengenal pasti bagaimana kedua-dua mangsa itu dijangkiti. Virus itu mungkin dibawa oleh pelancong dari (salah satu) negara jiran, walaupun kita tidak dapat mengesahkan tempat sebenar wabak tersebut menular," kata seorang pegawai dari kementerian itu, Masoud Mardani.
Sementara itu, penasihat kepada menteri kesihatan, Alireza Vahabzadeh, berkata bagaimana virus itu menular ke Qom masih tidak diketahui.
"Selepas pihak kami dapat mengesahkan mengenai perkara itu kami akan mengumumkannya," katanya.
Beliau berkata kes pesakit lain yang disyaki dijangkiti COVID-19 dan mereka telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
- Bernama
