BERITA

Desas-desus pembentukan k'jaan baru tercetus

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2020, 6:44 pagi

Beberapa kem politik yang dijangka bermesyuarat hari ini mencetuskan spekulasi berlakunya pensejajaran semula kekuasaan negara.

Para anggota parlimen yang setia kepada Timbalan Presiden PKR Azmin Ali disahkan sedang berkumpul di Sheraton Hotel Petaling Jaya.

Turut disahkan Majlis Tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat di ibu pejabatnya, yang tidak jauh dari hotel itu.

Para pemimpin dan MP Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka bertemu petang ini di Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Majlis Tertinggi Umno juga dipercayai mengadakan pertemuan di ibu pejabat parti itu kira-kira pukul 3 petang hari ini.

Sekiranya hal ini benar, maka Umno akan memendekkan pemukiman bersama pemimpin PAS di kemudahan latihan Umno di Janda Baik, Pahang.

Sejak pagi tadi, wartawan Malaysiakini telah dibanjiri dengan dakwaan bahawa gerakan pensejajaran membentuk kekuasaan baru politik sedang berlangsung.

Dipercayai sekumpulan pemberita juga sedang berkumpul di Istana Negara dengan jangkaan kerajaan baru bakal dibentuk.

Di Hotel Sheraton, anggota parlimen PKR yang kelihatan ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Temerloh), Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya).

Menariknya, Anggota Parlimen Bersatu Hamzah Zainuddin (Larut) juga kelihatan di hotel yang sama. Beliau diiringi oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

Sama ada MP Larut itu akan mengambil bahagian dalam mesyuarat itu atau tidak, ia masih belum pasti.

Hamzah keluar Umno pada tahun lepas untuk menyertai Bersatu.

Turut kelihatan, aktivis sosial Hishammudin Rais dan penasihat Azmin Khalid Jaafar.

Mereka dipercayai berkumpul di sebuah bilik mesyuarat yang telah ditempah sehingga jam 7 malam.

Ketika laporan ini ditulis, Azmin dipercayai tidak berada di dalam hotel itu dan dijangka tiba kemudian.

Para pemberita telah menerima banyak mesej teks yang mendakwa kem Azmin akan mengumumkan mereka bakal meninggalkan PKR hari ini.

Bagaimanapun, dakwaan ini tidak boleh disahkan secara bebas.

Sesetengah wartawan juga telah menunggu di istana negara, dengan ada yang menjangkakan perubahan kerajaan akan berlaku.

Sementara itu, difahamkan Majlis Tertinggi Bersatu telah bermesyuarat pagi ini di Menara Yayasan Selangor, kira-kira lima minit perjalanan dari hotel di mana kem Azmin sedang melakukan pertemuan.

Pegawai daripada kedua-dua kem Azmin dan Bersatu tidak memberitahu mengenai tujuan pertemuan hari ini, yang diadakan susulan mesyuarat PH yang penting pada hari Jumaat lalu.

Ketika mesyuarat Majlis Presiden PH itu, pemimpin tertingginga terbahagi kepada dua pendapat. Satu pihak mahu Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggal perkhidmatannya sebagai perdana menteri, sementara yang lain mahu beliau menetapkan tarikh persaraan.

Pada akhirnya, mesyuarat itu memutuskan tarikh peralihan kuasa "terpulang kepada Mahathir." 

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.