Paling Popular
Terkini

ULASAN | Lewat petang 26 Feb, Yang di-Pertuan Agong selesai menemu bual 221 ahli parlimen bagi mendapatkan kepastian mereka sama ada mahu menyokong kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad atau mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang baru.

BN dan PAS kelmarin bersepakat mahukan PRU. Di Dewan Rakyat jumlah kerusi mereka ketika ini ialah 60.

Ahli parlimen PH pula menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka. Jumlah kerusi dimiliki ketiga-tiga parti dalam PH kini ialah 92 orang.

Parti Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan bebas menunjukkan sokongan kepada Mahathir. Jumlah mereka pula ialah 70 orang.

Apakah makna di sebalik politik angka ini?

Maknanya, permainan masih terbuka dan perebutan ke tampuk kuasa masih berterusan.

Pertama, nampaknya terdapat tiga paksi kuasa yang terbentuk di Malaysia sejak lewat malam semalam.

Pertama, kumpulan yang menyokong Mahathir; kedua, kumpulan yang menyokong Anwar; dan ketiga, kem Muafakat Nasional.

Belum pernah di Malaysia

Jika pengundian benar-benar dilakukan secara en bloc dan partisan dalam situasi di atas, tiada pihak - termasuk termasuk kumpulan Mahathir - dijangka, boleh membentuk majoriti, iaitu sokongan ahli parlimen melebihi 111 orang.

Kumpulan Anwar pula nampaknya mempunyai pluraliti di parlimen meskipun tidak mendapat majoriti - sekiranya benar sokongan kepada beliau hanya dalam kalangan ahli parlimen PH sahaja dan secara penuh.

Justeru jika PRU cuba dielakkan, maka beberapa pilihan muncul.

Antaranya, pertama, dengan menubuhkan kerajaan perpaduan sebagaimana diusulkan kumpulan yang menyokong Mahathir. Beliau sendiri mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan berdasarkan gabungan majoriti secara individu, dan bukan kumpulan.

Hal ini bagi mengelak mana-mana parti yang bersaiz besar seperti Umno, PKR dan DAP menguasai dan mempengaruhi kerajaan pimpinan beliau.

Kedua, mungkin perlu dipertimbangkan membentuk kerajaan secara minoriti. Kerajaan seumpama ini belum pernah berlaku di Malaysia, namun hal biasa di Eropah termasuk di dalam sistem demokrasi berparlimen United Kingdom (UK) yang sering menjadi ikutan dan rujukan Malaysia.

Dengan praktik politik yang semakin terpecah-pecah menjadi lumrah, kewujudan kerajaan minoriti juga semakin normal. Pentadbiran Theresa May di UK pada 2017 adalah kerajaan minoriti.

Dalam konteks ini, Anwar dan PH mempunyai kelebihan - meskipun tiada majoriti di parlimen - tetapi merupakan parti yang mempunyai sokongan terbanyak di Parlimen.

Dari sudut perlembagaan, konsep ini boleh menimbulkan persoalan undang-undang kerana terma "keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat" ada tercatat di dalam fasal 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Namun hal ini tidak semesti dibaca secara literal, sebaliknya juga secara substantif berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa, bagi maksud menolak keadaan di mana berlaku kebuntuan.

Kekalkan kestabilan, elak kebuntuan

Ketiga, jika kedua-dua hal tadi tidak dapat dilakukan, maka PRU adalah jalan yang tinggal untuk keluar dari keadaan kebuntuan ini.

Namun tiada jaminan keadaan akan lebih baik dari keadaan semasa, dan kemungkinan keadaan deadlock juga akan sekali lagi berlaku, kerana politik Malaysia kini begitu terpecah-pecah dan tinggi persaingannya.

Jika ini berlaku ia tentu sekali lagi merugikan kerana belanja yang besar diperlukan untuk mencapai tujuan tersebut.

Kestabilan politik negara juga masih belum reda sepenuhnya, begitu juga dengan keadaan ekonomi kita dan antarabangsa.

Namun pilihan PRU juga boleh menawarkan keputusan yang lain, dengan dinamik baru yang mungkin membolehkan pencapaian majoriti yang jelas pada pemenangnya nanti.

Mengadakan semula PRU pada waktu ini mungkin boleh memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan masyarakat Malaysia yang semakin terkesan dengan kelembapan ekonomi global dan kebangkitan politik identiti dan populisme lewat ini.

Selain ia juga mungkin akan menambah banyak lagi politicking di tanah air.

Justeru konsep kerajaan perpaduan - atau lebih kehadapan, konsep kerajaan minoriti - perlu dipertimbangkan sebaik-baiknya kerana ia adalah sesuatu yang semakin normal, dan hal yang lebih praktikal di dalam sistem parti yang terpecah-pecah.

Namun hal ini tentu sekali hanya apabila ketiadaan majoriti, dan atas sebab-sebab keperluan yang penting dalam mewujudkan kerajaan, mengekalkan kestabilan dan mengelakkan situasi deadlock.

PRU yang baru juga mempunyai kelebihan dan mungkin juga boleh menjadi jalan keluar kepada keadaan deadlock kini.

Apapun, terpulang kepada kebijaksanaan Agong dan kerajaan interim menyelesaikan kemelut politik dan memutuskan perkara ini bagi memastikan kelangsungan negara, kestabilan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Daulat Tuanku, Dirgahayu Malaysia!


Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor ialah penganalisis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS