Malaysiakini
BERITA

Gabungan baru: Anwar jumpa pemimpin DAP dan Amanah, Azmin ikrar teruskan agenda reformasi

Wartawan Malaysiakini

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Feb 2020, 4:14 petang

LANGSUNG | Malaysiakini membawakan liputan langsung berkenaan perkembangan susulan pertemuan kumpulan-kumpulan politik yang bermula pagi ini.

Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

Sekian liputan kami berhubung langkah-langkah politik melibatkan parti-parti politik pada hari ini. Terus ikuti kami untuk perkembangan esok.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


11.30 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Azmin akhirnya keluar selepas kira-kira sejam pertemuan dengan penyokongnya.

Ia di saat kebanyakan pemimpin dan anggota parlimen BN, Bersatu, PAS, GPS dan Warisan telah meninggalkan hotel itu.

Timbalan presiden PKR itu mengucapkan terima kasih kepada pemberita yang menunggunya.

"Terima kasih kepada semua yang berada di sini sekian lama. InsyaAllah kita akan teruskan perjuangan untuk melaksanakan agenda reformasi, membangunkan negara dan memberikan kemakmuran kepada rakyat," katanya.

Gabungan politik baru tidak akan diumumkan malam ini.


Anwar jumpa pemimpin Amanah, DAP

10.45 malam: Kediaman Anwar, Bukit Segambut - Anwar meninggalkan kediamannya untuk bertemu dengan pemimpin Amanah dan DAP bagi membincangkan langkah politik hari ini, yang dilakukan pembangkang dan sebahagian daripada PH yang mungkin membawa kepada kejatuhan kerajaan.

Perkara itu disahkan setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador.

"Sekarang Anwar bertemu dengan pemimpin gabungan yang lain. Beliau tiada di rumah. Beliau beredar pada pukul 10.30 malam tadi dan pertemuan pada pukul 11 malam," katanya.


10.35 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Selepas beredar daripada acara makan malam, beberapa pemimpin PKR antaranya Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin serta penyokongnya turun ke tingkat 3C, dan mengadakan satu lagi pertemuan di sebuah bilik.

Difahamkan Azmin memberikan ucapan namun tidak dapat dipastikan kandungan ucapan tersebut.

Tidak berapa lama kemudian, para penyokong dilihat keluar dari bilik tersebut dan diarahkan oleh urusetia majlis agar tidak bercakap dengan pemberita.


Anggota Parlimen PKR tiba di rumah Anwar

10.20 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Beberapa anggota parlimen PKR, antaranya Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Fuziah Salleh (Kuantan), P. Prabakaran (Batu), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), tiba di rumah presiden mereka.

Selain itu turut kelihatan ialah pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali.

Apabila didekati pemberita, Fuziah berkata, "PKR okey, yang tak okey itu ada matlamat lain."


PH sudah mati, kata Annuar Musa

10.15 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Setiausaha Agung Umno Annuar Musa percaya PH sudah hancur dan satu gabungan baru akan menggantikan tempatnya.

Walaupun tiada apa-apa pegumuman dibuat berhubung kerajaan baru malam ini, Annuar ketika ditanya sama ada PH sudah tamat, berkata: "Saya rasa begitu."

Berkenaan jika ada satu gabungan baru, beliau menjawab: "Kemungkinan besar."

Berkenaan penubuhan gabungan baru, anggota parlimen Ketereh itu berkata ia bergantung kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga menafikan Umno akan bergabung dengan Bersatu.

"Tiada (penggabungan), ia satu gabungan," katanya lagi.

Ditanya berkenaan sama ada gabungan itu ada sokongan 130 anggota parlimen, Annuar enggan memberikan angka khusus tetapi mendakwa mereka ada "lebih separuh, ke arah dua pertiga."

Beliau turut memaklumkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah bertemu dengan Mahathir tadi.

Menurut Annuar, semua pihak dalam Umno "gembira" dengan perkembangan baru dan tiada masalah untuk bekerjasama dengan PAS.

"Mengapa tidak? Kita telah bekerjasama dengan PAS selama lima dekad," katanya.


