Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sah! Dr Mahathir letak jawatan
Diterbitkan:  Feb 24, 2020 1:55 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengesahkan Dr Mahathir Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri

“Surat tersebut telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 tengahari,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan media, sebentar tadi.

Malaysiakini juga difahamkan pemimpin-pemimpin kanan bersatu sedang dalam perjalanan untuk berkumpul di kediaman Mahathir di Seri Kembangan, Selangor.

Susulan peletakan jawatan itu, beberapa sumber memperlihatkan kemungkinan dua senario berbeza berhubung keputusan Mahathir.

Sumber pertama mendakwa bahawa perdana menteri yang berusia 94 tahun itu muak (fed-up) dan kecewa dengan apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu.

"Dia begitu fed-up dengan pencaturan pemimpin partinya sendiri. Dia tidak bersetuju dengan langkah itu dari mula lagi, " kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Manakala sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri Pakatan Harapan agar beliau boleh menjadi perdana menteri yang sah mewakili gabungan baru itu.

Jika ini benar, Mahathir akan menjadi perdana menteri kelapan Malaysia selepas berkhidmat sebagai perdana menteri keempat dari 1981 hingga 2003 dan perdana menteri ketujuh dari 10 Mei 2018 hingga 24 Feb 2020.

Bagaimanapun, sumber itu berkata Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum atau melantik seorang ahli parlimen, yang menurut Seri Paduka mampu mendapat sokongan majoriti mudah di Dewan Rakyat.

"Ya, itu langkah terbaik, terpulang kepada Seri Paduka untuk melantiknya semula atau orang lain, atau membubarkan parlimen supaya pilihan raya boleh diadakan," kata penganalisis itu yang enggan namanya disebut.

Menurut sumber itu, bahawa dengan peletakan jawatan Mahathir, kabinet yang dilantik beliau juga bubar secara automatik.

"Dr M boleh mengemukakan satu surat dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan membentuk pentadbiran baru. Kemudian dia boleh melantik kabinet barunya," katanya.

Sebelum PMO mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir itu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa parti berkenaan akan bertindak keluar dari PH.

Bersatu, dengan Mahathir sebagai pengerusinya, mempunyai 26 kerusi Parlimen.

Kata Muhyiddin, keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas parti yang diadakan semalam.

Dr Mahathir juga adalah pengerusi Bersatu yang juga pengerusi PH.

Sementara itu, bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata beliau dan 10 ahli parlimen akan membentuk blok bebas.

PKR pula pada mesyuarat parti itu, pagi tadi memecat Azmin dan naib presiden, Zuraida Kamaruddin sebagai ahli parti atas 'pengkhianatan terbuka' mereka.

Wakil rakyat PKR yang dilaporkan meninggalkan parti itu adalah Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok),Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).

Lihat Komen
ADS