Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maszlee kecewa ustazah dipaksa merangkak
Diterbitkan:  Feb 25, 2020 8:31 PM
Dikemaskini: 12:31 PM

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik hari ini menyatakan rasa kecewa berhubung sebuah klip video yang tular yang dikatakan menunjukkan seorang ustazah sekolah dipaksa merangkak di hadapan murid-murid di sebuah sekolah yang tidak dapat dikenal pasti.

"Sebagai seorang yang pernah berada sangat dekat dengan guru-guru dan seringkali mendengar luahan mereka, kejadian ini sangat-sangat menyedihkan saya.

"Hati saya berasa kecewa setelah melihat video tersebut," kata Maszlee dalam ciapan di Twitter hari ini.

Dalam video berdurasi lebih tiga minit itu, seorang individu yang dipercayai ibu kepada seorang anak murid memaksa ustazah tersebut merangkak, selepas dipercayai anak dia disuruh merangkak sehari sebelum itu.

Video itu memaparkan ustazah berkenaan merangkak mengelilingi bilik darjah sambil dilihat oleh seorang lagi guru.

Tindakan merangkak beliau turut diikuti oleh beberapa murid yang berada dalam bilik darjah itu.

Mengulas tindakan ibu tersebut yang dilihat cuba menghukum ustazah tersebut kerana mendenda anaknya sehari sebelum itu, Maszlee berkata bahawa individu tersebut sepatutnya mengadakan perbicangan dengan pihak sekolah sekiranya tidak puas hati dengan hukuman terhadap anaknya.

"Tidak rugi jika kita mengambil sedikit masa merenung dan bersabar.

"Kerana pada akhirnya, apa jua tindakan kita seharusnya adalah untuk satu tujuan iaitu mendidik anak-anak kita agar menjadi manusia yang bermanfaat di masa hadapan," kata Maszlee yang juga ahli parlimen Simpang Renggam.

Dalam video itu juga individu berkenaan cuba menjustifikasi tindakannya sambil mengatakan bahawa anaknya takut ke sekolah selepas disuruh merangkak.

"Anak saya sampai takut nak pergi sekolah tahu? Mana lah saya tahu, sekarang berlaku kat sini sampai ke rumah dia terus bagitahu," kata individu tersebut.

Sementara itu, video tersebut mengundang kemarahan pengguna media sosial yang menganggap ia sebagai menjatuhkan maruah guru tersebut.

"Bawa berbincang lah.. tak payahlah nak aib kan macam ini," kata pengguna media sosial bernama Ramizu Osman.

"Ini biadab. Sangat! Biadab gila! Perangai macam ini, datang dengan niat buruk kepada ustazah yang mengajar ilmu agama. Memaksa ustazah tu merangkak sambil merakam dan memperlekehkan.

"Kau tak suka anak didenda tak payah hantar anak ke sekolah la mak cik. Kau ajar sendiri. Masalahnya kau pun tak pandai nak ajar anak, orang tolong ajar bukan nak berterima kasih, tapi datang nak memalukan pula," kata seorang lagi pengguna media sosial.

Lihat Komen
ADS