Anwar: Perkembangan hari ini satu pengkhianatan

10 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan politik yang berlaku hari ini - melibatkan timbalannya Azmin Ali, Bersatu, umno, PAS, GPS dan Warisan - adalah satu pengkhianatan.

“Dan kita juga dikejutkan hari ini dengan perkembangan yang bagi kita satu juga pengkhianatan kerana sudah janji dan sebagainya, maka menyebabkan ada perubahan.

“Dan saya jangka akan berlaku dalam masa terdekat, mungkin esok,” kata Anwar kepada penyokongnya di rumahnya di Kuala Lumpur.


Sejumlah MP, Azmin beredar dari dewan

9.45 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya: Kebanyakan anggota parlimen Umno, Bersatu dan juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dilihat keluar dari dewan, di mana majlis makan malam berlangsung.

Rata-ratanya enggan menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan penubuhan kerajaan baru.

Makan-makan saja," kata Ismail Sabri yang turut hadir di majlis itu.


Presiden MIC: Saya tak tahu tentang k'jaan baru, tapi Azmin keluar PKR

9.40 malam: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Presiden MIC SA Vigneswaran memperkecil perkumpulan anggota parlimen malam ini.

Presiden Dewan Negara memberitahu pemberita beliau tidak tahu apa-apa tentang pembentukan kerajaan baru malam ini.

Bagaimanapun beliau menyebut tentang Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan keluar PKR dan juga kemungkinan Bersatu keluar daripada PH.

"Itu saja. Tubuh kerajaan baru - saya tak tahu lagi. Itu anda perlu tanya Tun (Dr Mahathir Mohamad," katanya lagi.

Vigneswaran berkata MIC akan mengikut pendirian BN.


Nga: K'jaan pintu belakang khianat mandat rakyat

9.35 malam: Kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang adalah satu pengkhianatan kepada mandat rakyat, kata Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

"Satu-satunya kerajaan yang sah adalah yang menang dalam pilihan raya dan mendapat mandat daripada rakyat," ciapnya di Twitter.

"Siapa saja yang cuba bentuk kerajaan pintu belakang dengan apa jua ulasan adalah pengkhianat besar terhadap bangsa dan negara," katanya yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat.


9.25 malam: Presiden PKR Anwar Ibrahim akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

Setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak memberitahu Malaysiakini yang pertemuan itu dijadual pada pukul dua petang.

"Ia sudah dirancang lebih awal," katanya lagi.


Hadi beredar

9.25 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat meninggalkan dewan di mana majlis makan malam berlangsung.

Bersama pengiring, beliau berjalan ke arah lif dan meninggalkan hotel tersebut.

Tidak lama kemudian, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan beberapa anggota parlimen PAS juga meninggalkan dewan.


Pemimpin Bersatu masuk dewan

9.20 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof tiba di majlis makan malam.

Mereka disusuli Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anggota Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Perak Faizal Azumu beberapa minit kemudian.


MP Petaling Jaya jawab pengkritik

9.15 malam: Bekas pengerusi Bersih yang juga anggota parlimen Petaling Jaya Maria Chin membalas pihak yang mengkritiknya atas kehadirannya di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pagi tadi.

"Ada banyak kenyataan yang tersasar, maklumat salah yang jahat, spekluasi dan bahasa kasar terhadap saya.

"Bagi mereka, anda sama saja seperti Umno kerana tidak mahu mengetahui perkara sebenar," katanya di Facebook.


Syarahan agama di rumah Anwar

9.10 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Lebih 25 kakitangan media masih berkumpul di luar rumah Presiden PKR Anwar Ibrahim, di mana majlis sembahyang hajat dan syarahan agama sedang berlangsung.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke perkarangan rumah.

Bagaimanapun menurut siaran langsung di Facebook, Anwar disertai Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd noor sedang memberikan syarahan kepada hadirin.

Syarahan tidak menyentuh isu politik.


Ronnie Liu: Saya ke sini secara kebetulan, ada pertemuan peribadi

8.51 malam: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Keberedaan anggota Jawatankuasa Pusat DAP Ronnie Liu, yang juga adun Sungai Pelek, di sini mengundang perhatian.

Liu berkata beliau di sana secara kebetulan, kerana terlibat dalam satu pertemuan peribadi tetapi ia dibatalkan susulan apa yang berlaku di situ.

