Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan door tapi rumah dah terbakar, tak ada pintu dah'

Rumah dah terbakar - itu gambaran diberikan PAS semasa menjelaskan keadaan semasa politik selepas Yang di-Pertuan Agong menemui sebahagian besar ahli parlimen di Istana Negara sebentar tadi.

Bercakap kepada media dalam sidang media bersama Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata mereka kini berpendapat pilihan terbaik bagi mengatasi kemelut itu ialah dengan membubarkan parlimen.

"Maka isu yang panas berlaku baru-baru ini... isu back door (pintu belakang), front door (pintu depan)... bukan door (pintu), tapi rumah dah terbakar, tak ada pintu dah," katanya.

Difahamkan gambaran rumah yang terbakar itu merujuk kepada keruntuhan kerajaan PH yang menyaksikan perkembangan drastik susulan usaha penjajaran semula kuasa sejak Ahad lalu.

Ia berlaku ekoran tindakan Bersatu - yang mempunyai 26 kerusi parlimen - meninggalkan PH selepas 11 anggota parlimen PKR diketuai Azmin Ali mengumumkan mereka menjadi ahli parlimen bebas.

Pengumuman itu dibuat sejurus selepas PKR memecat keanggotaan Azmin dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Ia kemudian menyaksikan kerajaan PH jatuh berdasarkan ketiadaan penguasaan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, setakat laporan ini ditulis, masih tidak jelas parti atau pakatan politik mana yang mempunyai majoriti parlimen.

Kembalikan mandat ke rakyat

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatan beliau sebelum itu pada hari yang sama.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, menjelaskan bahawa blok pembangkang yang terdiri daripada BN, PAS serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PRBS) mahu parlimen dibubarkan.

Mereka juga menarik semula akuan bersumpah (SD) yang menyokong Dr Mahathir jika beliau membentuk gabungan baru.

Jelasnya, itu merupakan pendirian yang disampaikan semua ahli Parlimen BN dan PAS ketika mereka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang tadi.

“Pendirian kita adalah dalam situasi ini, mandat harus dikembalikan kepada rakyat.

“Kita memohon supaya parlimen dibubarkan, biarlah rakyat yang menentukan,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyifatkan tindakan Dr Mahathir untuk membentuk kerajaan perpaduan tidak mencerminkan demokrasi berparlimen yang diterapkan Malaysia kerana lantikan menteri berdasarkan kapasiti individu, bukan parti.

“[...] cadangan kerajaan perpaduan yang hendak dibentuk dengan Tun (Dr Mahathir) dipilih secara individu dan bukan parti.

“Maka ia bercanggah dengan pendirian parti kami maka dengan itu (ahli parlimen) yang menghadap tadi untuk tak timbul isu, terpaksa kita tarik balik SD yang dipersempahkan Agong untuk beri sokongan kepada Tun (Dr Mahathir) dan meminta agar dibubarkan parlimen.

Petang tadi, sebahagian besar ahli parlimen BN dan PAS hadir ke Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka dipanggil menghadap secara rawak tanpa mengikut parti masing-masing dalam pertemuan bersemuka dengan baginda.

Masing-masing telah diberikan dua hingga tiga minit untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan pertemuan itu turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Bagaimanapun, ahli parlimen yang lain akan dijadual mengadap baginda esok.

Lihat Komen
ADS