Akhbar Tamil: 'Kami sedia hadapi Samy di mahkamah...'
Terjemahan Dua buah akhbar berbahasa Tamil - Makkal Osai dan Malaysia Nanban tidak gentar dengan ancaman Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu menyaman mereka atas tuduhan membuat laporan palsu.
Terjemahan Dua buah akhbar berbahasa Tamil - Makkal Osai dan Malaysia Nanban tidak gentar dengan ancaman Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mahu menyaman mereka atas tuduhan membuat laporan palsu.
Sebaliknya akhbar-akhbar berkenaan mendakwa mempunyai bukti yang Menteri Kerja Raya itu telah mengeluarkan kenyataan menafikan sumbangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada kaum India sepanjang pemerintahannya.
Semalam kedua-dua akhbar tersebut melaporkan Samy dalam ucapannya di satu konvensyen di Johor telah mengatakan Dr. Mahathir tidak menyumbang apa-apapun kepada kaum India.
Samy dipetik sebagai berkata, Dr Mahathir menjanjikan 'itu dan ini' dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) tetapi akhirnya memberitahu kaum India 'Nehi' (bermakna 'tidak' dalam bahasa Hindi).
Bagaimanapun dalam akhbar-akhbar hari ini Samy menafikan membuat kenyataan tersebut. Sebaliknhya menteri itu mendakwa laporan dalam akhbar berbahasa Tamil itu adalah palsu dan kata-katanya sengaja diputarbelitkan bagi melaga-lagakan beliau dengan Dr. Mahathir.
Samy menerangkan, dalam konvensyen itu seorang peserta membangkitkan isu pegangan ekuiti 3 peratus oleh kaum India di negara ini dan beliau menjelaskan sasaran itu ditetapkan oleh Dr. Mahathir tetapi tidak dapat dicapai dalam RMK8.
Presiden MIC itu telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Makkal Osai dan Malaysia Nanban .
Bagaimanapun Makkal Osai dan Malaysia Nanban yang dihubungi hari ini tetap mempertahankan laporan mereka.
"Wartawan kami di JB mengesahkan Presiden MIC itu telah mengeluarkan kata-kata sedemikian dalam ucapan perasmiannya dan kami mempunyai pita rakamannya," kata Pengurus Besar Makkal Osai , SM Periasamy.
Katanya, akhbarnya bersedia menentang Samy di mahkamah jika menteri itu mengambil tindakan undang-undang.
Sementara itu Ketua Pengarang, Malaysia Nanban , M Rajan juga memberitahu pihaknya mempunyai pita ucapan Samy itu.
"Wartawan kami ada di majlis itu. Kami hanya melaporkan apa yang dikatakan oleh Samy. Kami tidak mempunyai niat untuk melaga-lagakan beliau dengan Dr. Mahathir.
"Sepanjang pengetahuan kami, kami tidak melakukan apa-apa kesalahan. Kami bersedia menghadapi sebarang tindakan undang-undang,"tegasnya. Berita asal