Beliau berpandangan kerajaan baru tidak akan ditubuhkan malam ini dan tidak merasakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad akan ke hotel tersebut, walaupun sudah ramai anggota parlimen yang berkumpul.

Bagaimanapun Liu menyuarakan kebimbangan bahawa penubuhan kerajaan baru boleh terjadi dalam masa beberapa hari.


DAP buat mesyuarat tergempar esok

8.50 malam: DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar berkenaan perkembangan politik terbaru, di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.

Perkara itu dimaklumkan seorang sumber kepada Malaysiakini.

Ia dijadual bermula tengah hari. DAP merupakan parti yang memiliki bilangan anggota parlimen kedua teramai, selepas PKR.


Muhyiddin tiba, disambut tepukan

8.35 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin tiba pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Sebaik Muhyiddin memasuki sebuah dewan, di aras bawah di mana program Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen diadakan, beliau disambut dengan tepukan hadirin di situ.


Hadi, Zahid, Azmin dan MP lain tiba di Hotel Sheraton

8 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali serta pelbagai anggota parlimen daripada BN, GPS dan PAS dilihat masuk ke dewan.

Pelayan hotel mengumumkan hanya anggota parlimen dibenarkan masuk dan meminta orang lain yang berada di situ untuk memberi laluan.

Apabila mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.

Antara yang dilihat di hotel itu ialah:

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man (MP Kubang Kerian)

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa (MP Ketereh)

Anggota MPT Bersatu Redzuan Mohd Yusof (MP Alor Gajah)

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin (MP Ampang)

Khairy Jamaluddin (MP Rembau)

Presiden MIC SA Vigneswaran

Timbalan Presiden MIC M Saravanan (MP Tapah)

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan (MP Kota Bharu)

Nik Mohamad Nawawi (PAS – MP Pasir Puteh)

Bekas setiausaha agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor

Ketua Pemuda MCA Nicole Wong


Hadi, MP pelbagai parti tiba di Hotel Sheraton

8 malam: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Anggota parlimen daripada GPS, BN dan PAS dilihat masuk ke sebuah dewan. Antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Pelayan hotel mengumumkan hanya anggota parlimen yang dibenarkan masuk dan meminta orang lain yang hadir untuk memberi laluan.

"MP saja, sila masuk," kata seorang pelayan hotel.

Apabila mana-mana anggota parlimen tiba, dia akan dibawa masuk ke dewan dengan pintu yang ditutup. Anggota polis juga membuat kawalan di sana.


8 malam: Istana Negara - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah disahkan telah meninggalkan istana.

Perkara itu dimaklumkan pengawal keselamatan Istana Negara, tidak lama selepas lebih 20 kenderaan kenamaan dilihat meninggalkan perkarangan istana sekitar 7.30 petang tadi.

Difahamkan baginda meninggalkan istana selepas "tamat perjumpaan".


Zaid: Dapatkan mandat baru dari rakyat

7.55 petang: Pengerusi DAP Kelantan Zaid Ibrahim menggesa satu mandat baru dari rakyat.

"Saya tak dapat percaya sandiwara ini tlah capai ke tahap Istana. Anda tidak tambah bilangan (sokongan) di Parlimen untuk tubuh kerajaan.

"PH runtuh, jadi buat pembubaran. Mandat baru dari rakyat. Mandat tidak datang daripada pembangkang dan anggota parlimen yang bermasalah," katanya di Twitter.


Keadaan tenang di rumah Anwar

7.40 malam: Kediaman Anwar, Segambut - Walaupun desas-desus dan kekecohan politk negara sekarang, keadaan di rumah Anwar kelihatan tenang dan damai.

Kira-kira seratus penyokong berhimpun di kediammnya untuk menyertai majlis "Selawat Nuril Anwar."

Turut menyertai program itu ialah Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor.

Setakat ini, belum ada tokoh utama kepimpinan yang hadir.


Mujahid: Kekal fokus agenda rakyat, bukan agenda desperado

7.40 petang: Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof menggesa semua pihak bertenang di saat tanda-tanda kerajaan PH dilihat retak menunggu belah.

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Majlis Presiden PH berkenaan peralihan kuasa ialah jelas.

