Mahkamah Magistret Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes tujuh pelajar yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara awal Jun lalu kepada Disember.
Penangguhan itu diputuskan selepas magistret Lim Kui Lee menerima permohonan itu daripada peguambela Wan Razali Wan Kadir apabila mahkamah bersidang pagi tadi. Magistret mengumumkan tarikh baru perbicaraan itu pada 19 Disember nanti.
Ahmad Kamal Abd Hamid, Khairul Amal Mahmood, Nik Noorhafizi Nik Ismail Nik Ibrahim, Rafzan Ramli, Wan Mohd Sanusi Wan Mohd Noor dan Zulkifli Idris dan Hilman Sanudin ditangkap lebih kurang jam 2.30 petang pada 8 Jun lalu di depan Masjid Negara.
Tujuh pelajar itu dituduh di bawah seksyen 27(5) Akta Polis atas kesalahan menyertai perhimpunan tanpa permit.
Jika sabit kesalahan, aktivis-aktivis pelajar itu boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau dipenjara tidak lebih setahun.
Pelajar yang terbabit adalah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia.
Perhimpunan yang disertai itu adalah anjuran gabungan 12 kumpulan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI) sempena genap dua bulan penahanan tujuh pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis pembangkang di bawah akta ISA.
Rafzan, pelajar tahun dua UiTM, dipecat 22 Jun lalu ekoran kejadian ini tetapi diterima meneruskan kembali pelajaran selepas bahagian Hal Ehwal Pelajar menerima rayuannya.
Permohonan ditolak
Kumpulan pelajar itu diwakili Wan Razali dan Lateefah Koya, sementara pendakwaan di lakukan oleh timbalan pendakwaraya Ahmad Bache.
Selain itu, permohonan Wan Razali agar mahkamah mengemukakan notis pembatalan penggantungan daripada belajar kepada naib-naib canselor universiti tempat pelajar-pelajar itu telah ditolak.
Magistret Lim berkata mahkamah tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan notis sedemikian kerana penggantungan pelajar-pelajar tersebut oleh pihak universiti dibuat berdasarkan undang-undang universiti masing-masing.