Tanpa menyebut sebarang nama, Mujahid dalam ciapannya di Twitter: "Ada pihak tak puas hati ambil kesempatan seolah-olah mereka lupa mandat rakyat. Jangan kita dipalingkan dari fokus utama keputusan. Semua diminta bertenang dan kekal fokus pada agenda rakyat, bukan agenda desperado."

Dalam ciapan terdahulu, menteri di jabatan perdana menteri itu berkata "orang yang terdesak akan membuat tindakan yang terdesak".

"Bagi kami, mereka seperti awan, apabila mereka tidak menghalang (pandangan), hari jadi indah dengan sinaran matahari. Pastikan orang yang terdesak tidak menjadi penghalang kita. Kekal teguh bersama Pakatan Harapan!

"Move on lah...Sebenarnya geng pintu belakang ini nak selamatkan negara atau selamatkan diri? Saya yakin Tun Mahathir dan pimpinan PH akan hormat dan pertahankan keputusan (yang dicapai sebelumnya)," katanya lagi.


7.31 petang: Istana Negara - Sejumlah 28 kenderaan dilihat meninggalkan Istana Negara. Kesemuanya dilihat bergerak dalam beberapa kumpulan.

Kumpulan pertama dilihat keluar kira-kira pada pukul 7.25 petang, manakala kumpulan terakhir, setakat ini, kira-kira pada pukul 7.35 petang.

Masih ada beberapa kenderaan dilihat di perkarangan istana.


Ke mana arah sokongan Warisan, GPS?

7.30 petang: Jika perubahan kerajaan berlaku malam ini, antara faktor yang memungkinkannya ialah sokongan daripada Warisan dan GPS.

Terdahulu ada laporan bertentangan berkenaan siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, sumber dalaman PKR membayangkan Anwar mengharapkan GPS dan Warisan untuk menyokongnya, dan bukan Mahathir.

"Terutama GPS. Mereka ada ada pilihan raya negeri tahun ini dan ada kelebihan, maka mengapa mereka akan sertai Mahathir?" kata sumber itu.

Mahathir juga mencetuskan rasa tidak puas hati di Sabah apabila membuka cawangan Bersatu di sana, walaupun dibantah ketua menteri dan presiden Warisan, Shafie Apdal.

Tidak jelas apa yang menyebabkan mereka menyokong Mahathir.

GPS memegang 18 kerusi Parlimen, manakala Warisan sembilan.

Tanpa mereka, gabungan Bersatu, Umno PAS, dan 10 anggota parlimen PKR hanya memiliki 92 kerusi, kurang 20 kerusi untuk majoriti mudah dan membentuk kerajaan.


Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan tiba

7.25 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Kedua-dua setiausaha agung Umno dan PAS baru sahaja tiba.

Annuar Musa dan Takiyuddin Hassan dilihat masuk ke sebuah bilik di mana semua VIP berkumpul, diiringi Exco Melaka dari Bersatu, Rafiq Naizamohideen.

Ketika ditanya mengapa beliau berada di sini, Annuar berkata beliau datang untuk berjumpa "kawan-kawan MP".


Sumber: Bersatu, Umno, kem Azmin, GPS, PAS, Warisan di Istana Negara

7.11 petang: Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa enam parti yang kini berada di istana ialah Bersatu, Umno, PKR (kem Azmin), GPS, PAS dan Warisan.

Pemimpin yang ada di sana ialah:

Muhyiddin Yassin (presiden Bersatu)

Ahmad Zahid Hamidi (presiden Umno)

Azmin Ali (timbalan presiden PKR)

Abang Johari Openg (presiden GPS)

Shafie Apdal (presiden Warisan)

Abdul Hadi Awang (presiden PAS)

Sumber itu berkata Dr Mahathir Mohamad turut ada namun seorang pembantu perdana menteri menafikannya.


Pemimpin, MP Umno tiba di Hotel Sheraton

7.05 petang: Hotel Sheraton, Petaling Jaya - Beberapa pemimpin Umno dilihat tiba di sini.

Antara yang dilihat ialah naib presiden Ismail Sabri serta anggota Majlis Tertinggi seperti Tengku Adnan Mansor (Putrajaya), Shahidan Kassim (Arau) dan Azalina Othman Said (Pengerang).

Selain itu, anggota parlimen Umno yang turut ada ialah Ismail Muttalib (Maran), Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Noor turut dilihat ada di sini.

Sementara itu, pegawai presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Fadzlette Othman Merican turut dilihat. Mustapa Mohamed (Jeli) pula baru tiba.

Kesemuanya enggan menyatakan sebab keberadaan mereka.


PM tak akan buat sidang media, kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri

7 petang: Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata Dr Mahathir Mohamad tidak akan mengadakan sidang media malam ini.

Ia sebagai respons kepada permintaan pemberita yang inginkan pengesahan berkenaan kemungkinan ada sidang media atau pengumuman besar oleh perdana menteri nanti.

Jurucakap itu juga berkata Mahathir tidak akan ke Hotel Sheraton Petaling Jaya, di mana beliau dikatakan akan mengadakan sidang media tersebut.


Sumber: Dr M, wakil 6 parti di Istana Negara

7 petang: Istana Negara - Sumber yang rapat dengan istana memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin daripada enam parti kini telah tiba.

Bagaimanapun sumber itu tidak menyatakan nama parti tersebut.

Mahathir juga telah tiba.

Setakat ini, Malaysiakini boleh mengesahkan pemimpin GPS dan Umno dalam perjalanan ke istana.

Kumpulan lain yang terlibat dalam pertemuan hari ini termasuklah Bersatu, Warisan dan anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin.

PAS pula mengadakan pemukiman dengan Umno di Janda Baik, Pahang, pada hujung minggu ini.


6.35pm: Hotel Sheraton Petaling Jaya - Para penyokong mula berkumpul di sini, di mana pemimpin PKR yang menyokong Azmin sudah berada di sini sepanjang hari.

Rata-ratanya berlegar di hotel tersebut.

Kira-kira pukul sembilan pagi hari ini, pemimpin PKR seperti Zuraida Kamaruddin, Kamaruddin Jaafar, Saifuddin Abdullah dan Rashid Hasnon sudah berada di sini.

Anggota parlimen PKR yang ada pula antaranya Willie Mongin (Puncak Borneo), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Mansor Othman (Nibong Tebal), Edmund.

Kereta Edmund Santhara Kumar (Segamat) pula dilihat di lobi hotel.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka mengadakan sidang media di sini nanti.


Zahid sah ke Istana Negara

6.30 petang: Istana Negara - Malaysiakini boleh mengesahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam perjalanan ke Istana Negara.

Perkara itu disahkan oleh seorang pemimpin kanan Umno.

Satu lagi sumber Umno berkata pertemuan di istana sepatutnya berlaku lebih awal tetapi tertangguh kerana mesyuarat GPS berlangsung lebih lama daripada jangkaan.

Terdahulu kenderaan ketua GPS Abang Johari Openg dilihat ada di perkarangan istana.


'PAS tunggu dan lihat'

6.30 petang: Di saat beberapa pemimpin telah tiba atau dalam perjalanan ke Istana Negara, masih belum ada sebarang khabar berkenaan penglibatan PAS.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah memaklumkan pihaknya mengambil pendirian 'tunggu dan lihat' berhubung spekulasi kemungkinan perubahan kerajaan, ekoran pertemuan kumpulan politik hari ini.

Katanya, setakat ini PAS tidak membuat sebarang mesyuarat tergempar.

"Saya ada di Kuala Lumpur, tak ada mesyuarat (PAS), saya ada urusan lain. Saya baru balik Janda Baik juga (pemukiman Muafakat Nasional).

"Kita pun tunggu dan lihat (perkembangan), sebab itu urusan PH dan perdana menteri," katanya.


Polis bersedia

6.20 petang: Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan polis dalam keadaan sedia untuk kemungkinan sidang media oleh Perdana Menteri Dr Mahathir MOhamad.

Ia selepas Malaysiakini memintanya mengesahkan berhubung makluman berkenaan kawalan keselamatan terhadap pemimpin di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Sumber politik memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir dijangka mengadakan sidang media di sana selepas ke Istana Negara.


MP PKR beredar dari rumah Anwar

6.15 petang: Rumah Anwar, Segambut - Beberapa MP PKR yang menyokong Anwar dilihat beredar.

Antaranya Nik Nazmi (Setiawangsa), Johari Abdul (Sungai Petani), Saifuddin Nasution (Bandar Bahru Kulim), Wong Chen (Subang), Chang Lih Kang (Tanjung Malim), Lee Boon Chye (Gopeng), William Leong (Selayang), Fahmi Fadli (Lembah Pantai), Xavier Jayakumar (Kuala Langat).

Mereka enggan bercakap dengan pemberita.


Apakah Dr M ke Istana Negara?

6.10 petang: Istana Negara - Sumber yang dekat dengan istana berkata pihaknya menjangkakan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sumber berkata Mahathir dijangka tiba lebih awal, tetapi belum berbuat demikian.

Sementara itu, Malaysiakini boleh mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dilihat berada di perkarangan istana.


Zahid tak lama di PWTC

6 petang: PWTC - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Umno, tetapi tidak lama.

Sumber Umno mengatakan Zahid bergerak ke Istana Negara susulan rancangan sidang media di Hotel Sheraton Petaling Jaya, tetapi dakwaan itu tidak boleh disahkan secara bebas.

Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang dijangka diadakan akan dipengerusikan oleh setiausaha agung Annuar Musa.


Penyokong Anwar tiba di Segambut

5.50 petang: Rumah Anwar, Segambut - Kegiatan mula rancak apabila anggota parlimen PKR yang menyokong Anwar mula tiba di sini.

Antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Wong Chen (Subang).

Di tengah-tengah pergerakan politik hari ini, penyokong presiden PKR itu menggesa himpunan diadakan di sini.


5.38 petang: Hotel Ritz Carlton - Sejak pagi tadi tumpuan ke arah kem Azmin dalam PKR, Bersatu, GPS, PAS dan Umno.

Bagaimanapun Warisan juga kini tampak turut terlibat apabila presidennya Shafie Apdal dilihat berada di sini, di mana pemimpin GPS berkumpul.

Beliau tidak bercakap dengan pemberita dan terus masuk ke hotel.

Warisan memiliki sembilan anggota parlimen.


5 petang: Ringkasan pertemuan dan perkembangannya:

Hotel Sheraton, Petaling Jaya - pemimpin PKR yang menyokong Azmin, beberapa pemimpin Bersatu.

Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur - Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan.

Istana Negara - Wartawan mula berkumpul sejak tengah hari tadi, konvoi kenderaan turut dilihat memasuki kawasan istana.

Rumah Anwar di Bukit Segambut - Penyokong mula berkumpul untuk majlis bacaan Yaasin dan sembahyang hajat.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) - Pemimpin Umno berkumpul, ada yang masih dalam perjalanan.

Ibu pejabat PAS - Sumber PAS mengatakan mesyuarat mungkin diadakan malam ini, tetapi ia belum disahkan.


Pagi ini, sejumlah anggota parlimen PKR yang menyokong timbalan presiden Azmin Ali mula berkumpul di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.

Ia terletak hanya kira-kira satu kilometer dari ibu pejabat Bersatu, di mana pemimpin parti itu turut bermesyuarat.

Ia mencetuskan spekulasi bahawa kem Azmin mungkin akan bekerjasama dengan Bersatu. Bagaimanapun desas-desus politik kian meningkat apabila jelas parti pembangkang juga terlibat.

Di Hotel Ritz Carlton di Kuala Lumpur, pemimpin GPS diketuai Abang Johari Openg mula berkumpul pada tengah hari. Tidak jelas bila mereka tiba dari Sarawak.

Pada masa sama, pemimpin Umno, yang mengadakan pemukiman dengan PAS di Janda Baik, Pahang pagi tadi mula kembali ke ibu pejabat parti di PWTC, Kuala Lumpur, pada petang tadi.

Pemimpin DAP, Amanah, dan PKR yang menyokong presiden Anwar Ibrahim tampak tidak termasuk dalam pergerakan hari ini memandangkan beberapa yang dihubungi Malaysiakini, berkata mereka tidak tahu-menahu dengan apa yang berlaku.

Mereka yang terbabit pula mengunci mulut di tengah-tengah keadaan yang masih berlangsung.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.